Theflowersellingboy

Khamis, 4 Februari 2016

Jurutera Petroleum: Takkan Nak Jadi Pump Assistant.




Sudah tiga bulan Azman menganggur. Wang pampasan akibat diberhentikan masih lagi berbaki positif. Menurut kiraannya wang itu mampu bertahan selama tiga bulan lagi tanpa aliran wang masuk (cash inflow). 

Dia tidak menukar pola perbelanjaannya seolah-olah dia masih lagi bekerja.

Dia seorang jurutera petroleum yang menjadi buruan banyak syarikat oil and gas. Bahkan dia ada kuasa tawar menawar semasa hadir untuk ditemuga  dalam menentukan gaji , elaun dan berbagai kemudahan. Dan dia ditawarkan satu pakej yang dia sendiri tidak menduga. Waduhhhh , bersyukur aku.

Dia ketawa besar.

Musim mewah selama 10 tahun.

Tiga bulan lepas , dia dan kawan-kawan dalam industri oil gas terpaksa menghadapi realiti. Realiti bahawa mereka tidak sepenting seperti dulu. 

Dunia menghadapi lambakan minyak . Supply mengatasi demand, satu tiori ekonomi yang mengaturkan harga dalam pasaran ekonomi bebas.

Harga minyak menunjukkan graf menurun. Banyak pelantar mencari minyak terpaksa tutup kedai, dan paling baik mengurangkan operasinya.

Syarikat tiada jalan lain selain mengurangkan tenaga kerja. Azman seorang darinya.

Tiga bulan lepas bermula musim kering bagi Azman.

Dahinya berkerut , menampakkan tiga garis melintangi dahinya secara selari dari kiri ke kanan. Tiada ketawa seperti 10 tahun yang lepas.

Bukitpun jika hari-hari ditarah, akan gondol jua, akan menjadi rata. Dan jika berterusan akan menzahirkan lubang. Dan jika lubang semakin mendalam, dia akan terjerumus dalam lubang itu, lemas susah bernafas.

Begitulah Azman umpamakan dirinya sebagai seorang penarah bukit. Bukit itu adalah wang simpanan dalam akaunnya. Jika simpanan itu digunakan tanpa aliran wang masuk, akibatnya buruk. Dia terpaksa berhutang.

Tapi siapa yang sanggup berikannya hutang? Cina Along yang sentiasa mengenakan bunga yang tinggi juga tidak akan sanggup ambil risiko meminjamkan hutang kepada Azman. Sebab dia tidak ada kerja.

Azman tiada jalan lain. Dia mesti membuat kerja yang boleh menjana pendapatan. Dia mahu bekerja sendiri. Dia tidak percaya lagi bermajikan kerana bila-bila masa majikan boleh menendangnya keluar.

Dia tidak kisah dengan pendapatan yang diperolehi nanti lebih kecil dari pendapatannya dulu. Dan dia tahu tidak mungkin pendapatan yang bakal diperolehi nanti dapat menyaingi pendapatannya dahulu. Jauh panggang dari apai.  Yang penting baginya, ada wang masuk dalam akaunnya.

Azman percaya bahawa setiap insan yang dilahirkan ada rezekinya. Allah yang mengaturnya. Rezeki Allah ada dimana-mana. Syaratnya mesti berusaha. 

Dia telah memikirkan beberapa ofsyen kerja. Kerja yang tidak memerlukan modal yang besar, yang dia sendiri mampu melakukan. Antara ofsyen yang telah dibariskan dalam otaknya ialah membuka kelas tusyen, tadika, nursery penjagaan anak kecil dan membuka restoran.

Dia yakin simpanan yang masih ada, dan dengan mendapatkan sedikit sumber pinjaman dari institusi kewangan salah satu ofsyen itu mampu dilaksanakan.

Dia membuat kiraan kos setiap dari ofsyen itu. Besar juga wang yang diperlukan. Dia perlu buat pinjaman.

Pinjaman? Dia mula menggaru kepala. 

No. tiba-tiba otaknya mengarahkan mulutnya berkata no. Entah macam mana, fikirannya berubah tidak mahu meminjam. Dia hanya mahu menggunakan wang simpanannya sendiri.

Bodohnya aku. Buat susah diri sendiri.

Dia ketawa besar. Lebih baik jual nasi kukus di tepi jalan atau di mana-mana spot yang strategik, misalnya dekat kilang atau berhampiran kampus universiti atau berhampiran dengan asrama pelajar.

Itu keputusan muktamad Azman. Tiada lagi ofsyen yang lebih baik dan sesuai untuknya.

Dia perlukan sebuah kenderaan yang diubah suai, peralatan untuk menyediakan makanan seperti kukus,  kuali menggoreng ayam, meja kecil untuk meletakkan barang-barang, serta payung.

Dia tidak mahu beli van. Dia akan gunakan kereta kelisanya. Tempat duduk belakang akan direbahkan dan digunakan untuk menempatkan peralatan termasuk payung. Dia yakin kelisa tidak akan mengecewakannya.

Dia tahu bahawa permit berniaga perlu diperolehi dari majlis tempatan. Lalu Azman segera membuat permohonan.

Permohonannya diluluskan dengan dikenakan bayaran RM 30.00 setahun. Bagi Azman ianya amat murah sekali.

Dia tersenyum menerima kelulusan itu.

Azman ke spot berniaga yang telah diluluskan. Terdapat 6 peniaga payung, dan dia yang ke tujuh.Di hadapan tempat berniaga itu terdapat sebuah stesyen kedai minyak.

Azman tersenyum. Minyak dan Azman tidak mudah dipisahkan.

Jualan nasi kukus Azman laris sekali. Pukul tiga petang, dia mula berkemas untuk balik. Tiba-tiba dia didatangi oleh seseorang.

Awak kena bayar wang RM100 sebulan.

Azman memandang orang itu. Dengan rasa kehairanan dia bertanya siapa orang itu dan mengapa dia kena bayar RM 100 sebulan.

Sesiapa saja yang berniaga di sini kena bayar sebanyak itu, Azman diberitahu.

Azman amat marah. Dia tidak mahu melayan orang itu. Dia terus berkemas dan memasukkan barang dan peralatan ke dalam kelisanya. Dia terus memandu balik.

Esok Azman tidak ke spot itu lagi. Dia tidak mahu berniaga nasi kukus ayam. Dia bertekad untuk membuat sesuatu yang lebih 'thrill'.

Dia berjumpa dengan tuan punya stesyen kedai minyak. Dia berikan kad kerjanya dulu yang memaparkan kelulusan dan jawatannya.

Tuan punya stesyen kedai minyak itu segera memberitahu bahawa dia hanya mahukan pump assistant. Pump assistant tidak memerlukan ijazah kejuruteraan petroleum.

Azman ketawa terkekeh kekeh sambil menepuk pehanya mendengarkan kenyataan 'bodoh' tauke minyak itu. Memanglah, kelulusannya itu tidak sepadan dengan kerja pump assistant. 

Engineer beb, bidang petrolem pula, jerit hati Azman. 

Azman bertanya sama ada tauke itu tahu bahawa sebahagian dari pendapatannya itu ada hak orang lain. Tauke itu mengangguk dengan mengatakan dia juga telah membayar zakat pendapatan.

Azman mengucapkan tahniah kepada tauke itu kerana membayar zakat. 

Dia beritahu tauke itu bahawa dia  datang bukan hendak minta kerja pump assistant. Dia datang untuk menawarkan perkhidmatan melindungi keselamatan tauke itu. Dan tauke pula perlu bayar perkhidmatan yang diberi. Tidak banyak hanya RM3,000 sebulan.

No. Saya tidak perlukan perkhidmatan kamu, tengking tauke itu. Dia sangat marah.

Kita berunding kata Azman, mahu meredakan kemarahan tauke itu.

Tauke itu berkeras tidak mahu menerima perkhidmatan yang ditawarkan Azman. Tauke menuduh Azman mahu melakukan peras ugut, mahu pau. Tauke itu mahu laporkan kepada Polis.

Sabar bang kata Azman. Kita masih boleh berunding, Azman terus memujuk.

Tak mahu. Keluar dari sini, marah tauke itu.

Azman bersetuju untuk keluar. Dia berdiri dan beritahu bahawa pendapatan tauke itu adalah terlalu besar berbanding dengan penjual yang pakai payung berhadapan dengan kedainya. Tapi mereka juga kena pau. Tiap-tiap bulan kena bayar 100 ringgit kepada entah siapa. Yang pasti bukan tuan punya tanah kerana tanah tempat berniaga itu adalah rezab jalan.

Tauke itu tidak ambil pusing kata-kata Azman itu. Dia mahu Azman keluar.

Saya bukan buat kerja pau. Saya tidak peras ugut. Saya mahu tawarkan perkhidmatan keselamatan kepada tuan agar tuan boleh berniaga dengan selesa dan tenang . Tuan boleh dapat untung sambil membantu orang seperti saya yang tiada kerja.

Tuan tahu tak bahawa minyak yang tuan jual ini, dulunya saya diantara orang yang bertanggungjawab mengeluarkannya.

Tauke itu buat tak tahu.

Azman mahu melangkah keluar. Dan sebelum melangkah keluar, dia minta tauke itu bertanyakan penjual makanan yang berpayung itu sama ada benar mereka kena bayar kepada seseorang yang tiada hak menerima wang itu.

Saya hanya mahu menawarkan perkhidmatan. Tuan untung besar. Saya tidak pau. Terima kasih. Ayat-ayat terakhir Azman.
     

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan