Theflowersellingboy

Khamis, 21 April 2016

Saya Mahu Jadi Kaya dan Hidup Mewah




Saya pernah berangan-angan untuk menjadi orang kaya. Ketika itu saya ialah penjawat awam. 

Saya tahu dan sedar Penjawat awam tidak akan boleh jadi kaya atau hidup mewah dengan gaji, kemudahan dan elaun yang diterima. Mereka boleh hidup selesa dan sederhana saja. Tidak susah.

Tidak juga Perdana Menteri dan menteri-menteri. Mereka tidak boleh jadi kaya jika hanya mengharapkan dari sumber gaji, elaun dan kemudahan yang telah ditetapkan. Tidak mungkin.

Jika ada yang jadi kaya dan hidup mewah, ada yang tidak kena  dari segi kemasukan sumber dalam kantung mereka. Ada sumber lain yang masuk dalam kantung mereka.

Dengan demikian, sampai matipun saya tidak mungkin jadi orang kaya dan hidup mewah. Tapi nafsu untuk jadi orang kaya melonjak sekali. 

Bagaimana caranya. Dan bagaimana dengan cara mudah saya boleh jadi kaya?

Saya fikir hanya ada satu jalan. Saya mesti pasang angan-angan. Angan-angan tidak salah dari segi moral mahupun undang-undang. Ianya tidak menyakiti hati orang. Tidak ada musuh. Dan tiada kos. 

Faedahnya? Saya seronok sendiri dan menghiburkan. Baik untuk kesihatan.

Di Malaysia cara mudah untuk jadi kaya ialah menjadi pemimpin nombor satu kerajaan. Kuasa ditangan kita. Segala-galanya kita boleh tentukan.
Pemimpin nombor satu ertinya saya berangan-angan jadi PM. 

Saya mula berkhayal....

Saya tentukan sianu-sianu jadi menteri, timbalan  menteri, ketua setiausaha, ketua pengarah dan ketua-ketua berbagai agensi. Ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat berkaitan kerajaan saya akan tentukan juga.

Saya nasihatkan YDA untuk lantikan hakim diberbagai peringkat, ketua audit, peguam negara, ketua polis, ketua SPRM, pengerusi SPR dan apa saja lantikan yang perlukan nasihat saya.

Nasihat saya mesti diterima. Tiada pilihan selain dari itu.
 
Saya lantik diri saya sebagai Menteri Kewangan.

Jangan ketawa. Jangan marah. Jangan kata saya gila kuasa. 

Saya tahu guna kuasa. Saya gunakan kuasa saya pada tahap yang optima dan menguntungkan untuk mencapai matlamat untuk jadi kaya.

Tidak timbul percanggahan kepentingan walaupun saya pegang 2 jawatan. Saya jalankan mengikut kuasa jawatan itu seperti yang ditentukan oleh undang-undang.

Sebagai pemimpin yang prihatin, saya juga mahukan orang lain jadi kaya walaupun tidak sekaya saya. Untuk itu saya ikut tertib dari segi keutamaan.

Saya utamakan keluarga, sahabat handai dan yang dekat dengan saya. Tertib ini telah dimaklumkan oleh seorang yang ilmu agamanya tinggi. Pesannya jika kita mahu buat kebaikan misalnya mahu membantu, bantulah keluarga dahulu.

Hahahahahaha patuh syariah bukan? Sudah tentu.

Saya mahu bantu kawan baik saya. 

Dalam dunia nyata yang tidak khayal, sebelum saya jadi PM dan MK, hanya penjawat awam, kawan ini selalu saja minta saya tawarkan kerja kepadanya. Berpuluh kali dia mendesak, merayu, marah dan ada masanya cuba membeli saya untuk menawarkan kerja atau projek kepadanya.

Dia kecewa. Kerana saya beritahu dia bersainglah secara tender. Mereka yang dinilai tebaik dari berbagai aspek akan ditawarkan kerja. Bukan atas dasar kawan baik.   

Sekarang saya  PM dan MK. Saya mesti tolong kawan itu.  

Saya jemput kawan itu ke pejabat PM dengan memberikan syarat mesti datang dengan bergaya seperti seorang korporat yang berjaya. Datang dihantar chauffeur. Kereta mescedez terkini.  'Dan bawa proposal'. Apa saja, tidak terhad dalam bidang-bidang tertentu.

Saya jumpa kawan itu dalam bilik perbincangan. Hanya saya dan dia saja. Saya minta proposal.

Saya tidak perlu teliti dan baca. Itu tidak penting. Saya hanya tanya berapa kos yang terlibat jika proposal itu mahu dilaksanakan. 

Kemudian saya panggil ketua jabatan yang berkaitan. Dia tidak perlu beritahu saja bahawa proposal itu perlu dikaji dan dianalisa dari segi kos faedahnya. Tidak perlu memberitahu saya projek itu diluar dari apa yang telah terancang dan dirancang.

Saya hanya beritahu ketua jabatan jtu agar menyediakan surat menyatakan persetujuan keatas proposal kawan saya itu. Dan lakukan dengan segera. Dia mesti tanda tangan surat kelulusan itu.

Bagaimana dengan wang? Ada wang kah untuk melaksanakan proposal itu? 

Saya tersenyum jika itu yang disoalkan oleh kawan saya atau sesiapa saja. Saya tidak perlu bersuara, cukup dengan senyum jika itu yang ditanya dan menjadi kerisauan mereka. 

Sudah tentu kawan saya turut tersenyum walaupun tidak tahu mengapa saya tersenyum. Bos senyum mesti disambut dengan senyuman. Hebat saya.

Saya hanya pesan kepada kawan itu agar datang ke pejabat MK pada esok harinya.

Esok harinya saya sibuk. Maklum sebagai PM, saya banyak kerja. Saya tidak dapat pergi ke pejabat MK untuk berjumpa dengan kawan saya itu. Saya dibilik PM.

Adakah saya mungkir janji?

Tidak. Sekali berjanji, saya pantang untuk memungkirinya. Janji mesti di tepati. Itulah saya.

Kawan saya itu datang jumpa MK di bilik PM. 

Sebelum kawan saya itu sempat duduk di kerusi empuk, saya beritahu, wang RM 5 billion MK bersetuju meluluskan. Lebih RM 4 billion dari kos yang dinyatakan dalam proposal. 

Wah kawan saya itu cukup gembira. Minta 1 dapat 5. Dia segera membongkok diri menghulurkan dua belah tangannya mencari tangan saya. Dia cium tangan saya sampai keluar air liur.

Hoi, air liur kau ni busuklah.

Saya berhenti berkhayal. 

Saya masih lagi duduk diatas sofa yang lusuh. Sudah 30 tahun usia sofa itu. 

Tak jadi kaya rupanya kalau berangan-angan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan