Theflowersellingboy

Selasa, 3 Mei 2016

Atas Nama Islam dan Kerana Islam




Alhamdulillah setelah seminggu berihat , saya muncul semula. Bukan tidak sihat. Cuma berihat dari berblogging.

Semasa berihat itulah saya dapat menemui satu kecenderungan yang semakin meningkat dan meluas dikalangan orang-orang Melayu yang sudah tentu beragama Islam yang menggunakan agama suci ini semata-mata untuk faedah dan kepentingan selain dari mengangkat kesucian agama itu sendiri.

Mereka ini saya panggil sebagai kelompok yang melakukan sesuatu atas nama Islam. Islam dihiaskan dan mesti disertakan bersama dalam segala perbuatan, tindakan, program dan aktiviti mereka. 

Atas nama Islam, Islam dikatakan sebagai penawar dan penyembuh penyakit yang mujarrab. Maka berbagai produk yang berjenamakan Islam dipromosi dan dipasarkan. 

Atas nama Islam juga, apa saja peristiwa atau petanda yang dirasakan pelik dan luar biasa seperti  awan atau apa-apa saja objek yang membentuk tulisan yang kelihatan seperti ejaan Allah dianggap sebagai bukti kekuasaan Allah, dan dengan itu wajar diucapkan subhanallah, lalu perlu diaminkan dan diberi tanda suka dikalangan peminat media sosial.

Dan yang terbaru ialah ayam yang telah sembelih dan dibentukkan seolah-olah seperti ejaan jawi Alf Lam Lam Ha (Allah) mendapat tempat yang meluas di media sosial. Dan dkhabarkan ayam itu dijal pada harga yang melebihi dari harga ayam yang tidak berbentuk seperti itu.

Ya, atas nama Islam mereka melakukannya.

Sebab itu tidak menghairankan pembunuhan kejam dilakukan atas nama Islam. 

Ada juga dikalangan mereka yang dilihat sebagai mempunyai ilmu agama yang tinggi dan pada kedudukan jawatan agama yang tinggi, mempertahankan pemimpin yang zalim, yang rasuah dan melakukan berbagai perbuatan mungkar  juga atas nama Islam. Katanya selagi pemimpin itu orang Islam walaupun melakukan kezaliman adalah haram hukumnya untuk menentang dan menjatuhkan pemimpin itu.

Sampai begitu sekali mereka menggunakan nama Islam. 

Apakah ertinya ayat Al-Quran yang menyeru supaya kita menyeru kepada kebaikan dan menjauhi dan menentang kemungkaran? Adakah ayat ini tidak terpakai kepada pemimpin Islam yang zalim? Atau pemimpin Islam itu mesti dari mereka yang zalim asalkan mereka tidak keluar dari Islam?

Tidak malukah kita kepada yang bukan Islam sedangkan kita sentiasa memberitahu kepada dunia Islam adalah agama yang benar.

Adakah kemungkran itu suatu perbuatan yang termasuk dalam tafsiran BENAR?

Bagi saya mereka adalah kelompak yang menggunakan nama Islam -bahawa atas nama Islam mereka bertindak seperti itu.

Sesungguhnya mereka yang bertindak atau melakukan sesuatu atas nama Islam itu sebenarnya telah merosakkan kesucian dan kemurnian Islam itu sendiri.

Mereka melakukan bukan kerana Islam. Mereka menggunakan Islam bagi faedah diri/kelompok dari segi keuntungan ekonomi, politik dan kedudukan sosial. 

Mereka hanya menjenamakan Islam dalam segala perbuatan dan tindakan. Malang sekali orang Melayu Islam yang memang sebahagian besarnya tidak suka berfikir   memberi sokongan dan sambutan yang baik.

Dan sebahagian besar orang Melayu memang tidak suka berfikir.

Apakah hanya dengan melihat tulisan Allah pada pembentukan pergerakan awan atau objek-objek yang lain mereka baru sedar dengan mengatakan itulah kekuasaan Allah?

Mengapa mereka tidak lihat  pada diri sendiri. Di situ dengan jelas kekuasaan Allah. Tidak perlu tunggu pembentukan ejaan Allah dalam pergerakan awan.

Dan jika mahu menjual makanan yang halal tidak perlu membentuk ayam itu seperti tulisan ejaan Allah. Tidak ada apa-apa pun tambahan kualiti sama ada dari segi kesucian halalnya mahupun zat nutrisinya. 

Dan mengapa pula ayam itu dijual mahal?

Dengan demikian buatlah sesuatu kerana Islam dan bukan atas nama Islam demi menjaga kesucian agam itu sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan