Theflowersellingboy

Ahad, 8 Mei 2016

BN Menang Besar Di Sarawak: Tiada Tahniah Untuk Mu




Yang batil kerap menang. Dan yang hak, buat masa ini kerap kalah. 

Saya percaya bukan itu yang kita percaya dan bukan itu yang kita mahu. Ianya bukan pegangan saya dan bukan yang saya mahu. Saya percaya bahawa yang batil itu tetap kalah. Yang hak tetap berjaya. 

Sebab itu kita selalu mempertahankan kata-kata: Berani kerana Benar. Kerana yang berkata benar dan yang melakukan yang hak saja yang akhirnya akan berjaya.

Tetapi apa yang berlaku setakat ini adalah sebaliknya. Sebab, tidak ramai yang mahu atau berani menyatakan kebenaran. Risiko dari segi kedudukan, kemewahan dan kuasa terlalu tinggi jika kebenaran itu diperjuang dan dipertahankan. 

Sebab itu ada juga yang mempertahankan kebatilan walaupun mereka itu juga amat tidak suka kepada kebatilan.

Siapa suka jadi pencuri? Siapa suka dikatakan ambil rasuah? Siapa suka dipanggil sebagai pembunuh? Penyangak? Penyamun? Perogol? Penghisap darah? Zalim?

Semua kita membencinya. Tapi dalam realiti kehidupan, kebatilan kerap menang. Ertinya mereka yang melakukan kebatilan mempunyai peluang besar untuk menang.

Oh itu cerita batil dan hak. Lupakan saja. Lebih baik kita tinjau sedikit PRN di Sarawak. Siapa yang menang?

BN menang dalam PRN Sarawak. Kemenangan yang amat besar iaitu 72 kerusi dari 82. Pembangkang termasuk bebas kalah teruk. DAP hilang 5 dari 12 kerusi yang dimenangi pada pilihanraya sebelumnya. PKR hanya menang 3. PAS dan Amanah  kosong. Bebas sama juga.

Tapi saya rasa BN tidak layak diberi ucapan Tahniah. Bukan saya kata BN khususnya PBB tidak kuat. Ia sebuah parti yang kuat, tidak mudah digugat.

Tapi PRN Sarawak ini bukan satu persaingan mendapatkan kuasa politik bagi menubuhkan sebuah kerajaan yang berjalan secara demokratik. Ianya terlalu berat sebelah, memihak kepada BN. 

Saya tidak perlu senaraikan contoh tentang berat sebelah itu hanya memadai dengan kes melarang kepimpinan pembangkang dari Semenanjung untuk berkempen di Sarawak sedangkan pemimpin BN dari Semenanjung berduyun-duyun memasuki Sarawak. Dan sudah tentu banyak benda-benda manis yang digendung dan dicurahkan semasa berkempen itu.

Jadi tidak hairan menang besar. Cuma tidak layak mendapat ucapan tahniah.

Menurut BN , orang Cina sudah kembali menyokong BN, tidak seperti PRU 13 dimana berlaku tsunami Cina ke pembangkang khususnya memilih DAP. 

Betul kah begitu? Saya fikir ada juga benarnya. Mungkinkah ianya akan berlaku di Semenanjung?

Mungkin dua pilihanraya kecil yang akan berlangsung di Semenanjung tidak berapa lama nanti akibat dari BN kehilangan 2 ahli Parlimen berikutan kemalangan helikopter semasa kempen PRN Sarawak akan dapat memberi isyarat tentang sokongan orang China kepada BN.
 
Bagi saya, di Semenanjung mungkin ada juga kesannya . Tapi terlalu kecil kerana orang-orang di Semenanjung terutama orang-orang China adalah pengundi yang terdedah dengan berbagai maklumat, apatah lagi maklumat yang melibatkan salah guna kuasa dan tadbir urus yang tempang/merosakkan negara seperti kes 1MDB.

Namun kita tunggu dan lihat.

Saya juga mengambil kesempatan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa kemalangan helikopter itu. Dan bagi yang Islam saya mendoakan agar mereka dicucuri dengan rahmat dan dimasukkan dikalangan orang yang diredhai Allah: Sesungguhnya dari Allah kita datang dan kepadaNYa kita dikembalikan. Amin.

 
  





 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan