Theflowersellingboy

Selasa, 31 Mei 2016

Senarai Kerja Sebelum Memasuki Bulan Puasa.


 
 
Ramadhan datang lagi. Beberapa hari lagi akan mula berpuasa sebulan. Mohon Allah memberikan kesihatan tubuh badan dan akal fikiran serta kekuatan untuk menghadapi puasa tahun ini. Semoga Allah panjangkan usia, Amin.
 
Mendekati puasa, saya menyediakan jadual kerja untuk dilakukan sebelum masuk bulan puasa. Ini merupakan rutin tahunan setiap kali menghadapi puasa.
 
Kerja-kerja yang telah dijadualkan ialah mengemas  dan membersih ruang rumah luar dan dalam, dan kawasan sekeliling rumah, agar senang dihati dan sedap mata memandang. 
 
Ya, saya akui, untuk melakukan kerja-kerja itu ianya bukan sesuatu yang mudah bagi pesara yang beberapa tahun lagi akan mencecah usia 70an. Apatah  lagi yang telah menjalani pembedahan jantung terbuka 10 tahun yang berlalu. Tenaga semakin menurun berbanding tahun lepas. Jauh beza jika dibanding sewaktu usia muda. 

Namun pada tahap kemampuan tenaga yang ada, saya akan tetap lakukan. Lakukan sendiri tanpa mengupah orang lain. Baik untuk kesihatan diri.

Menurut kerja yang telah disenaraikan , kerja kawasan luar rumah yang saya perlu lakukan ialah memesin rumput,  meracun dan mencabut rumput di halaman yang saya panggil sebagai dataran kecil iaitu rumput yang tumbuh di celah-celah batu interlocking; mencantas dan membuang daun serta rumput di pasu-pasu bunga, menyiram dan membaja; dan membasuh serta mopping verandah disekeliling rumah termasuk garaj kereta.
 
Semua itu adalah kerja saya seorang saja.
 
Manakala kerja kawasan dalam rumah adalah dengan bantuan dari isteri yang terdiri dari membersih segala ruang yang ada termasuk menanggalkan langsir untuk dihantar cuci.

Semua kerja-kerja itu mesti siap sebelum memasuki bulan puasa tidak berapa lama lagi. Tujuannya bagi mengelakkan kerja-kerja itu dilakukan pada bulan puasa kerana saya percaya saya tidak ada kekuatan tenaga untuk melakukannya walaupun semangat tidak pernah luntur. Ada semangat tapi tanpa tenaga ianya amat mengecewakan.

Boleh kah saya melakukannya dalam beberapa hari lagi?

Entahlah!

Sebenarnya senarai kerja itu telah lama disediakan. Maksud saya ianya bukanlah senarai diatas kertas tapi senarai yang ada dalam hati, apa yang perlu dilakukan. Hati yang menyemak, perasaan yang bertanya dan mata yang memandang. Sudah buat atau belum.

Setakat semalam belum lagi.
 
Sayang sekali dalam seminggu dua ini hujan kerap turun terutamanya di sebelah malam. Keadaan rumput yang basah tidak mengizinkan saya untuk memesin rumput kerana mesin rumput berkuasa letrik itu terlalu sensitif dengan rumput yang basah. Motornya boleh rosak. 
 
Mesin itu baru saja diperbaikki yang melibatkan kos hampir RM 90.00. 

Jadi rumput kawasan tidak dapat dipotong. Malang sekali, saya tidak pula menggantikan dengan kerja kawasan dalam rumah kerana ada kerja-kerja pembaikan dalam rumah yang sedang dibuat. Sehingga kehari ini belum siap sepenuhnya.
 
Pada hari ini, rumput masih juga basah. Jadi tidak boleh mesin rumput. Tapi kerja dalam rumah boleh dilakukan kerana kontraktor menangguhkan kerja pembaikan dalam rumah.
 
Dengan demikian saya dan isteri ambil kesempatan untuk menanggalkan langsir diruang tamu dan bilik tidur di sebelah bawah dan membersih dan mopping lantai di ruang yang tidak terlibat dengan kerja-kerja pembaikan.
 
Saya menanggal langsir dan isteri melipat kain langsir. 
 
Kerja ini menghasilkan suasana yang unik sekali. Ianya amat memeranjatkan, melucukan, geli geleman dan menakutkan.
 
Bagi saya ianya memeranjatkan , geli geleman dan melucukan. Bagi isteri saya pula, ianya satu kerja yang menakutkan dan akhirnya melucukan.  Jika boleh dia tidak mahu melakukan. 
 
Semasa kerja menanggalkan pin dari sangkutannya, keluarlah beberapa ekor cicak dicelah-celah langsir yang mahu ditanggalkan itu. Maka terdengar jeritan terperanjat saya sambil menyumpah memarahi cicak-cicak itu. Isteri, apa lagi turut menjerit ketakutan sambil menyumpah memarahi cicak itu: binatang tak tau diajar.

Saya ketawa sehabis saja memarahi cicak itu.  Apabila mendengar isteri masih terus memarahi cicak itu, saya sambung ketawa kerana pertembungan antara manusia dan cicak ini sungguh melucukan.  Siapa takut siapa?
 
Sungguh melucukan -apakah bodohnya kami memarahi binatang yang tidak faham apa yang kami cakap, fikir saya. 

Isteri juga turut ketawa setelah kembali tenang.

Saya terperanjat bukan kerana takut. Tapi geli geleman tengok cicak-cicak itu. Saya tidak suka jika cicak itu menyentuhi mana-mana anggota badan saya. Sebab itu saya menjerit. Bukan kerana takut. Tapi anak-anak saya akan ketawakan saya jika itu yang saya katakan.

Setelah bertenang, kami teringat akan cucu kami Yousef yang kami panggil Asyef. Dia seorang cucu yang amat berani berbanding dengan ummi dan neneknya dalam hal berurusan dengan cicak.

Pada suatu hari, ketika itu Asyef baru berusia empat tahun, terdengarlah bunyi riuh rendah dalam bilik tidur Asyef sekeluarga. Rupanya waktu pendingin udara dipasang, keluarlah seekor cicak yang amat besar dari alat pendingin udara itu. Apa lagi ummi Asyef menjerit macam orang tengok hantu, kuat sekali, menggeletar sambil menjerit,  "Cicak!".

Mendengarkan jeritan itu si asyef ni bertanya, mana cicak tu mi, syef nak tangkap.

Cicak itu sudah lari tidak kelihatan lagi. Tapi keberanian Yousef itu membuatkan suasana berubah dari kecuh kepada gelak ketawa.

Ok. Keadaan yang sama berlaku pada hari ini. Bukan saja semasa menanggalkan langsir bahkan semasa isteri melipat kain langsir, cicak mengacau lagi.

Kali ini isteri yang kena sebab dia yang melipat kain langsir itu. Nak tahu apa yang berlaku?

Melompat-lompatlah sang isteri ketakutan sambil memarahi cicak-cicak itu. Saya yang sedang menanggal sebahagian lagi langsir ketawa seronok. Saya kata, "Panggil Asyef. Dia boleh tolong tangkap". Isteri yang ketakutan itu, mendapat sedikit ketenangan apabila nama cucunya disebut, kemudian mula ketawa.

Akibat dari kehadiran cicak itu, saya kena buat kerja tambahan. Isteri meminta saya mengibas-ibaskan kain langsir itu bagi menghalau cicak dari kain langsir itu sehingga pasti cicak sudah tiada dikain langsir itu sebelum isteri melipatnya.

Tak fasal-fasal satu kerja bertambah untuk saya.

Habis saja bab langsir, saya teruskan kerja membersih dan mopping di ruang selain yang melibatkan ruang kerja kontraktor. Isteri ke dapur menyediakan makanan tengah hari.
 
Hanya ruang tamu dan ruang makan tamu saja yang sempat saya lakukan untuk hari ini. 
 
Waktu Zohor telah masuk, kerja perlu diberhentikan. Setakat itu saja, tenaga saya hanya mampu sehingga waktu zohor saja. Selepas makan tengah hari dan petang saya perlu rihat, tonton tv sambil berblogging.

Esok, dengan izin Allah saya akan teruskan kerja. Keutamaan ialah memesin rumput. Harap-harap rumput tidak basah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan