Theflowersellingboy

Rabu, 17 Februari 2016

Sangkar Negara Dunia Ketiga,




Malaysia akan menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. 

Anda yakin? 

Saya tidak yakin. 

PM, DS Najib dan sebahagian kepimpinan kerajaan yakin hasrat itu akan tercapai.

Saya tidak yakin kerana kita masih lagi dalam sangkar pemikiran dunia ketiga , walaupun kita begitu teruja untuk berlepas diri dari perangkap sangkar itu.

Apa itu perangkap sangkar dunia ketiga?

Kita mahukan persekitaran yang bersih dan indah. Tapi dalam masa yang sama kita juga manusia yang tidak ambil peduli dan memberi nilai yang tinggi keatas mewujudkan persekitaran seperti itu.

Kita mahu kehijauan mewarnai lanskap bumi tercinta. Tapi kita juga begitu menggila menarah dan menggondol gunung dan bukit serta  hutan dan belantara.

Kita kata kita pengamal demokrasi terbaik di dunia sedangkan bilangan peraturan dan undang-undang yang kita ada dan sediakan semakin bertambah timbun untuk menutup mulut jika ada yang berbeza. Dan kita juga juara dunia paling terkenal dalam hal tangkapan tanpa bicara dan sumbat orang dalam penjara ikut suka.

Kita tidak rasa malu dan terhina mencemar dan mengotori konsep  pengasingan kuasa, iaitu asas yang kukuh bagi kemahkotaan regim diktator.

Kita biarkan segala salah laku, rasuah, penipuan dan kerja putar belit untuk mendapat dan mengekalkan kuasa bermaharaja lela, bahkan kita adalah penyokong tegar  selama-lamanya.

Maka apakah peluang yang ada untuk satu bentuk agihan kekayaan negara yang adil untuk mengambil tempat dalam sebuah negara yang kotor, gondol, rakyatnya menjadi pekak dan bisu dalam cengkeman diktator, dan segala salah laku kita biarkan berterusan selama-lamanya.

Sudah tentu peluangnya kosong.

Sudah tentu yang wujud adalah kumpulan kecil elitis yang memonopoli segala kuasa dan kekayaan negara.

Dan itulah dia negara dunia ketiga. Dan kita berada dan berterusan dalam sangkar negara dunia ketiga, menjelang tahun 2020. 

Hubaya-hubaya, jika kita berterusan dengan sikap dan pemikiran kita itu, kerana kita takut bertindak melakukan perubahan, maka kekallah kita dalam sangkar dunia ketiga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan