Diberitakan bahawa dua buah syarikat telah ditawarkan untuk membekal dan memasang kamera di lebih dari 680 kawasan jalan raya bertujuan untuk merakam kesalahan jalanraya yang dilakukan oleh pemandu kenderaan dan seterusnya untuk dikeluarkan saman atas kesalahan yang dibuat oleh pemandu berdasarkan kepada rakaman kamera itu. Syarikat-syarikat tersebut akan diberikan bayaran sebanyak 17 peratus dari hasil saman nanti.
Perincian mengenai modes operandi pengeluaran saman ini tidak pula saya maklumi. Dengan itu pandangan saya tentang saman berdasarkan rakaman kamera ini mungkin tidak tepat .
Tapi apa yang hendak saya tumpukan ialah tentang tanggongjawab keselamatan jalanraya telah di jual kepada pihak swasta. Maknanya matlamat untuk menentukan keselamatan di jalanraya telah menjadi satu sumber pendapatan. Dengan kata lain, saman yang akan dikeluarkan nanti bukalah bermatalamat untuk menghukum pesalah semata-mata tapi untuk meraih pendapatan.
Bagi pihak swasta, pendapatan itu hanya memberi makna kepada perniagaan mereka jika ianya membawa keuntungan. Hukuman hasil dari saman yang di keluarkan nanti, akan menjana satu pendapatan yang menguntungkan kepada syarikat-syarikat berkenaan. Jika tiada keuntungan tidak mungkin syarikat-syarikat itu berani melabur dalam menyediakan kamera itu. Ertinya syarikat telah mempunyai unjuran statistik kesalahan jalanraya yang akan dilakukan oleh pengguna jalan raya berdasarkan statistik yang lepas. Ianya sungguh lumayan, barangkali. Apakan tidaknya kerana kita sentiasa mendengar berita pesalah-pesalah jalanraya yang beratur panjang untuk membayar saman disaat-saat akhir tamatnya tempoh pembayaran. Berjuta-juta ringgit telah dapat dikutip.
Saya berpendapat bahawa mengeluarkan saman kesalahan jalanraya adalah bertujuan untuk menjamin keselamatan pengguna jalan raya dan bukan untuk membuat hasil dan keuntungan. Bayaran keatas hukuman itu hanya semata-mata untuk mengingatkan kepada pesalah jalanraya supaya jangan melakukannya pada masa depan. Nampaknya dengan perubahan yang akan berlaku tidak lama lagi Kerajaan telah mewujudkan satu lagi perniagaan atas nama keselamatan jalanraya.
Swasta lagi!
Sesungguhnya Kerajaan sekarang ini berfikir lebih condong kepada dunia korporat, dunia perniagaan. Serahkan saja tanggungjawab kepada swasta terutama yang boleh menjana keuntungan.
Tapi tidak mengapa. Rakyat janganlah marah sangat kepada kerajaan kerana prinsip penswastaan itu sudah menjadi darah daging. Biarkanlah. Suatu hari nanti , kerajaan sendiri akan menswastakan dirinya. Macam mana? Saya pun tidak tahu.
Hanya sanya rakyat sendiri perlu memberi reaksi yang positif. Bagaimana? Senang saja. Jangan lakukan kesalahan jalan raya. Maka tiada saman yang akan di keluarkan. Tiada saman bermakna tiada bayaran. Tiada bayaran bermakna tiada pulangan kepada syarikat. Maka tidak berbaloi atau rugilah pelaburan syarikat itu yang bertujuan mahu menggunakan kesalahan jalan raya sebagai sumber perniagaan untuk membuat untung.
Kalau berlakulah seperti itu, iaitu syarikat rugi, adakah kerajaan terpaksa mengambil balik tugas merakam kesalahan jalanraya bagi tujuan mengeluarkan saman itu? Dan adakah syarikat yang rugi itu akan diselamatkan dengan apa cara diatas pelaburan yang merugikan misalnya kerajaan membayar harga kamera yang telah dipasang serta kos-kos yang berkaitan? Cuba cari beberapa contoh yang telah dan sedang berlaku. Hanya masa akan dapat memberi jawapan.
Tapi sekali fikir takkan syarikat yang pandai berniaga itu tidak memikirkan risiko kemungkinan tiada orang yang akan melakukan kesalahan jalanraya. Mungkinkah syarikat menjangkakan keberangkalian seperti itu dari segi peratusannya terlalu kecil. Maknanya yang akan membuat kesalahan di unjurkan melebihi dari yang menurut peraturan jalan raya. Kalau begitu, sewajarnya mereka itu di hukum. Cuma bukan dihukum dalam bentuk penswastaan. Kerajaan bertanggungjawab melakukannya. Tidak wajar diswastakan.
Bagaimana pula dengan tugasan anggota polis trafik dan petugas JPJ yang bersangkutan dengan penguatkuasaan kesalhan jalanraya? Adakah mereka ini di gunakan untuk tugasan lain?
Bagi saya sama ada dua syarikat itu memperolehi hak membekal dan memasang kamera bagi merakam kesalahan jalanraya untuk tujuan pengeluaran saman secara tender terbuka atau runding terus atau apa saja cara bukan satu persoalan asas. Soalnya mengapa kerajaan perlu menyerahkan tugasan itu kepada syarikat? Adakah disebabkan pertimbangan kos? Mengapa pula ada syarikat yang sanggup menerima tugasan itu? Adakah atas dasar membantu kerajaan untuk mengatasi beban kos? Atau mahu buat untung! Dengan ini maka konsep atau sasaran kerjasama atas dasar 'menang menang (win win) boleh terjalin'. Semua pihak untung. Benarkah begitu?
Jadi sekali lagi saya harapkan rakyat jangan marah. Bertindak secara positif seperti yang telah disarankan diatas. Cuma kerajaan jangan pula jadi penyelamat pada akhirnya keatas syarikat itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan