Theflowersellingboy

Sabtu, 2 April 2016

Meraikan: Ulang Tahun Peristiwa: Hari Lahir dan Meembantah GST





Hari ini 2 April 2016, Sabtu, saya 'meraikan' 2 peristiwa penting. 

Peristiwa pertama -Pada hari ini, berdasarkan apa yang telah terdaftar dalam surat beranak , adalah hari ulang tahun isteri yang ke 63. Sebelum itu pada 23 Mac adalah hari ulang tahun perkahwinan kami yang ke 41. Ini bermakna, sewaktu kami diijabkabulkan, umur isteri pada ketika itu mencecah 22 tahun. Terlalu muda agaknya berbanding dengan anak-anak remaja sekarang.
  
Alhamdulillah, perkongsian hidup kami dikurniakan dengan enam cahaya mata - 3 putera dan 3 puteri. Namun dua putera, yang sulung dan yang kedua telah lebih awal menemui Allah pada usia kanak-kanak dan remaja.

Empat orang yang ada ketika ini, 3 darinya telah mempunyai keluarga masing-masing. Seorang lagi, yang perempuan, bongsu sedang menjalani housemanship.

Alhamdulillah, kami dikurniakan dengan 5 orang cucu, setakat ini - 4 putera dan 1 puteri.

Jadi pada hari ini saya meraikan ulang tahun kelahiran isteri saya itu dengan mengingatkan kembali hari pernikahan kami dan pengurbanan yang telah dilakukan oleh isteri saya yang telah melahirkan enam orang anak, seterusnya bersama-sama mengasuh dan membimbing mereka sehingga kesemuanya , alhamdulillah menjadi anak-anak yang berjaya. Ke hadrat Allah kami memanjatkan kesyukuran.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada seorang isteri, ibu dan nenek atas kasih sayang yang telah diberikan. Semoga diberikan kesihatan dan sihat tubuh badan.

Peristiwa kedua -Hari Membantah Perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) khususnya yang diadakan di ibukota Kuala Lumpur. Saya meraikan juga hari bantahan GST ini. 

Bagi saya GST ini, jika terus dilaksanakan ianya memberi kesan yang terlalu menyiksakan terutama kepada generasi yang akan datang, anak cucu kita, anak cucu saya. Sebab itu saya meraikan hari membantah GST.

GST, kesan perlaksanaannya banyak yang negatif dari positif. 

Ianya cukai yang amat membebankan rakyat terutama mereka yang bergantung kepada pendapatan dari sumber yang terhad yang hasil terimaannya diluar kawalan mereka seperti para nelayan, petani termasuk penoreh getah; mereka yang menerima upah bayaran yang sederhana dan rendah; mereka yang tidak mempunyai pekerjaan; OKU dan mereka yang tinggal dibandar dan pinggir bandar yang kos sara hidup  sedia tinggi.

Tiada siapa yang terkecuali dari GST. Yang dikecualikan hanya barang-barang dan perkhidmatan tertentu, bukan orang atau entiti tertentu. Semua kena bayar.

Tapi tunggu dulu. Menurut yang dilaporkan, 1MDB dikecualikan dari GST. Mengapa? Saya tidak mampu memberi jawapan walaupun bayang-bayang jawapan itu ada di kepala saya.

Saya yakin dan percaya, sebilangan besar rakyat tidak sukakan GST termasuklah mereka yang bertegang leher menyokong GST. Macam pelik saja kenyataan saya ini. Mana ada rasional orang yang bertegang leher menyokong GST tidak sukakan GST?

Jawapan saya senang saja. Di Malaysia ini tiada apa yang peliknya. Contoh: Mereka yang benci dan marah perbuatan rasuah, mereka jugalah kaki rasuah. Bukan seringgit dua bahkan berbillion-billion. 

Satu lagi contoh- Mereka yang sepatutnya menunjukkan teladan baik, hidup bersederhana, mereka itulah orang yang paling boros. Boros wang sendiri, dia punya fasallah,  walaupun tidak sepatutnya tetapi boros menggunakan sumber negara, tidak boleh dibiarkan.

Dan perlakuan rasuah, salah guna kuasa, boros dan penyelewengan , ada juga yang mempertahankannya. 

Jadi apa peliknya?

Bantahan GST ini adalah wajar dan perlu disuarakan walaupun saya tidak percaya ianya akan membuatkan pihak berkuasa berundur dari melaksanakan. Tidak sekarang atau dalam dua tiga tahun ini. 

Tidak mungkin kerajaan berundur kerana ada sebahagian rakyat Malaysia yang terus dalam kongkongan perlakuan dan kepercayaan melakukan yang pelik kerana tiada apa yang pelik di Malaysia ini. 

Mereka tidak suka GST kerana hakikatnya GST membebankan hidup rakyat disebabkan kenaikan kos sara hidup. Orang  ini juga terkesan dan amat marah dengan GST. Tetapi mereka tidak melihat dari segi isu yang membenbankan kehidupan. Mereka melihat dari sudut kepentingan kelompok atau parti. Emosi dan sentimen kelompok mempengaruhi pertimbangan yang rasional.

Sebab itu apabila ada pihak mencadangkan hutang PTPTN dihapuskan, orang-orang ini segera membantah tidak bersetuju. 

Mereka inilah yang berbaris panjang untuk menuntut BR1M. Ertinya orang susah berpendapatan rendah. Mengapa mereka tidak sokong hutang PTPTN dihapuskan? Mengapa tidak setuju dasar pelajaran percuma?

Penerima BR1M yang susah dan miskin adalah diantara kelompok yang membantah dasar pelajaran percuma dan penghapusan hutang PTPTN. Pelik tak?

Tidak pelik. Di Malaysia saja.

Cukai (GST) adalah satu langkah fiskal untuk mendapat sumber bagi menambahkan hasil negara bagi tujuan pengurusan dan pembangunan negara demi kebajikan rakyat.

Tapi GST walaupun kerajaan berhujah begitu, sebenarnya mempunyai matlamat yang lain. GST adalah cukai bagi membolehkan kerajaan membayar hutang yang terlalu besar. Ada laporan mengatakan hutang negara telah mencecah lebih dari RM 700 billion.  

Mengapa hutang negara begitu besar?

Sebab kurang cekap mengurus sumber negara, salah guna sumber dalam bentuk boros, bocor, rasuah dan penyelewengan.

Tanpa GST kerajaan tidak akan mampu untuk bayar gaji penjawat awam. Begitulah yang saya dapat faham dari satu dari ucapan PM. Memalukan!

Jadi bersama-sama kita membantah GST demi masa depan generasi akan datang. Satu masa depan yang lebih baik dari yang kita hadapi sekarang yang serba bercelaru.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan