Theflowersellingboy

Isnin, 23 Mei 2016

Apa Pilihan Rakyat Diantara Dua Jembalang Ini.




Negara kita sekarang ini bercelaru, haru biru dan amat memalukan. Kerajaan dan parti kerajaan bercelaru. Pembangkang pun bercelaru.

Rakyat menaruh harapan kepada kerajaan dan pembangkang demi kebaikan dan kesejahteraan hidup mereka. Tapi apa yang boleh diharapkan dari pihak yang bercelaru dan keliru?

Kerajaan dan pembangkang menjadikan rakyat sebagai landasan kuasa. Berebut-rebut memberi harapan kepada rakyat. Semua kata dan tindakan adalah untuk kebaikan rakyat, untuk faedah rakyat dan demi rakyat mereka berkhidmat!

Putar alam punya orang, kata rakyat yang amat marah.

Lihat apa yang kerajaan telah dan sedang lakukan. Banyak kerosakan dari yang memberi faedah kepada rakyat. Tapi kerajaan masih lagi melalak mengatakan mereka bekerja untuk kebaikan rakyat.

Lihat saja pengurusan wang dan sumber negara. Kemana perginya sumber negara yang kaya itu? Digunakan untuk kebaikan dan kesejahteraan rakyat?

Jawabnya, sumber itu telah digunakan untuk kepentingan sebilangan kecil elit, sebahagian kecil kelompok yang berkuasa dan dekat dengan yang ada kuasa. 

Berbagai cara dan tipu daya digunakan termasuklah menyekat sebarang maklumat yang boleh mendedahkan salahlaku mereka yang berkuasa melalui peruntukan berabagai undang-undang.

Mereka yang memperjuangkan ketelusan dalam tadbir urus negara , dan berjaya mendedahkan salahlaku dalam penggunaan sumber wang negara akan ditaklukkan kepada peruntukan undang-undang Rahsia Rasmi Kerajaan yang boleh didakwa dan dikenakan hukuman tertentu.

Maka tidak hairanlah pihak yang berkuasa boleh melakukan apa yang mereka suka selagi apa yang mereka lakukan itu tidak menjejaskan kepentingan mereka, dari segi kedudukan kuasa dan ekonomi peribadi. Undang-undang yang ada mereka tafsirkan sedemikian rupa yang menyamakan kepentingan negara dengan kepentingan kelompok dan peribadi.

Lihat saja tentang perjanjian-perjanjian konsessi misalnya konsessi lebuhraya bertol. Kadar tol, terma dan syarat termasuk tarikh tamat konsessi itu adalah diluar pengetahuan rakyat sedangkan ianya mempunyai kepentingan rakyat.

Rakyat perlu terima saja kerana apa yang dilakukan adalah demi rakyat. Konon!

Banyak lagi salah laku yang menyusahkan rakyat. Rasuah, kelihatan sekarang ini sudah boleh diterima oleh sebahagian rakyat, yang telah menetapkan pendirian bahawa pimpinan kerajaan yang melakukannya perlu disokong dan dipertahankan walaupun mereka yang menyokong itu sentiasa mengingatkan ayat-ayat al-quran tentang menentang kemungkaran dan menyuruh melakukan kebaikan.

Tapi demi pemimpin yang disokong , demi kelompok yang berkepentingan maka rasuah bukan lagi satu perbuatan yang mungkar . 

Mungkin mereka ini adalah pengamal yang percaya dengan kata-kata 'bohong sunat' iaitu boleh saja berbohong bahkan dapat pahala jika berbohong. Rasuah itu adalah sesuatu yang sunat dilakukan jika ianya melibatkan kepentingan diri dan kelompok.
 
Dalam keadaan tadbir urus kerajaan yang jelik ini maka sebahagian besar rakyat menaruhkan harapan penuh kepada parti pembangkang untuk pembangkang mengambil alih teraju pemerintahan.

Itu adalah harapan sebahagian besar rakyat.

Tapi apa yang berlaku diantara parti pembangkang yang mahu memperjuangkan keadilan sosial demi kepentingan rakyat , konon, adalah tidak jauh dari apa yang dilakukan oleh kerajaan, kerana tidak ada kesepakatan antara parti dan dalam parti. Masing-masing terlalu ego dan tamakkan kuasa. 

Maka apa bezanya dengan Kerajaan yang ada yang sentiasa menyalahgunakan kuasa disebabkan tamak dan haloba. Sudah tentu tidak ada beza jika pembangkang yang ambil kuasa.

Kerajaan bercelaru, pembangkangpun serupa macam itu rakyat yang haru biru.

Malang sekali kerajaan dan pembangkang tidak tahu malu. Rakyat  semakin menderita, kena tipu bahkan menanggung malu disebabkan kerenah dan perangai buruk kerajaan dan pembangkang.

Apa pilihan rakyat? Rakyat kena buat pilihan diantara 2 hantu jembalang ini.
 

 




 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan