Theflowersellingboy

Khamis, 2 Jun 2016

Politik Matang dan Sejahtera PAS: Mampukah PAS Amalkan.?




PAS mahu berubah kepada politik matang dan  sejahtera. Itu yang dinyatakan oleh presiden PAS, TG Haji Hadi Awang.
 
Cuma PAS tidak menyatakan berubah dari kedudukan yang macam mana, dari politik apa ke politik matang dan sejahtera. 

Namun begitu sesuatu perubahan itu sudah tentu kearah yang lebih baik dari kedudukan yang ada dan yang telah berlalu. Biasanya begitulah maksud sesuatu perubahan. Saya percaya PAS berada dalam parameter yang sama.

Sekiranya politik lama menguntungkan , tiada kelemahan , saya fikir PAS tidak akan mengambil pendekatan berubah kepada politik matang dan sejahtera. Dalam lain perkataan , ada yang tidak kena dalam politik lamanya itu.
 
Apakah dulu PAS tidak matang? Tidak mungkin, parti yang sudah berusia lebih 60 tahun itu tidak matang dalam perjuangan.
 
Dan apakah PAS tidak ambil berat tentang kesejahteraan? Juga tidak mungkin kerana perjuangan PAS adalah berteraskan Islam. Dan Islam agama yang menitikkan kesejahteraan.
 
Jadi apa yang tidak kena dengan cara berpolitik PAS dulu?
 
Saya beruntung kerana berkesempatan mengikuti ucapan dari Ketua Penerangan PAS Ustaz Nasharuddin wakil rakyat Temerloh.
 
Saya dapati ucapan beliau dari segi intonasi suara, penggunaan isyarat bahasa badan adalah sama dengan ucapan-ucapan yang saya pernah dengar dahulu. Keras dan beri perintah. Ada unsur siku dan lutut.
 
Yang ada beza kali ini ialah isi ucapannya. Pertama  kali saya mendengar isi ucapan yang menyentuh soal pendekatan yang santun dalam hubungannya dengan pihak luar. Maksud dari kata-katanya saya simpulkan sebagai satu keperluan bagi PAS untuk menjaga imej parti itu (parti Islam), sesuai dengan imej fisikal yang dipamerkan.
 
Secara jelas beliau tidak mahu bahawa orang yang berserban, berkopiah putih dan berjubah dan ada yang berjanggut yang sentiasa meneriak Allah hu akbar setiap kali mahu memberi sokongan, tidak molek mengamalkan politik maki hamun.

Saya percaya semua orang bersetuju. Ianya bukan saja memalukan PAS bahkan memalukan orang Islam kerana telah tertanam dan menjadi kepercayaan banyak orang bahawa PAS membawa imej Islam.
 
Saya percaya dan kecewa.
 
Bagi saya, memang, sebahagian besar ahli-ahli PAS termasuk kepimpinan PAS sepanjang yang saya ketahui telah gagal membawa imej Islam yang sebenarnya walaupun keterampilan Islamnya boleh dilihat menerusi pakaian dan petikan-petikan ayat al-quran dan hadith.
 
Dari segi perlakuan dan kesopansantunan penggunaan bahasa dan tekanan suara, PAS gagal membawa imej Islam. PAS juga tidak ada bezanya dengan parti-parti lain yang dikatakan sekular seperti UMNO dalam hal melemparkan dakwaan kepada pihak yang bersaing. 
 
PAS terlalu mesra  dengan  kata-kata  seperti jebon, munafik, kafir dan kata-kata lain seperti barua , khianat, kadam DAP, kuda tunggangan dan berbagai kata yang sejenis dengannya bagi memperkecilkan pihak lain yang tidak dipersetuji atau sealiran dengannya.
 
Apakah PAS miskin dengan  perbendaharaan kata bagi maksud menyatakan tidak bersetuju dengan pihak lain?
 
Mungkin PAS mahu berhujah bahawa mereka lakukan itu kerana mendakwa pihak lain yang dahulu melakukannya? 
 
Adakah  cara sedemikian menjadi panduan PAS dalam cara berhujah dengan pihak yang tidak dipersetujui? Dan adakah cara ini PAS yakin boleh memenangi hati orang ramai untuk bersama dengan PAS? 
 
Saya percaya isi ucapan Ustaz  Nasharuddin itu adalah satu rujukan yang jelas kepada tatalaku PAS yang lepas.
 
Saya mendoakan perubahan PAS ke politik matang dan sejahtera ini akan berjaya. Ianya sesuatu yang senang dituturkan dan tidak mudah diamalkan.
 
Itu doa saya.
 
Tapi saya tidak mampu untuk meyakinkan sepenuhnya hati saya melihat kepada perkembangan yang terbaru dikalangan pimpinan PAS.
 
Oleh itu saya pohon maaf. Saya ada sedikit perasaan ragu-ragu. 
 
Kata-kata ketua pemuda PAS bahawa Amanah telah diberi arak oleh DAP, saya anggap satu permulaan yang tergelincir ke arah perubahan kepada politik matang dan sejahtera. Ianya adalah  politik cari jalan untuk berkelahi diantara Amanah  dan DAP dengan PAS.Ianya satu pertanda yang tidak sihat.
 
Sindiran presiden PAS juga , saya percaya ditujukan kepada Amanah dengan menggunakan perkataan mangga masam kepada lawan PAS di PRK Sg. Besar , bukanlah langkah mula yang baik kearah mengamalkan politik matang dan sejahtera.


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan