Theflowersellingboy

Rabu, 3 Februari 2016

RASUAH ADALAH SATU CARA HIDUP.




1. Semua orang tanpa kecuali tidak suka amalan atau perbuatan rasuah.

2. Semua orang tanpa kecuali terlibat atau melakukan rasuah kerana rasuah adalah satu cara hidup manusia.

3. Manusia ada perasaan, nafsu dan kepentingan sebab itu melakukan rasuah.

Saya paparkan 3 kenyataan diatas tentang rasuah. Saya berpegang teguh dengan kenyataan itu. 

Ikutilah paparan dibawah ini:

A, seorang ketua jabatan agensi kerajaan. Ada kuasa dalam mengeluarkan berbagai lesen perniagaan. Dia seorang yang mempunyai keperibadian antara lain baik hati, budiman, sentiasa menghargai kebaikan orang, tidak suka menjatuh air muka seseorang dan sentiasa suka menolong dan membantu sesiapa saja yang memerlukan pertolongan dalam batas yang dibenarkan oleh undang-undang. 

Dia seorang yang takut kepada Allah.

Ciri-ciri yang ada  pada A itu, boleh meyakinkan kita bahawa A itu tidak akan terlibat dalam amalan rasuah. Ciri-ciri itu adalah ciri-ciri anti rasuah atau pendinding dari melakukan rasuah.

Saya kata tidak. Bahkan ciri-ciri yang ada pada A itu menjadi sebab berlakunya rasuah.

Sebagai ketua jabatan dan ada kuasa pula beliau bukan saja dikenali dan mahu didekati oleh ramai orang, bahkan keperibadian beliau itu ramai orang yang suka dan sayang kepadanya.

Dalam beberapa hari lagi, masyarakat Cina akan menyambut hari raya Cina. Limau mandarin antara item yang memeriahkan hari raya Cina.

Kalau kita berurusan dengan kedai Cina, misalnya kedai perkhidmatan tayar bagi menukar tayar, setiap orang yang mendapat perkhidmatan di kedai itu akan diberikan buah limau mandarin sebagai tanpa terima kasih dan penghargaan kerana berurusan dengan kedai mereka.

Pemberian seperti itu, bukan perbuatan rasuah, menurut pendapat awam. Saya juga bersetuju.

Tetapi perbuatan itu adalah satu cara untuk mengikat perasan pelanggan untuk terus berurusan dengan kedai tayar itu. Cara itupun tidak salah dan tidak boleh dikatakan rasuah.

Tapi, perbuatan itu adalah untuk menjaga kepentingan perniagaan kedai itu. Bermakna pemberian limau itu ada kepentingannya. Kepentingan perniagaan kedai Cina itu.

Tapi, ianya masih lagi belum boleh dikatakan rasuah kerana ianya tidak melibatkan kepentingan awam atau orang ramai, yang merugikan. Ianya satu persaingan perniagaan.  

Berbalik kepada A diatas, beliau menghadiri mesyuarat di luar ibupejabat.

Oleh kerana beliau seorang yang amat disayangi kerana keperibadian yang suka menolong orang maka mereka yang telah diluluskan lesen perniagaan merasa besar hati untuk memberikan buah limau mandarin bukan saja kepada A bahkan kepada jabatannya. 

Maka dihantarnya berkotak-kotak limau mandarin itu ke jabatan A untuk diberikan kepada A dan staf jabatannya sebagai tanda ingatan atas perkhidmatan baik penuh mesra dan tanpa kerenah yang telah diberikan.

Adakah itu perbuatan rasuah?

Bagi orang yang memberi, perbuatan itu adalah satu penghargaan.

Dan dari segi yang menerima, ianya bukan satu permintaan. Jika tidak diberipun mereka akan memberi perkhidmatan yang terbaik.

Ertinya kedua-dua pihak mengatakan perbuatan itu bukan rasuah.

Jika pun A, ada di pejabat dia tidak samapai hati untuk menjatuhkan air muka pemberi, lalu menerima pemberian itu. 

Bolehkah perbuatan menerima limau mandarin itu dikatakan rasuah?

Saya katakan perbuatan itu sebagai rasuah walaupun dikatakan sebagai satu penghargaan. Dan walaupun A tidak mahu menjatuh air muka si pemberi.

Sebab, dari segi pandangan awam ianya boleh memberikan imej yang tidak baik kepada jabatan dan warga jabatan termasuk A sebagai Ketua Jabatan.

Saya percaya tiada niat langsung jabatan itu atau A untuk melakukan rasuah. 

Dan saya juga percaya jika A tiada kuasa, pemberi buah limau itu tidak akan memberi buah limau itu walaupun sebaik mana A itu. Tunggu apabila A tiada kuasa atau A bersara, buktinya akan terserlah.

Kesimpulannya, rasuah adalah satu cara hidup.



  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan