Theflowersellingboy

Sabtu, 28 Mei 2016

Sendiri Bentang Sendiri Minta Tangguh...KELAKAR (Kelakau) Kan!



Sendiri beriya-iya minta bentang, sendiri dengan sukarela minta tangguh. Kelakar betul dia ni. Minta tangguh bukan sehari dua, tapi empat bulan lamanya. Rasanya kalau buah durian, ianya telah habis gugur.

Kelakar betul. 

Kelakau, kata orang Melaka. Macam hamblau.

Tapi tidak semua menganggap pembentangan RUU persendirian yang dilakukan oleh Presiden PAS dua hari yang lepas sebagai sesuatu yang kelakar. Khalid Samad, pengarah Komunikasi Amanah kata ianya sebagai sesuatu yang pelik, luar biasa. Dan ada juga yang kata sebagai ajaib.

Namun begitu saya masih mengatakan ianya sebagai kelakar (kelakau) yang menghiburkan kerana tidak ada kesungguhan dan keazaman bagi menentukan apa yang dibentang segera diperbincang, dan dengan penuh harapan dan doa ianya dilulus dan dipersetujui.

Ianya kelakau dalam sebuah hamblau (hamblau itu adalah satu pertunjukan seperti badut di hadapan pasangan pengantin yang sedang bersanding diatas pelamin dengan mengenakan berbagai pakaian dan solekan dan hiasan diri agar pasangan pengantin dan para hadirin tidak dapat mengenali pemain hamblau itu. Setahu saya hanya di Melaka saja. Sekarang hamblau itu rasanya telah pupus).

Hamblau ini menghiburkan, tidak serious. Seronok-seronok saja.

Sama juga dengan apa yang dilakukan oleh presiden PAS itu. Ianya menghibur, menyeronok dan menggembirakan hati setiap mereka yang percaya pembentangan RUU itu  adalah satu kejayaan yang amat bersejarah kepada PAS khususnya, dan kepada orang-orang Islam di Malaysia yang sudah lama mengharapkan hudud dilaksanakan. Sesungguhnya ramai yang teruja termasuk saya.

Saya mahu akan tangan beri hormat kepada PAS khususnya kepada Tuan Guru Haji Hadi.

Tapi amat kecewa sekali. 

Sehabis saja dibentang atau membaca usul dalam bacaan pertama RUU itu, tanpa perlu menunggu pencadang dan penyokong, presiden PAS itu memohon perbahasan RUU itu ditangguhkan pada persidangan Parlimen akan datang.

Anti klimeks.

Macam mana? Cuba anda nilai sendiri.

PAS sudah lama mahukan hudud. Ianya satu perjuangan parti itu. Kita wajar meghormatinya.

UMNO parti yang PAS kata sebagai sekular, yang dengan jelas menyatakan/berpendirian bahawa hudud tidak boleh dilaksanakan di Malaysia, sekarang ini disanjung oleh PAS kerana kepimpinan UMNO memberi laluan kepada pembentangan RUU itu. 

Ingat, UMNO tidak pernah berubah pendirian parti itu tentang hudud.

Kepimpinan parti Amanah yang mempunyai pandangan dan pendekatan yang berbeza tentang hudud, yang tidak pernah menolak hudud dianggap sebagai musuh dan pengkhianat. 
 
DAP, parti majoriti Cina dan bukan Islam yang mudah difahami tidak akan bersetuju dengan hudud dikatakan sebagai anti orang Islam, tiada adab kerana cepat melenting.

Presiden PAS  memuji MCA, Gerakan dan MIC kerana tidak bertindak seperti DAP yang mudah melenting tentang hudud.

Tapi MCA, Gerakan dan MIC bertindak lebih dari melenting. Kepimpinan mereka secara sepakat mengadakan sidang akhbar menyatakan dengan jelas menentang RUU itu walaupun mereka sebahagian dari BN yang bersama UMNO, parti yang PAS sudah tunjukkan kemesraan dalam perundingan.

Mengapa marah sangat dengan Amanah. Mereka tidak menentang pembentangan RUU itu. Bahkan menurut Khalid Samad, ahli parlimen Shah Alam, beliau mahu berdiri dan menyokong usul Haji hadi itu. Malangnya Haji Hadi sebelum sempat proses cadang dan sokong usul mengambil tempat, telah dengan sendiri memohon perbahasan usul yang dibentangkan itu di tangguhkan.

Sebab itu Khalid Samad kata pembentangan itu sebagai pelik!  Maksudnya apa yang dilakukan oleh PAS khususnya Hadi adalah sesuatu yang pelik dan tidak masuk akal!

Sendiri kata penting. Sudah begitu lama PAS mahu bentangkan dengan berbagai halangan dan helah bagi menggagalkan pembentangan. Dan setelah diberi laluan oleh UMNO , Hadi minta tangguh pula.

Ertinya PAS tidak serious. Pembentangan itu seperti pertunjukkan hamblau, main-main saja untuk menghibur dan menyenangkan hati ahli dan orang Melayu yang sebahagian besar tidak menentang hudud walaupun mempunyai pendekatan dan pandangan yang berbeza dengan apa yang hendak dilakukan oleh PAS.

Tapi jika hudud yang dibawa oleh PAS itu diluluskan, orang Melayu akan terima kerana ianya hukum Allah.

Bagi saya pembentangan itu sesuatu yang kelakar. Sebab selain dari tidak ada semangat kesegeraan untuk membahaskan usul itu, PM Najib dalam satu sidang akhbar dalam respons terhadap kemarahan parti komponen BN iaitu MCA, MIC dan Gerakan keatas pembentangan RUU itu telah menyatakan dengan jelas bahawa apa yang dibentangkan oleh Hadi itu bukan Hudud.

Bukan hudud?

Kepada ahli-ahli PAS dan orang Melayu, nampaknya kita telah dikelirukan.  Hadi dan parti PAS menegaskan bahawa RUU itu adalah berkaitan dengan hudud. Sebaliknya PM kata bukan Hudud.

Kata-kata siapa yang kita boleh percaya.

Kelakar, bukan. Seorang kata hudud dan seorang pula kata bukan hudud bagi RUU yang sama. Tapi kedua-duanya akan jadikan sebagai isu dalam kempen PRK Kuala Kangsar dan Sg. Besar.

Ohhhhh sekarang baru jelas RUU itu untuk dijadikan isu PRK dan bukan untuk mahu cepat dilaksanakan hudud. Patutlah tangguh sehingga Oktober. Bukannya hudud!

Dari niat agama bertukar jadi alat politik untuk berkempen! Ini bukan saya kata. Ini yang diberitahu oleh Ketau Pemuda PAS.

Kelakau kan!

Saya ingatkan semula:

i) Hadi bentang , Hadi minta tangguh.
ii) Hadi marah DAP yang majoriti bukan Islam kerana melenting fasal hudud.
iii) Hadi puji MCA, MIC dan Gerakan yang katanya tidak melenting seperti DAP sedangkan parti-parti itu secara sepakat mengadakan sidang akhbar menetang RUU itu. Dan seorang Exco MCA di Kedah diberitakan meletak jawatan kerana RUU ini.
iv) Hadi marah kepimpinan Amanah yang tidak pun menentang hudud melainkan mempunyai perbezaan pandangan dari segi pendekatan.
v) UMNO jelas berpendirian tidak terima hudud dan PM Najib mengatakan RUU itu bukan mengenai hudud sedang PAS tujuan PAS ialah untuk melaksanakan hudud. Tapi PAS tidak marah UMNO malah semakin mesra, dan PAS dan UMNO mahu menggunakan RUU itu sebagai bahan kempen PRK.

Serious kah apa yang PAS mahu?

Ianya hanya satu kelakau saja.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan