Theflowersellingboy

Isnin, 15 Februari 2016

Berjimat Belanja dan Elakkan Kebocoran Hasil


.

Kerajaan sekarang mengambil langkah jimat cermat dalam perbelanjaan kerana pendapatan kerajaan dijangka merosot akibat dari kejatuhan harga minyak iaitu sumber pendapatan utama kerajaan.
 
Antara langkah jimat cermat yang telah diumumkan ialah mengurangkan hidangan makanan mesyuarat, penerbangan kelas ekonomi bagi pegawai tinggi kerajaan, mengurangkan perbelanjaan dalam bentuk hias menghias dalam menyambut pemimpin atau majlis perasmian seperti hamparan permaidani merah,  pemberian cendera mata dan hiasan bunga-bungaan.
 
Mungkin ada banyak lagi langkah yang akan atau telah dilaksanakan seperti penjimatan penggunaan air dan letrik.
 
Langkah jimat perbelanjaan seperti diatas itu wajar diambil. Namun begitu ada lagi jenis perbelanjaan yang perlu di hapuskan segera. 
 
Perbelanjaan yang dimaksudkan ialah: 
 
i) Bayaran khidmat perunding kepada pakar asing. Kerajaan tidak sepatutnya mengambil pakar asing kerana kita mempunyai penjawat awam yang mampu malah lebih baik dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.
 
ii) Bayaran kepada lantikan politik sebagai penasihat kerajaan yang bertaraf menteri. Sekurang-kurang 8 orang yang terlibat yang dibayar gaji dan berbagai elaun dan kemudahan sama banyaknya dengan menteri. Mereka adalah 'redundant', dan tidak perlu kerana telah sedia ada menteri dan penjawat awam yang bertanggungjawab melaksanakan tugas yang kononnya menjadi tanggungjawab mereka.
 
iii) Mengurangkan bilangan jawatan menteri dan timbalan menteri. Berbanding dengan negara maju yang lain seperti Jepun dan England yang mempunyai penduduk melebihi Malaysia, Malaysia mempunyai bilangan menteri yang banyak berbanding dengan dua negara itu.
 
iv) Peruntukan dalam bentuk sumbangan misalnya kepada NGO perlu dikurangkan kerana sumbangan itu lebih bermotif politik.
 
Berjimat belanja juga perlulah meliputi segala usaha bagi melakukan perbelanjaan dengan cekap, berkesan dan teratur menurut proses, peraturan dan undang-undang yang berkuatkuasa.
 
Ertinya tidak berlaku salah guna kuasa dalam melakukan perbelanjaan, melampaui atau melanggari garis panduan perbelanjaan yang telah ditetapkan, tidak terlibat dalam salah laku rasuah dan ketirisan. Contoh yang kerap berlakuialah dalam proses dan prosedur serta peraturan yang melibatkan perolehan kerajaan sama ada tawaran kontrak kerja, perkhidmatan mahupun perolehan barangan.
 
Selain dari berjimat belanja, kutipan hasil kerajaan mesti dilakukan dengan bersungguh dan berkesan supaya tidak berlaku tunggakan, kebocoran dan mereka yang mengelak dari membayar hasil kepada kerajaan seperti mengelak dari membayar cukai.
 
Tetapi tindakan keatas mereka yang mengelak atau lari dari membayar cukai hendaklah dilakukan dengan tegas dan adil. Adalah tidak adil jika mereka yang berkedudan seperti menteri dilepaskan dari membayar cukai kastam semasa balik membeli belah dari luar negeri sedangkan mereka yang tidak ada kuasa dan kedudukan dikenakan cukai. Semasa berkedudukan atau tidak, jika undang-undang mengatakan kena cukai, cukai mesti dikenakan.
   
Adalah diharapkan usaha berjimat belanja ini dilaksanakan dengan teratur. Usaha ini akan lebih berkesan jika semua pihak termasuk Perdana Menteri sendiri menunjukkan teladan dengan melakukan perbelanjaan secara berkhemah dan meyakinkan.

Kalau hanya cakap saja, tapi berbelanja ikut sedap dan selera sendiri tanpa memikirkan kepentingan negara dan rakyat maka janganlah cakap fasal jimat berbelanja. Ianya jadi bahan ketawa dan sia-sia saja.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan