Theflowersellingboy

Selasa, 16 Februari 2016

JANGAN AMBIL1.5 JUTA PEKERJA BANGLADESH




Jangan ambil pekerja asing. Tapi kerajaan mahu ambil juga seramai 1.5 juta pekerja dari Bangladesh.

Alasan kerajaan, khususnya Menteri KDN ialah bahawa rakyat tempatan atau belia tempatan tidak berminat dalam kerja-kerja yang dikatakan sebagai kotor, susah dan berbahaya. 
 
Beliau menyatakan rakyat tempatan hanya boleh bertahan satu dua bulan saja untuk melakukan kerja-kerja bersifat demikian. Lalu beliau mencabar belia tempatan untuk mengambil alih kerja-kerja tersebut.

Cabaran beliau disambut dengan teriakan jelas dan nyata sekali dari belia tempatan yang menyatakan kesanggupan melakukan kerja-kerja yang dimaksudkan.

Jadi persoalannya adakah kerajaan akan dengan segera membatalkan hasrat untuk mengambil 1.5 juta pekerja Bangladesh setelah mendapat reaksi secara berdepan dari belia tempatan itu?

Saya tidak percaya pada tahap 100% menteri itu akan membatalkan hasrat untuk mengambil pekerja Bangladesh itu. Jika itu dilakukan,  ada pihak yang akan menanggung kerugian. Ada risiko politik. Ada risiko meraih faedah ekonomi. 

Saya juga tidak percaya belia tempatan itu akan sanggup melakukan kerja-kerja tersebut. Saya percaya menteri KDN itu sependapat dengan saya. 
 
Bagi saya ada mesej yang hendak disampaikan oleh belia tempatan kepada menteri KDN itu dalam teriakan 'bersetuju' mereka itu.
 
Oleh itu menteri KDN mesti ada kemampuan untuk mentafsirkan jawapan 'bersetuju' belia tersebut.
 
Bagi saya jawapan 'bersetuju' itu adalah satu persetujuan bersyarat. 

Syaratnya ialah bahawa kerajaan mesti melakukan sesuatu bagi menarik minat mereka untuk melakukan kerja-kerja itu. Risiko pekerjaan seperti itu adalah tinggi dan banyak sedangkan pulangannya tidak sepadan dengan risiko. 
 
Oleh itu kerajaan mesti mengambilkira pulangan kepada pekerja sejajar dengan risiko pekerjaan itu.
 
Gaji/upah mesti lebih dari apa yang dibayar ketika ini. Paling kurang RM2,000 sebulan. Pekerja mesti diliputi dengan insuran kemalangan tempat kerja/semasa melakukan kerja dengan liputan bayaran premium yang munasabah. Disediakan juga liputan insuran bagi melindungi/memperolehi rawatan kesihatan kerana mereka melakukan kerja dan terdedah dengan persekitaran yang kotor, berbahaya dan panas terik.
 
Kelulusan akademik bukan satu syarat penting. Tapi kemahiran dalam bidang kerja dan kesanggupan bekerja adalah syarat yang penting. Ertinya dasar bayaran gaji/upah serta kemudahan-kemudahan lain hendaklah berdasarkan 'hardship' yang ditanggung oleh pekerja itu.

Saya percaya, jika mereka berasa selamat dan selesa dari segi ekonomi (gaji) dan kesihatan serta keselamatan diri (liputan insuran), tiada masalah untuk mendapat khidmat kerja dari belia tempatan. Dan dengan itu tidak perlu mengambil pekerja asing seperti 1.5 juta pekerja Bangladesh.
 
Lagi sekali saya nyatakan bahawa Malaysia tidak perlu mengambil seramai 1.5 juta pekerja Bangladesh. Ada berbagai masalah akan kita hadapi, antaranya sosial, jenayah dan penyakit.
  
 
 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan