Theflowersellingboy

Jumaat, 22 April 2016

Kerbau Membawa Lumpur




Kenal kerbau?

Saya rasa ada yang kata pertanyaan saya diatas tidak cerdik. 

Tidak mengapa kerana jika saya mahu bertanya sudah tentu saya juga wajar menerima kesan dari pertanyaan itu. 

Antara kesannya, ialah respons yang bukan sahaja mahu mencari jawapan tetapi menilai soalan yang ditanya -ada yang menilai sebagai tidak penting lantas tidak perlu; dan ada pihak yang kata mengapa soalan semudah itu ditanya lantas mereka ketawakan saya. 

Biarkan mereka ketawa. Saya telah menghiburkan hati mereka.

Namun saya mahu mengenalkan apa itu kerbau. Lihat video di bawah ini. Lihat kerbau-kerbau sedang berkubang.

 
Kerbau Berkubang.

Itulah kerbau. Kerbau seronok berkubang. Maksudnya suka mandi air lumpur.

Kerbau mesti berkubang. Kalau tidak ianya bukan kerbau. Apabila sudah berkubang (mandi) dan keluar dari kubang seluruh badan kerbau itu diselaputi lumpur. 

Selepas mandi,  kerbau yang berlumpur itu akan diarah oleh tuannya untuk masuk ke kandang untuk berihat dan tidur. Maklum sajalah esok mahu ke sawah lagi untuk membajak menyediakan tapak semaian.

Walaupun badan diselaputi dengan lumpur yang kotor, tidur kerbau terlalu lena, dan mungkin dibuai dengan mimpi yang menyeronokkan. 

Hahahaha, secara rengkas itulah kerbau.

Kita, mahu jadi macam kerbau suka berkubang dan bergelumang dengan lumpur?

Saya percaya tiada siapapun mahu mandi seperti kerbau. Itu fitrah manusia, kerana kita suka yang bersih dan cantik yang bukan saja senang dan suka dilihat bahkan disayang oleh semua orang.

Sebab itu orang tua-tua dulu telah menggubalkan satu peribahasa yang menolak atau memandang hina  seseorang yang terlibat dalam perkara jahat atau yang memalukan masyarakat dengan menjadikan budaya kerbau itu sebagai latar peribahasa tersebut.

"Seekor kerbau membawa lumpur , habis semuanya terpalit". Demikianlah bunyi peribahasa itu.

Tadi saya menyatakan, setelah siap mandi dan keluar dari kubang, kerbau itu akan diarah oleh tuannya ke kandang. Dalam perjalanan, kerbau itu akan menggesel apa saja objek misalnya batang-batang pokok serta daun-daun sehingga lumpur yang ada pada badannya melekat pada objek-objek itu.

Jika kita pula memilih laluan itu, kita juga akan terpalit dengan lumpur itu walaupun kita tidak berkubang seperti kerbau itu.

Sekali lagi saya mahu tanya adakah kita mahu jadi macam kerbau?

Diatas tadi saya kata bahawa saya percaya tiada siapapun mahu jadi macam kerbau. Kita tidak mahu benda yang kotor dan memalukan. Kita tidak mahu terlibat sama dalam hal-hal yang menjijikkan.

Betulkah begitu?

Memang betul kita tidak suka yang kotor, dan tidak mahu terpalit atau dipalitkan.

Tunggu sebentar sebelum kenyatan diatas dikatakan sebagai benar untuk semua. 

Kotor dan bersih ini, boleh saja bertukar sifat jika kita memilikki kuasa, khususnya kuasa politik, dan kita juga menguasai sesuatu organisasi atau sebuah kerajaan.   

Maka dengan hal yang demikian, bukan satu yang luar biasa apa yang sedang berlaku dalam 1MDB. 

Ada yang suka berkubang seperti kerbau dan ada yang terpalit, dan ada yang suka terpalit bahkan mempertahankan kerbau yang melakukan palitan sehingga meninggalkan lumpur pada objek palitan itu.
 
Kerbau tidur lena dengan lumpur di badan.

Mampukah kita tidur lena dengan lumpur dibadan?

Saya tiada jawapan. Yang saya boleh jawab  hanyalah cerita kerbau yang suka berkubang. Itu saja.

Siapakah gerangan yang suka berkubang?
 





 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan