Theflowersellingboy

Jumaat, 27 Mei 2016

Mengapa Mara`h DAP saja?




Hadi amat marah pada DAP kerana katanya tidak hormat orang Islam. Katanya DAP anti Islam sebab DAP tidak setuju dengan pembentangan RUU berkaitan dengan hudud.
 
Jika DAP anti Islam, Hadi punya alasan untuk marah. Bukan saja Hadi, semua orang Islam  perlu marah pada DAP.  Saya setuju dengan Hadi.
 
Tapi apa itu anti Islam? Setakat tidak bersetuju dengan pembentangan RUU itu, tidak kuat untuk mengatakan DAP anti Islam. MCA, MIC dan Gerakan dan parti-parti yang lain juga tidak bersetuju dengan hudud, termasuk kepimpinan UMNO.
 
Rasanya Hadi tidak lupa penentangan UMNO dan kepimpinan parti itu tentang Hudud. Bagaimana pendirian Dr. Mahathir semasa jadi PM dulu. Macam mana dengan kenyataan PM Najib tentang hudud. Bukankah Najib sendiri mengatakan hudud tidak sesuai dalam negara berbilang bangsa. 
 
Yang terbaru, pendirian presiden Parti Ikatan, kawan blok ketiga PAS, seorang Islam , juga mengatakan hudud tidak sesuai semasa pemasyhuran kuasa blok ketiga diantara PAS dan Ikatan.
 
Mengapa Hadi begitu sensitif dan marah sekali jika kata-kata atau tindakan yang ditafsirkan sebagai tidak bersetuju dengan hudud itu yang diucap atau dilakukan oleh DAP sedangkan banyak lagi pihak lain juga melakukan perkara yang sama. 
 
Mengapa Hadi susah nak faham penentanagn atau tidak bersetuju hudud dari kalangan bukan Islam. Mereka bukan Islam sudah tentu , sama ada mereka tidak faham tentang hukum itu (sebahagian besar orang Islam juga tidak faham) , atau khuatir hukum itu akan melibatkan mereka walaupun telah diberitahu ianya tidak ada kena dengan bukan Islam atau penentangan mereka atas dasar Perlembagaan Persekutuan, maka Hadi tidaklah secepat itu mendakwa DAP anti Islam.
 
Tapi jika, Hadi masih mengatakan penentangan DAP itu adalah sebagai anti Islam maka Hadi juga mesti marah pada MCA, MIC , PM Najib, bekas PM Dr. Mahathir dan presiden Ikatan.
 
Kalau Hadi berbuat begitu, marah Hadi itu lebih kredibel.
 
Adakah berjayanya RUU itu dibentangkan sebagai satu isyarat Najib bersetuju dengan Hudud? 
 
Saya tidak percaya.
 
Jangan silap dan buruk sangka mengatakan saya pula anti hudud. Saya menyokong hudud bukan kerana PAS atau mana-mana parti politik yang mahu menjayakannya tapi ianya hukum Allah. 
 
Tapi saya tidak yakin kepimpinan UMNO khususnya PM Najib mahukan hudud dilaksanakan sama ada di Kelantan atau di mana-mana negeri di Malaysia.
 
Sebenarnya tidak perlu tunggu PAS untuk membawa RUU itu. UMNO yang berkuasa yang mendakwa memperjuangkan Islam itu sepatutnya seawal dulu lagi telah meminda undang-undang yang berkaitan bagi perlaksaan hudud.
 
Mungkin yang lepas UMNO dan kepimpinan UMNO telah terlepas pandang. Kita boleh maafkan.
 
Tapi mengapa UMNO meminta PAS yang membawa RUU itu dan bukan UMNO yng memerintah itu yang melakukannya?
 
Jika sebenarnya UMNO mahukan hudud, UMNO boleh melakukan pindaan tanpa banyak kerenah pentadbiran. Tapi mengapa tidak? Tidak ada sebuah negeri yang dikuasai UMNO yang mahu melakukannya.
 
Adakah soalan itu tidak ada dalam kepala Hadi? 
 
Adakah tidak terdetik dihati kita semua, terutamanya Hadi dan ahli-ahli PAS mengapa RUU itu yang pada mulanya diletakkan disenarai terakhir dalam agenda persidangan parlimen, sedia dinaik dan dipercepatkan untuk tujuan pembentangan dihari terakhir persidangan parlimen. Dan untuk dibahas dan dibincangkan pada sessi parlimenakan datang yang dijangka bersidang pada Oktober.
 
Dan mengapa pula pada persidangan-persidangan yang lepas, RUU itu yang juga disenaraikan sebagai agenda terakhir tidak pula mahu disegerakan?
 
Ya, mungkin ada yang boleh berkata bahawa kita sewajarnya bersikap bersangka baik atas persetujuan RUU itu dibentangkan. Namun apa yang telah berlaku termasuk kenyataan menetang hudud yang telah dikeluarkan yang tidak langsung dipulihkan dengan PM menyatakan antara lain bahawa "Saya sebagai Perdana Menteri merasakan sudah tiba masanya RUU mengenai hudud dibentangkan untuk persetujuan parlimen. Dan Kerajaan akan melakukannya".
 
Kalau benar, kerajaan mahukan atau menyokong perlaksaan hudud, sepatutnya itu yang dilakukan. 
 
Hudud ini bukan hukum politik. Tidak ada kena mengena langsung dengan politik. Hudud ini menjadi tanggungjawab kerajaan yang memerintah untuk melaksanakanya. Jika itu dilakukan, tidak perlu mana-mana parti politik untuk mecadang dan membawa bil persendirian untuk perlaksanaan hudud.
 
Kenapa kerajaan tidak melakukannya? Sebab pemimpin parti yang memerintah iaitu UMNO dan parti-parti gabungan dalam BN yang lain akan tidak bersetuju. 
 
Bagi orang dan parti politik UMNO, yang mana lebih penting? Sudah tentu sokongan politik lebih penting. Hudud tidak memberi mereka kuasa. Sokongan politik memberi mereka kuasa.
 
MCA dan parti lain yang anggota ahlinya bukan Islam sudah jelas memberi reaksi tidak meyokong. Di Kedah diberitakan seorang Exco negeri itu dari MCA keluar dari MCA kerana tidak bersetuju dengan pembentangan RUU ini.
 
Tindakan exco itu adalah , bagi saya satu tindakan yang boleh juga dikategorikan sebagai biadap jika kemarahan Hadi terhadap DAP itu dijadikan asas kemarahan Hadi.
 
Oleh itu, adalah lebih molek Hadi bertindak secara konsisten dengan memberikan ulasan yang sama kepada sesiapa saja yang jadi penghalang kepada RUU termasuk menuntut secara jelas pendirian PM Najib yang pernah menyatakan hudud tidak boleh dilaksanakan di Malaysia.  
 
Jika itu yang Hadi dilakukan saya tabik hormat pada Hadi. 
 
Tapi setakat marah kepada DAP dan tidak kepada yang lain terutama kepimpinan Islam, pembentangan RUU ini menjadikan hati saya ragu ianya sesuatu yang akan mendapat sokongan dari kerajaan khususnya Perdana Menteri.
 
Tapi jika berjaya, alhamdulillah. 
 
Walaupun saya tidak bersetuju dengan marah Hadi itu, tapi saya faham mengapa beliau marah sangat pada DAP dan tidak pada yang lain khususnya kepada pemimpin Islam yang tidak bersetuju dengan hudud. Marah Hadi itu adalah marah politik. DAP dan PAS telah berpatah arang berkerat rotan. 

Bagi saya, buat ketika ini PAS tidak mampu untuk marah UMNO. Begitu juga UMNO tidak mampu untuk tidak melayan kehendak PAS. Kedua-duanya saling perlu memerlukan untuk menambah bilangan penyokong dan pengundi. Dua PRK iaitu di KK dan SG Besar adalah pemangkin kepada saling perlu memerlukan ini.

Lantas marah DAP adalah juga isyarat jelas memberi tahu kepada pengundi Melayu di kedua-dua kawasan itu bahawa PAS adalah pejuang Islam dan UMNO juga menyokong perjuangan PAS itu. Pengundi Melayu dari PKR, Amanah dan DAP sudah diharapkan dapat mengambil maklum akan perkara ini.

Datang Oktober nanti, saya kurang yakin apa yang hendak dilakukan oleh PAS  itu akan dapat dilakukan tanpa berbagai alasan dan helah dari kerajaan. Harap-harap ianya tidak jadi seperti apa yang saya sangka.

Akhirnya Tuan Guru Haji Awang, janganlah mudah nak marah-marah kepada DAP. Kalau nak marah, marah juga mereka yang melakukan perbuatan yang sama seperti DAP lakukan iaitu menentang hudud.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan