Theflowersellingboy

Rabu, 10 Februari 2016

Hari Ini Genap Setahun Anwar Dipenjarakan: Apa Pilihan Anwar Jika Anwar Bebas.




Hari ini 10 Februari 2016, genap setahun Anwar di penjarakan. Malam tadi ada perhimpunan Bebas Anwar di Penjara Sungai Buluh. Ada rakyat yang mahu Anwar dibebaskan kerana yakin dan percaya Anwar tidak bersalah atas dakwaan yang dikenakan keatasnya. Pihak luar juga tidak percaya.

Saya LANGSUNG TIDAK PERCAYA.

Ini adalah penjara kali kedua atas tuduhan yang sama. Dakwaan yang bersiri seperti sebuah drama. Setakat ini baru siap 2 siri. Akan datang Allah saja yang tahu. 

Tapi sebagai manusia yang tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan, saya menjangkakan ada dua kemungkinan. Kemungkinan itu tertakluk kepada dua hal iaitu:

i) Jika Anwar masih lagi ada semangat melawan selepas dibebaskan nanti, dan masih lagi menjadi ancaman kepada pemerintah (BN), dan BN pula masih mencengkam kuasa, siri dakwaan ketiga atas dakwaan yang sama akan menimpa keatasnya.

ii) Jika sebaliknya, semangat melawan dan ancaman kepada BN sudah menjadi kendur sedangkan BN masih mencengkam kuasa, dakwaan siri tiga atas kes yang sama tidak akan timbul lagi.

Semuanya tertakluk kepada pilihan yang akan dibuat oleh Anwar, jika BN masih mencengkam kuasa.

Berani melawan Anwar masuk penjara
Duduk diam bebaslah Dia dari penjara

Dari apa yang semua orang tahu, Anwar tidak mudah menyerah. Semangat melawannya begitu tinggi. Risiko masuk penjara adalah pulangan yang sudah diambilkira. Dia tidak pernah gentar dan menyesal. Masuk penjara adalah pengorbanan yang terlalu kecil sebagai pejuang rakyat.

Tabik hormat kepada pejuang rakyat ini.

Anwar tidak akan duduk diam selepas dibebaskan nanti. Matlamat perjuangannya ialah untuk menggantikan BN. Baginya BN telah lama menzalimi rakyat dan perlu ditumbangkan. Selagi BN berkuasa rakyat terbanyak akan hidup menderita.

Tapi mampukah BN ditumbangkan?

Tidak semudah apa yang disangkakan oleh mereka yang suka berangan-angan dan berkhayal berasaskan pergolakan yang berlaku dalam parti-parti komponen BN, khususnya UMNO.

UMNO bergolak dalaman. Tapi tetap bersatu apabila menghadapi lawan. Ini telah banyak kali dibuktikan.

Ertinya PRU 14 nanti, BN masih dapat mencengkam kuasa tidak seperti apa yang diyakini oleh banyak kalangan khususnya parti-parti dalam Pakatan Harapan bahawa mereka akan dapat mengambilalih tampok pemerintahan Persekutuan selepas PRU 14. 

Dan ada juga orang yang mengatakan agak jenaka sekali apabila PAS yang mahu bersendirian dalam persaingan merebut kuasa pada PRU 14, meramalkan mereka akan menguasai lebih dari satu negeri seperti yang ada ketika ini. 

Mungkin ada jenaka ramalan PAS itu.

Tapi saya merasakan ada asas tertentu yang digunakan PAS untuk meramalkan sedemikian. Apa asas itu?

Saya cuba meneka bahawa PAS dan UMNO akan bekerjasama, bukannya bergabung dalam PRU 14 akan datang. Tanda-tanda ke arah itu sudah amat jelas walaupun ada dikalangan kepimpinan menunjukkan kurang minat ke arah itu.

Tapi mampukah PAS menambah penguasaannya? Saya mengatakan tidak bahkan PAS akan kalah teruk. Yang akan menang dan menjadi kukuh ialah UMNO.

Pakatan Harapan pula tidak akan menang untuk membentuk kerajaan Persekutuan akibat dari PAS tidak bersama mereka. 

Dengan sebab itu saya amat yakin BN khususnya UMNO akan terus mencengkam kuasa pada PRU 14 nanti.

Jika ramalan itu mengena, Anwar jika dibebaskan, tiada pilihan melainkan duduk diam saja jika tidak mahu siri 3 dakwaan liwat dimainkan, yang berakhir dengan Anwar masuk penjara.

Anwar sendiri tahu dan semua orang tahu, bagi menyiapkan sesuatu siri liwat yang mengaitkan beliau dan untuk menyumbat beliau dalam penjara, ianya mudah dan mesti dilakukan oleh BN. 

Pertama, ianya tidak berasaskan benar tipunya cerita itu kerana ia bukan nilai yang diambilikira dalam politik, khususnya politik BN/UMNO. 

Kedua, sabitan salah keatas yang didakwa, hanya mencukupi dengan hanya pengakuan orang yang dikatakan diliwat kerana orang itu diistiharkan sebagai  saksi yang boleh dipercayai. 

Ketiga, pencacai-pencacai termasuk pihak yang menjalankan dakwaan tidak akan berhenti selepas sabitan salah ke atas Anwar, mereka terus bekerja bagi menghalalkan keputusan bersalah yang dibuat.

Soalnya sekarang, jika Anwar dibebaskan, mampukah beliau untuk berdiam diri? Saya tidak yakin beliau akan bertindak begitu.

Oleh yang demikian, Anwar hanya akan selamat dari penjara, jika BN/UMNO kalah dalam PRU 14.

Saya tidak yakin BN/UMNO mampu dikalahkan pada PRU 14. Ini satu cabaran kepada Pakatan Harapan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan