Theflowersellingboy

Jumaat, 6 Mei 2016

1MDB Tutup Kedai: Negara dan Rakyat Yang Sengsara.




1MDB tutup kedai. Tidak berniaga lagi. Gagal dan merugikan yang membebankan negara dan rakyat.

Sebenarnya dari mula syarikat itu ditubuhkan, ianya tidak ada langsung hasrat untuk mensejahterakan rakyat. Tidak juga untuk memakmurkan negara. Hanya yang ada ialah untuk menggunakan kekayaan negara bagi kepentingan kelompok-kelompok tertentu.

Walaupun negara telah sedia ada sebuah syarikat pembangunan strategik iaitu Khazanah, 1MDB tetap juga ditubuhkan. Mengapa?

Mengapa kuasa membuat keputusan diberikan secara mutlak kepada Perdana Menteri/Menteri Kewangan seperti termaktub dalam perkara 117 memorandum dan artikel syarikat. 

Jadi apa guna adanya Lembaga Penasihat, yang tidak pun pernah bermesyuarat? Apa guna adanya Lembaga Pengarah? Apa guna adanya Ketua Pegawai Eksekutif/Presiden?

Adakah ini satu cara yang terbaik untuk menguruskan sebuah syarikat? 

Jawapannya, ianya terbaik untuk mereka yang tidak mempunyai hasrat untuk menjaga kepentingan negara dan rakyat sebaliknya menggunakan kekayaan negara untuk kepentingan puak-puak yang tamak haloba merompak kekayaan negara.

Struktur modal syarikat mendedahkan risiko yang tinggi dimana pinjaman terlalu besar mengatasi ekuiti menjadikan 1MDB sebuah syarikat yang 'over geared'. 

Over Geared? Ertinya jika diibaratkan 1MDB itu sebagai sebuah kereta, ianya sebuah kereta bekuasa kuda rendah misalnya macam kereta 650 cc berbadankan kereta mercedez. Sudah tentu tak larat nak bawa badan itu, apakan lagi nak naik bukit.

Tapi 1MDB ini satu syarikat luar dari biasa, diberi segala pertolongan dalam bentuk monopoli dalam pemilikan/perolehan harta kerajaan pada harga yang rendah dari harga pasaran dan jika mahu meminjam akan disokong dan dijamin pinjaman itu oleh kerajaan.

Jadi tidak ada masalah tentang over geared.

Jika syarikat bermasalah bagaimanakah untuk membayar pinjaman?

Kenyatan diatas secara tidak langsung telah menjawab pertanyaan itu. Tapi tidak mengapa. Lagi diulangsebuat lagi baik dan terang.

Jawabnya, mudah saja. Boleh buat pinjaman dalam apa bentuk sekalipun kerana pinjaman itu disokong atau dijamin oleh kerajaan.

Mudah saja, sebab boleh dapatkan wang dari syarikat-syarikat kepentingan kerajaan/badan-badan kepentingan awam melalui pinjaman yang dijamin kerajaan atau melalui pengeluaran surat hutang/bon yang juga dijamin kerajaan.

Mudah saja, sebab boleh dapat aset kerajaan seperti tanah pada harga yang terlalu rendah dari harga pasaran, kemudia tanah itu dijual semula kepada pihak lainpada harga yang jauh lebih tinggi.

Apa kata jika tiada pihak yang mahu membeli tanah itu?

Mudah saja, tawarkan/arahkan syarikat-syarikat kepentingan kerajaan/badan-badan kepentingan awam untuk membelinya pada harga yang tinggi.
 
Mudah saja, jual aset-aset tersebut seperti Bandar Malaysia dan IPP kepada syarikat majoriti kepentingan warga asing seperti dari negara Cina.
 
Itukah jawapan yang tersedia ada dalam fikiran mereka yang menubuhkan 1MDB dulu? 

Entahlah, Allah saja yang tahu. Tapi struktur 1MDB itu sama ada dari segi kuasa dan modalnya bahawa ianya kelihatan tidak langsung mengambilkira kepentingan rakyat dan negara sebaliknya kekayaan negara digadaikan.

Sekarang 1MDB sudah tutup kedai. Tidak beroperasi lagi. Tiada lagi Lembaga Penasihat dan tiada lagi Lembaga Pengarah. Hanya Ketua Pegawai Eksekutif yang tinggal terkonteng-konteng bersendirian menjaga syarikat yang tidak lagi beroperasi!  Hahahahaha, pelikkan? 

Tidak pelik. Itu perkara biasa di negara Malaysia ini semenjak merdeka!

Aset 1MDB diserahkan kepada Kementerian Kewangan DiPerbadankan, begitulah menurut satu berita.

Mungkin ada yang silap dengan kenyataan seperti diatas dengan menganggap serahan aset itu tanpa liabiliti. 

Aset yang diserahkan itu sudah tentu bersama dengan liabiliti. Berapakah nilai aset 1MDB. Berapakah nilai liabilitinya pula. Ianya menghasilkan keputusan yang negatif jika kita ambil aset dan liabiliti.

Negara dan rakyatlah yang menanggungnya. 

Dari sumber mana? Sumber pendapatan negara dari hasil minyak sudah berkurangan. Jadi tidak boleh diharapkan dari hasil ini.

Hanya ada satu sumber saja iaitu melalui dasar fiskal iaitu pencukaian. Ada besar kemungkinan cukai baru atau cukai sedia ada akan dinaikkan seperti GST atau lain-lain cukai langsung dan tidak langsung.

Disamping itu, tidak boleh diketepikan kemungkinan untuk mengurangkan pelbagai perbelanjaan sama ada belanja mengurus atau pembangunan.  Maka mutu perkhidmatan dan projek-projek untuk kesejahteraan rakyat seperti ubat-ubatan dan infrastruktur akan dikurang atau di tiadakan. 

Siapa yang tanggung? Rakyatlah yang tanggung.

Dan saya amat berat mempercayai bahawa mana mana barangan atau perkhidmatan atau pengeluaran  yang sekarang ini menerima subsidi/insentif  kerajaan akan dikaji bagi disusun semula ( kerajaan gunakan perkataan resionalisasi) bagi tujuan dikurangkan atau dihapuskan sama sekali.

Siapa yang menanggung beban? Jawab sendiri.

Saya minta kita jawab sendiri ialah kerana kita sebenarnya berkongsi bertanggungjawab dalam hal 1MDB ini. Tuding jari bukan saja kepada kelompok tertentu yang secara langsung terlibat dalam 1MDB, tuding jari juga kepada diri kita sendiri.

Kenapa, kita, bilangan yang majoriti berbanding dengan kelompok yang tamak haloba itu, yang minoriti, dalam sebuah negara demorasi tidak mampu untuk menyekat pihak minoriti itu dari merosakkan tadbir urus negara?

Bukankah dalam sebuah negara demokrasi, majoriti menentukan arah tuju negara. Bukankah majoriti yang menentukan kepimpinan negara?

Walaupun telah berulang kali diingat dan diberi teguran oleh beberapa pihak bahawa 1MDB adalah sebuah syarikat yang bermasalah yang akan membebankan negara tapi sebahagian besar dari kita lebih suka mendengar dan mempercayai dari kepimpinan bahawa ingatan dan teguran itu adalah bersifat fitnah yang semata-mata atas sakit hati dan bagi menjatuhkan kepimpinan negara.

Paling malang sekali, kita, terutamnya sebahagian besar orang Melayu, apatah lagi dari kelompok parti yang dimashurkan sebagai memperjuangkan hak Melayu, bukan saja menelan bulat-bulat kenyataan pimpinan yang mengatakan teguran itu sebagai fitnah, bahkan mempertahankan 1MDB sehinggalah ke hayat terakhir 1MDB itu. 1MDB dah matipun, masih mempertahankannya!

Saya faham walaupun amat  menghairankan, sebab mengapa ramai diantara orang Melayu yang percaya bahawa teguran yang dibuat itu dikatakan sebagai fitnah. Sebabnya ialah kerana yang menegur itu adalah pihak pembangkang.

Tapi kalau teguran itu disokong dengan bukti mengapa tidak tergerak dihati orang Melayu itu untuk berfikir sejenak, sekurang-kurangnya membawa pihak yang dikatakan membuat fitnah itu yang mencemarkan nama baik kepimpinan ke muka pengadilan? 

OK, teguran pembangkang dikatakan sebagai fitnah. Saya faham tapi tidak bersetuju.

Bagaimana pula dengan teguran dari bekas PM dan beberapa ahli dan bekas ahli parti yang sama? Adakah ianya juga fitnah?

Adakah pihak lain saja suka buat fitnah, dan pimpinan kita suci dari melakukan kesalahan?

Sekarang 1MDB telah tutup kedai. Faham tak apa makna tutup kedai? 

Maknanya gagal. 

Fasal apa gagal? Sebab berlakunya kurang cekap dan salah urus. Mengapa boleh berlaku salah urus? Sebab kuasa membuat keputusan adalah mutlak diberikan kepada sorang saja.

Sekarang siapa yang nak tanggung hutang 1MDB itu? Sila jawab. 

Jangan tuding 10 jari anda hanya kepada kepimpinan. Nanti mereka akan ketawa terbahak-bahak. Mengapa? Saya tidak tahu cuma boleh teka saja.

"Bodohnya dia orang tu. Kita merompak siang hari pun dia orang tak nampak. Ada yang nampak tapi buat-buat tak nampak".

1MDB tutup kedai rakyat dan negara yang sengsara.
 



 

 
 



 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan