Theflowersellingboy

Khamis, 18 Februari 2016

LUPAKAN SAJA SUARA-SUARA BISING ITU: PEKAKKAN TELINGA.




Itu semua suara-suara bising. Jangan pedulikan suara-suara itu. Ada telinga tutup. Kalau tak tutup telinga, buat pekak saja. Dengar dan percayalah suara  saya kerana suara saya tidak bising memekak. 

Mana mungkin negara saya menuju muflis atau sebuah negara gagal. 

Saya ke sini dengan jet khas , kerajaan yang beli. Saya ke sini beserta dengan pengiring, bukan seorang, kerajaan yang bayar. Tempat tidur , makan minum, meraikan tetamu dan beriadah, semuanya tanggung beres, kerajaan juga yang bayar.

Jadi macam mana orang yang bersuara bising itu kata negara saya sebuah negara gagal, negara yang penuh hutang dan buat rugi dalam urusniaga. 

Mereka buat bising, menuduh saya makan suap. Mereka itu bodoh. Manusia makan mestilah bersuap. Takkan nak makan macam itik secara menyudu. Atau menggonggong macam anjing. Atau mencakar mengais macam ayam.

Mestilah makan bersuap.

Memang mereka itu bodoh. Bangang. Kerjanya tahu buat bising, menyalak sana sini.

Sibising ni kata saya kuat berhutang, konon saya buat hutang terlalu banyak dalam tempoh yang singkat.

Beritahu saya, negara mana yang tidak berhutang? Saya buat hutang pada tahap kemampuan bayar balik. Ertinya pihak yang memberi hutang percaya kemampuan negara saya bayar balik hutang. Rating bayar balik hutang negara saya adalah tinggi dan meyakinkan kepada pemberi hutang.

Gagal berhujah tentang hutang negara, si suara bising ini berpaling pada syarikat strategik negara. Mereka kata syarikat itu tanggung hutang yang tinggi. 

Mereka itu bodoh. Mereka cakap fasal liabiliti saja. Mereka tidak sentuh fasal aset syarikat itu yang mengatasi liabiliti.

Punyalah mereka sakit hati atas kejayaan syarikat itu dengan membuat fitnah mengatakan wang syarikat itu masuk dalam akaun peribadi saya. Gila betul sibising itu. Mereka ingat saya ini bodoh macam pak pandir, nak buat macam itu.  Tidak, tidak. Saya ada otak.

Saya beritahu pada si suara bising bahawa ada billionan yang sudi menderma ke dalam akaun peribadi saya. Ada orang nak derma, apa salahnya saya terima. 

Saya tahu mereka ini cemburu kerana tiada seorang pun yang berkenan untuk memberi mereka derma. Sebab itu, asalnya saya tidak mahu beritahu derma ini, saya khuatir mereka cemburu dan buat berbagai fitnah.

Tengok, apa yang saya jangka , betul-betul berlaku. Mereka kata yang bukan-bukan tentang derma itu. Naik lelah saya terangkan bahawa wang itu wang derma. Apa salahnya terima wang derma.

Mereka telah kehabisan modal. Bangkitkan pula kes mahkamah yang telah selesai bertahun lamanya. Kes pembunuhan yang tiada kaitan dengan saya. Kenapa bangkit sekarang? Kenapa tidak dibangkitkan semasa kes sedang berjalan di mahkamah. Lagipun kes telah selesai. Pembunuh sudah dijatuhkan hukuman.

Jadi tuan-tuan sekalian jangan pedulikan suara-suara bising itu sama ada datangnya dari negara saya atau macai-macai mereka dari luar negara saya. 

Jemput datang ke negara saya. Lihat dengan mata sendiri akan kejayaan negara dibawah kerajaan saya, pimpinan saya. 

Lupakan saja suara-suara bising itu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan