Theflowersellingboy

Isnin, 9 Mei 2016

Pilihanraya Kecil Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar: Parti Mana Akan Melawan UMNO. Jika PAS Saja , UMNO Boleh Senyum Lebar.




Parti manakah yang akan bertanding bagi kawasan Parlimen Kuala Kangsar di Perak dan Sungai Besar di Selangor?

Yang pasti ialah parti UMNO (BN) bagi kedua-dua kawasan itu. Yang pasti juga ialah PAS yang telah menyatakan hasrat untuk bertanding walaupun mereka tidak menjadikan mendapat kemenagan sebagai asas untuk mereka bertanding.

Bagaimana dengan parti-parti dalam PH - Amanah, PKR dan DAP? Mana satu yang mahu bertanding?

Jawapannya, ikut hati dan nafsu parti masing-masing,  saya percaya ketiga-tiga parti itu mahu bertanding. Ini bukan saya suka-suka percaya saja. Saya percaya berasaskan bukti. Bukti pada pilihanraya Sarawak yang baru saja berlangsung.
 
Tapi apa makna persepakatan politik dibawah nama PH jika ketiga-tiganya mahu bertanding. Mungkin itu yang ditanya oleh setengah pihak atau yang dipegang teguh oleh sebahagian ahli dan kepimpinan parti-parti gabungan PH itu.
 
Lebih baik tiada kesepakatan politik! Rengus dan marah orang yang berpegang teguh kepada prinsip persepakatan dalam politik.

Saya boleh berhujah dan beritahu mereka bahawa bukankah politik ini permainan serba mungkin yang tidak mudah ditelek dan diramal. Hari ini kawan, esok belum tentu. Kalau tidak semua janji akan ditepati sedangkan janji politik bukan janji yang boleh dipercayai sepenuhnya.

Pelawaan Timbalan Presiden PKR mengajak PAS bersama dalam PH dan kenyataan PAS untuk bertanding di dua kawasan parlimen tersebut adakah satu kebetulan? Atau strategi politik?

Kebetulan atau tidak dan sama ada ianya bersifat strategi atau sebaliknya ianya tidak menjawab soalan siapa yang akan bertanding dari PH bagi kedua-dua kawasan Parlimen itu. 

Nampak gaya, jika kepimpinan PH tidak dapat segera menjawab siapa yang akan bertanding, parti mana yang dipersetujui untuk bertanding diantara mereka, gabungan parti-parti dalam PH ini dikhuatiri akan tidak panjang umurnya. Retak menunggu belah.

Adakah jemputan Timbalan Presiden PKR untuk PAS bersama dalam PH merupakan satu isyarat politik bahawa PKR atau Timbalan Presiden itu secara peribadi mahukan PAS bertanding di kedua-dua kawasan itu. Alasannya kedua-dua kawasan itu adalah kawasan PAS menurut yang dipersetjui semasa PAS dalam PR dulu.

Jika PAS dalam PH maka logiknya kawasan itu mesti diberikan kepada PAS seperti mana semasa dalam PR dulu. Adakah itu maksud jemputan Azmin itu.

Dalam hubungan ini, PAS, saya percaya akan jual mahal dan mengambil kesempatan meraih faedah sebaik mungkin akan jemputan Azmin itu. 
 
PAS boleh saja berkata bahawa mereka akan beri pertimbangan dengan syarat jemputan Azmin itu mesti jujur dan ikhlas. Bagi PAS ukuran jujur dan ikhlas  itu membawa maksud bahawa Azmin dan kepimpinan PH mesti bersetuju hanya PAS saja yang bertanding di kedua-dua kawasan itu melawan UMNO. 

Saya kira Azmin tiada masalah melihat kepada rekod hubungannya dengan PAS. Dua Exco Selangor pun dari PAS.
 
Halangan yang pasti adalah dari kepimpinan PH sama ada dari PKR, Amanah mahu pun DAP. Mungkin PKR ada sedikit tolak ansur. Tapi tidak dari Amanah apatah lagi DAP yang tidak langsung percaya dengan PAS terutama dibawah Hadi.

Adakah ini akan meretakkan PH? Adakah bara di PRN Sarawak akan semarak melintasi lautan cina selatan dan membahang di Kuala Kangsar dan Sungai Besar?

Kita sama-sama lihat dan tunggu. Tunggu apa yang akan diputuskan oleh kepimpinan PH yang dikatakan akan bersidang tidak berapa lama lagi.
 
Sementara itu saya mahu meneka bahawa mesyuarat kepimpinan PH nanti akan panas. Amanah dan DAP tetap mahukan parti PH bertanding sama ada PKR atau Amanah. Atau disebabkan Amanah masih baru maka  Amanah diberikan satu kawasan dan PKR satu kawasan. 
 
Apapun mesyuarat itu akan panas.
 
Sinario PAS mahu bertanding dan jemputan Azmin agar PAS menyertai PH serta bahang yang dijangka dalam mesyuarat kepimpinan PH nanti, adalah satu petanda yang menggembirakan UMNO, mereda dan merengankan beban yang sedang dihadapi oleh parti itu ketika ini. Lega PM Najib bernafas.
 
Jika berlaku pertandingan 3 penjuru, PAS, PH dan UMNO  dan tidak ada faktor DR. Mahathir yang mahu Najib undur, besar kemungkinan UMNO akan dapat mengekalkan kerusi di kedua-dua kawasan itu.
 
Jika hanya PH saja yang bertanding, UMNO berhadapan dengan tentangan yang hebat. Dengan isu-isu semasa yang dihadapi Najib, dan dibantu pula faktor DR. Mahathir, risiko UMNO kalah itu boleh menjadi satu kebarangkalian yang tidak mudah dinafikan.
 
Tapi jika PAS saja yang bertanding (atas andaian PH percaya PAS akan bersama PH selepas pilihanraya), UMNO boleh senyum lebar. PAS tidak pun merasa apa-apa dengan senyum lebar UMNO itu kerana kekalahan bagi PAS bukan sesuatu yang pedih dan sedih, dan kemenangan pula bukan matlamat utama parti itu. 
 
Jadi saya hairan mengapa Azmin menjemput PAS untuk bersama dalam PH, sebuah parti yang tidak mengutamakan kemenangan.
 
Perkembangan dalam PH dan cara PAS berpolitik yang tidak pentingkan kemenangan telah merengankan beban UMNO untuk memenangi piliharaya di dua kawasan ini. Jika faktor DR. Mahathir tidak masuk campur , UMNO akan selesa. PM Najib boleh tersenyum lebar. 
 
Sekarang yang kita mahu tahu parti mana yang akan melawan UMNO?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan