Minggu depan atau lebih tepat lagi pada 15 September 2012 , mengikiut rancangan akan menghadiri rumah terbuka hari raya seorang sahabat sekerja suatu ketika dulu. Beliau membuat jemputan melalui panggilan talipon. Saya pula sepantas kilat memberikan jawapan, InsyaAllah akan hadir sambil mengucapkan terima kasih atas jemputan yang dipanjangkan kepada saya dan keluarga. Sesungguhnya saya merasa amat gembira sekali akan jemputan itu seolah-olah ianya sesuatu yang telah lama saya tunggu dari kawan-kawan lama.
Tapi mengapa saya jadi begitu? Mengapa saya perlu menunggu jemputan untuk beraya di rumah kawan? Bukankah hari raya sifatnya terbuka dalam ertikata kita boleh kunjung mengunjung tanpa menunggu dijemput? Sekali lagi mengapa saya terlalu gembira?
Sahabat saya itu masih lagi bekerja dengan sebuah jabatan kerajaan. Pernah membantu saya dalam melaksanakan urusan jabatan semasa saya dalam perkhidmatan awam dulu. Dan sekarang mempunyai kedudukan yang baik.
Dulu, semasa masih berkhidmat, saya juga tidak pernah gagal mengadakan rumah terbuka hari raya setiap kali beraya. Ramia juga tetamu yang sudi datang termasuklah saudara mara yang rapat, kawan-kawan dan mereka yang kenal-kenal biasa saja dan mereka yang saya tidak berapa kenal atau yang memang tidak pernah kenal. Ertinya rumah terbuka itu telah menambahkan lagi kenalan saya. Saya amat gembira sekali.Waktu itu saya ada sedikit kemampuan untuk melakukannya.
Saya juga diwaktu itu menerima banyak jemputan rumah terbuka hari raya. Boleh dikatakan setiap hari Sabtu dan Ahad sepanjang bulan Syawal ada saja jemputan rumah terbuka tidak termasuk jemputan dari organisasi-organisasi perniagaan seperti bank dan syarikat insurans.
Sungguh mewah sekali jemputan rumah terbuka yang diterima. Jemputan itu sudah menjadi sesuatu yang otomatik, tetap diterima setiap meraikan hari raya. Nama saya tidak pernah hilang dari senarai jemputan. Jemputan itu bukan sesuatu yang luar biasa. Ianya menjadi janggal jika saya tidak menerima jemputan. Kadang-kadang tidak termampu untuk hadir semua jemputan itu.
Selepas saya bersara, saya masih terbawa-bawa dengan corak hidup, peranan dan 'expectation' yang telah saya lalui semasa masih berkhidmat terutamanya setahun dua persaraan. Bukan saja saya bersikap begitu malah kawan-kawan juga ada yang bersikap sama seperti saya. Misalnya ketika menjelang hari raya, ada juga kawan-kawan bertanya ,"hari raya yang ke berapa saya akan mengadakan rumah terbuka?' Dan berapa ramai tetamu yang akan saya jemput? Siapa tetamu kehormat?
Saya tidak memberikan jawapan yang spesifik. Cuma menyatakan kepada yang bertanya bahawa mereka dipersilakan datang pada hari raya tanpa menyatakan bila tarikh dan masa untuk datang beraya ke rumah saya. Mereka amat faham dengan jawapan saya itu yang membawa maksud bahawa saya tidak akan mengadakan majlis rumah terbuka hari raya.
Namun pada mulanya saya amat keberatan untuk memberi jawapan seperti diatas. Rasa malu juga jika saya memberi tahu secara terus terang bahawa saya tidak akan mengadakan rumah terbuka mengikut pengertian biasa yang telah diterima. Tapi saya tidak pula memberi alasan bahawa saya tidak mampu dari segi kewangan untuk mengadakannya seperti yang pernah saya lakukan semasa berkhidmat dulu.
Kadang-kadang saya menjawab bahawa rumah saya sentiasa terbuka. Maka mereka boleh datang bila-bila masa saja sepanjang menyambut hari raya. Mereka juga faham bahawa saya tidak akan adakan rumah terbuka hari raya.
Apa kesannya?
Kesannya ialah rumah saya tidak lagi menjadi destinasi kawan-kawan sama ada yang rapat, yang saya kenal dan mengenali saya atau yang tidak kenal untuk datang beraya. Maka beraya selepas bersara tidak semeriah semasa berkhidmat. Mereka yang datang beraya hanya dari kalangan saudara mara yang terdekat iaitu adik beradik dan anak-anak mereka. Beruntungnya saya ialah kerana mempunyai adik beradik yang ramai , 12 orang kesemuanya. Jadi mereka dengan anak-anak dan cucu sudah cukup untuk memeriahkan sambutan raya dirumah saya pada setiap tahun. Pada setiap satu hari raya disebelah malam mereka akan mengunjungi rumah saya. Itulah masa dan tarikh yang saya telah tetapkan. Tetapi saya tidak pula menjemput selain dari saudara mara itu. Namun ditakdirkan ada yang datang saya amat gembira untuk mempersilakan mereka turut sama.
Bagaimana pun kawan-kawan dan kenalan yang lain yang tidak mempunyai hubungan darah sudah merasa malu-malu untuk beraya ke rumah jika tidak di jemput. Saya juga sudah mengambil sikap yang sama. Jika tiada jemputan maka saya berasa amat malu dan janggal untuk beraya dirumah kawan-kawan.
Itulah kesan yang saya rasa kurang elok yang terzahir dari acara rumah terbuka hari raya.
Berbalik kepada jemputan yang saya terima dari sahabat lama seperti dinyatakan diatas, saya amat gembira sekali kerana akan dapat bertemu dengan kawan-kawan lama. Lagi pun inilah satu-satunya jemputan yang saya terima pada raya tahun ini. Ianya terlalu istimewa kerana ada juga kawan yang masih mengingati saya. Saya akan pasti untuk hadir, insyaAllah. Saya tidak mampu untuk tidak hadir seperti dizaman mewah dulu. Inilah satu saja jemputan yang diterima. Dan saya jangka kawan saya apabila bersara nanti akan merasa seperti yang saya rasa, seperti yang dirasa oleh semua pesara. Dia nanti mungkin tidak akan membuat rumah terbuka seperti yang akan diadakan pada 15 September ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan