Theflowersellingboy

Rabu, 13 April 2016

Zakir Naik dan 1MDB: Tanda tangan Ada Harga.




Dua isu hangat di Malaysia ketika ini. Satu ialah fasal 1MDB yang masih belum ada kesudahan dan satu lagi kontroversi berikutan kehadiran Dr. Zakir Naik, seorang pendakwah Islam yang tersohor khususnya dalam bidang perbandingan agama.
 
Hebuh orang memperkatakannya.
 
Dan ada sedikit senyum dikalangan mereka yang selama ini mempertahankan 1MDB dari dakwaan penyelewengan, apabila isu Zakir Naik mencelah. Senyum buat seketika saja.
 
Zakir akan balik ke India atau ke mana saja mengikut program yang telah diatur. Dia tidak kekal lama disini. Isunya akan sejuk, sepi dan hilang.
 
1MDB tidak mampu ke mana-mana melainkan kekal di Malaysia. Disini  akar umbimya. Maka hilanglah juga senyum pembela 1MDB apabila Zakir tiada disini.

Perlukan satu isu lain pula?  Isu yang hangat yang emosional sifatnya bagi setengah pihak, khususnya pembela 1MDB untuk membuat celahan? 
 
Logiknya begitulah. Tapi lebih baik tunggu dan lihat. Cuma kita sama-sama berdoa yang terbaik saja.
 
Tentang kontroversi Zakir, berbagai pihak telah beri ulasan termasuk pihak berkuasa keselamatan, mufti dan menteri. Saya tidak mahu mengulas secara terperinci. Hanya cukup dengan menyatakan bahawa pendakwah itu menjalankan kerja dakwahnya berdasarkan ilmu perbandingan agama yang beliau kuasai.  Sebagai seorang Islam, saya bersetuju.
 
Apa yang saya tidak bersetuju ialah mereka yang bermati-matian masih mempertahankan 1MDB sedangkan Laporan PAC keatas 1MDB itu dengan jelas mengatakan berlakunya salah urus dan salahguna kuasa dalam 1MDB, dan mencadangkan tindakan diambil terhadap mereka.

Apa yang peliknya ialah mereka menggunakan dapatan Laporan itu sebagai bukti bagi melepaskan seseorang yang diberi kuasa dari mengambil tanggungjawab. 

Saya mahu tanya: Apakah bahan rujukan yang sah dari segi undang-undang yang boleh digunakan bagi menentukan seseorang itu bertanggung keatas sesuatu hal/perkara? 
 
Sudah tentu satu daripadanya ialah tandatangan orang itu. Kedudukannya dalam struktur sesuatu entiti. Kuasa yang diperuntukkan dalam sesuatu dokumen yang mengesahkan pemerbadanan entiti itu.
 
Sudah cukup dengan merujuk tiga perkara itu bagi menentukan kebertanggunjawapan seseorang. 
 
Takkan suka-suka nak turunkan tandatangan tanpa menyedari kesan dari tandatangan yang diturunkan itu? 
 
Saya nak keluar wang sendiri walaupun RM10.00 dari akaun ASB pun diminta turunkan tandatangan. Kalau tandatangan itu tidak sama dengan apa yang ada dalam data bank berkenaan, bank tidak akan bersetuju mengeluarkan wang itu untuk diberikan kepada saya.
 
Ada kemungkinan bank mengesyakki saya mahu menipu. Tapi saya akan tunjuk kad pengenalan sebagai bukti saya tidak ada niat untuk menipu. 
 
Jadi kalau mahu juga ASB dikeluarkan , saya kena turunkan tanda tangan yang baru untuk dimasukkan ke dalam data bank. Hanya tanda tangan yang baru inilah yang laku.

Itu hanya mahu keluar duit sendiri sebanyak RM10.00. Bagaimana pula untuk mengeluarkan wang yang besar dari akaun yang kita sebagai pemegang amanah?

Jawabnya, sama juga iaitu turunkan tandatangan kerana kita sudah diamanahkan dan dengan itu ada kuasa. Yang wajib tandatangan itu mestilah sama. Yang wajib  kita mestilah mengambil tanggungjawab atas apa yang kita putuskan melalui pengesahan tanda tangan itu.
 
Apabila anda turunkan tanda tangan, anda mesti ambil tanggungjawab.
 
Sebenarnya tanda tangan anda itu ada nilai harganya.  Nilainya bukan 'kosong'. Ada wang yang dibayar kepada anda kerana sanggup mengambil tanggungjawab. Dan anda juga mesti ingat, ada hukuman atau risiko jika anda salah gunakan tanda tangan itu. Tanda tangan ada harga, bukan kosong.
 





 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan