Theflowersellingboy

Khamis, 26 Mei 2016

Pembangkang Yang Berpecah Tidak Perlu Bertanding PRK Sg. Besar dan Kuala Kangsar




Sekali lagi saya ulang: UMNO akan  menang dalam PRK Sg. Besar dan Kuala Kangsar. Itu bukan doa saya, bukan juga harapan. Tapi itu adalah kenyataan.

Perkembangan semasa berkaitan dengan PRK di Sg. Besar dan Kuala Kangsar tidak memberi harapan yang cerah kepada parti pembangkang. Dengan demikian saya bertambah yakin UMNO akan menang PRK Sg Besar dan Kuala Kangsar. 

Oleh itu parti-parti pembangkang wajar mengistiharkan diri tidak bertanding agar kita dapat menyelamatkan wang menguruskan PRK disamping wang parti-parti yang bertanding.

Jika pembangkang mahu juga bertanding, hanya satu parti pembangkang saja yang bertanding tetapi bukan PAS. 

PAS akan kalah kerana pengundi bukan Melayu khususnya pengundi Cina yang menyokong DAP dan PKR tidak akan mengundi PAS lagi. Mereka akan mengundi BN (UMNO). Pengundi Melayu PKR juga tidak akan  mengundi PAS kerana sikap PAS yang degil dan tidak setiakawan.

Jika pun PKR atau Amanah saja yang bertanding peluang pembangkang untuk menang paling baik ialah 50:50. 

PAS tidak akan menyokong Amanah kerana mereka sudah berpatah arang berkerat rotan.  Tiada maaf bagimu wahai Amanah.

Dan diantara PKR dan UMNO, perkembangan yang kita lihat, PAS lebih mahu mendekati UMNO dari PKR. Tambahan lagi PKR ketika ini kurang sihat yang boleh menyebabkan sebahagian penyokongnya tidak keluar mengundi.

Tidak dinafikan UMNO ada masalah. Tapi UMNO ada kekuatan dari segi jentera dan wang. Wang boleh menyejukkan hati penyokong dan pengundi Melayu yang agak marah-marah. 

UMNO sudah masak dengan watak Melayu. Marahnya cepat memuncak. Tapi hatinya tidak kesampaian jika budi dan jasa dikenang-kenangkan: 

Tengok saja jalan raya, klinik, hospital, jambatan, subsidi baja, sekolah, letrik, air paip, bantuan buku teks, pakaian sekolah, dan macam-macam lagi. Apakah kamu tidak bersyukur? Tidak mengenang budi? Apa lagi yang kamu mahu.....nah ambil BR1M. Demi Melayu, agama dan tanah air, UMNO lakukannya. Apakah kamu tidak kenang budi?

Orang Melayu akan cair jiwa dan raganya. Tiada lagi marah melekat dihati. Orang berbudi, apa salahnya kita beri undi, yang jadi PM juga orang Melayu.

Apa pembangkang boleh beri? Air liur saja. 

Dalam keadaan sara hidup yang menekan ini, pemberian wang sebanyak 50 ringgit, apatah lagi lebih dari itu adalah terlalu bermakna. Ianya sungguh merengankan. Yang penting bagi pengundi Melayu ialah membantu menyelesaikan/merengankan masalah  yang ada didepan mata. 

Soal urustadbir yang baik, soal moral kepimpinan yang baik, dan menolak rasuah tidak dapat memenangi hati mereka kerana semuanya itu tidak membantu merengankan masalah beban yang dihadapi ketika itu.

Jangan silap bahawa saya tidak mengatakan pengundi Melayu ini tidak mahu pimpinan yang baik, tadbirurus yang baik dan kerajaan yang tidak rasuah. Itu yang mereka mahu.

Tapi mereka perlukan wang dulu. Dan godaan wang selalunya berjaya memenangi undi mereka.

Untuk melawan UMNO mesti ada wang yang banyak. UMNO percaya wang adalah RAJA. Oleh itu memperolehi wang dengan apa cara sekalipun termasuk dari para penderma adalah agenda utama UMNO/BN dalam menghadapi pilihanraya. 

Pembangkang boleh buat berbagai janji yang dimahukan oleh rakyat. Tapi setakat itu saja pembangkang tidak mudah untuk mengalahkan UMNO/BN. Apatah lagi pembangkang yang berpecah belah sama ada sesama parti atau diantara parti dan kedua-duanya akan tidak dapat mengatasi undi yang diperolehi UMNO.

Jika senario pembangkang masih kekal seperti yang dinyatakan iaitu berpecah belah, UMNO akan berterusan berkuasa selagi ada matahari dan bulan. 

Jadi untuk PRK Sg.Besar dan Kuala Kangsar ini, pembangkang yang berpecah itu tidak perlu bertanding.  

 

 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan