Pada tahun ini ada sesuatu yang tidak biasa dilakukan oleh mana-mana negara dalam menyambut hari kemerdekaan, tetapi Malaysia melakukannya. Dan inilah kali pertama dalam sejarah menyambut hari kemerdekaan negara dibuat secara tidak biasa.
Apa yang tidak biasa itu?
Saya percaya ramai orang sudah maklum dan tahu. Namun molek juga saya mencoretkan sedikit di laman blog kecil ini kerana ianya sesuatu yang tidak biasa. Saya tidak bermaksud ianya sesuatu yang luar biasa kerana 'luar biasa' itu kadang-kadang bersifat positif, lebih baik dan istimewa. Tapi 'tidak biasa' ini membawa maksud yang bersifat anih, ganjil, keliru, tidak tertib, tergelincir dari norma-norma yang diterima ramai.
Apakah sebab atau rasional kita menyambut hari kemerdekaan secara tidak biasa itu, saya tidak dapat pastikan dengan tepat. Hanya sanya telinga saya seperti terngiang-ngiang ada pihak-pihak yang berhujah bahawa kita melakukannya atas sifat kita yang selalu melaung-laungkan 'Malaysia Boleh'. Negara lain tidak boleh, sebab kita serba boleh. Langgar saja. Sebab itulah acuan kita sendiri . Jangan ikut acuan negara lain.
Begitulah agaknya yang memberi kekuatan kita untuk menjadi tidak biasa.
Dalam sebuah negara yang merdeka, yang berbangga dengan rakyat yang hidup bersatu padu sehingga kita menjadikan 1 Malaysia sebagai simbul penyatuan rakyat, kita merayakan hari kemerdekaan itu dengan cara yang paling anih dan berpecah. Kita merayakan hari kemerdekaan bukan berteraskan kepada kepentingan rakyat dan negara. Maksudnya semangat merayakan hari merdeka itu tidak dibawa atau tidak ada dalam tema atau slogan perayaan itu sendiri. Temanya adalah bersifat persaingan dan bukan penyatuan yang mahu menonjolkan satu pihak itu lebih baik dari pihak yang lagi satu. Hanya pihak ini saja yang menepati janji. Hanya Kerajaan dibawah Parti Barisan Nasional saja yang menepati janji kerana tema hari merdeka tahun ini adalah 'Janji Ditepati'.
Janji bukanlah satu matlamat sesebuah negara. Janji adalah satu kaedah menyatakan iltizam dan kesungguhan dalam menyampai atau menyempurnakan keperluan dan kehendak pihak yang memerlukannya agar mereka bersimpati dan menyokong pihak yang berjanji itu . Dan janji itu tidak boleh lari dari melakukan rayuan dan pujukan dengan berbagai cara agar keyakinan atas janji yang dibuat itu lebih kuat. Dan mereka yang berjanji itu akan berhadapan dengan persoalan 'menepati janji' atau mungkir janji'.
Dalam sebuah sistem demokrasi, untuk menguasai dan menguruskan khazanah negara, parti-parti politik yang bersaing akan membuat berbagai-bagai janji kepada rakyat agar rakyat memilih parti berkenaan . Parti-parti yang bersaing bagi memenangi hati rakyat itu akan membuat berbagai-bagai janji semata-mata demi rakyat. Sama ada janji-janji itu disempurnakan dan memberi kebaikan kepada rakyat adalah menjadi bahan-bahan hujahan diantara parti-parti itu untuk dinilai oleh rakyat. Disinilah munculnya janji ditepati atau dimungkiri.
Oleh itu tema 'janji ditepati ' ini adalah sesuai dan terpakai dalam persaingan politik dan tidak boleh menjadi tema yang boleh menyemarakkan semangat rakyat sebagai satu kesatuan yang kental kesetiaannya kepada negara.
Malang sekali tema ini masih lagi mahu diteruskan. Itulah perkara yang tidak biasa dilakukan di negara-negara lain didunia yang menyambut hari kemerdekaan. Sesungguhnya sambutan hari merdeka tahun ini adalah sesuatu yang tercatat dalam sejarah negara sebagai sambutan 'tidak biasa', sudah tergelincir dik ketaksuban kepentingan politik. 'Tidak Biasa' yang membawa bersama sifat-sifat seperti yang telah dinyatakan diatas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan