Theflowersellingboy

Isnin, 11 April 2016

AKU AMAT MARAH: Aku Sentiasa Bersedia Disiasat Semenjak Semalam Lagi. Tidak Perlu Tunggu Hari Esok.




Aku amat marah. Apa lagi bukti yang dia mahu. Segala-gala amat jelas sekali. Dia yang mesti ambil tanggungjawab. Dia yang tanda tangan bukan aku. Aku hanya  turut perintah, ikut saja perintah kerana dia punya kuasa mutlak yang sah. 

Apa yang mampu aku soalkan. Aku hanya pekerja yang makan gaji sedangkan dia adalah boss, ketua yang telah dinyatakan secara bertulis bahawa dia saja yang ada kuasa untuk membuat keputusan dan menurunkan tandatangan dalam setiap keputusan. Keputusan dan tandatangan orang lain tidak laku, tidak ada nilai dari segi undang-undang.

Sekarang aku pula yang dipersalahkan. Aku dikatakan yang merosakkan perniagaan itu sehingga syarikat menanggung kerugian terlalu besar, diluar jangkaan otak yang rasional.

Aku sedar siapalah aku. Tapi aku juga tahu bahawa aku ini manusia yang ada nafsu marah. Benda yang tidak betul, aku marah. Aku marah atas dasar yang betul. Bukan suka-suka marah kerana aku tidak mampu buat begitu.

Ya, siapalah aku. Aku tiada juak-juak. Aku tidak ada macai-macai. Mereka ini tanpa segan silu menuding jari padaku bahawa akulah yang merosakkan syarikat itu. Juak dan macai ini taat setia pada tuako.

Tuako yang mereka kata pemimpin mesti kena taat. Ada nas dalam al-quran yang mewajibkan macai taat pada tuako, hujah mereka.

Memang benar. Aku tidak boleh nafikan. 

Tapi malang sekali, macai berhenti setakat itu saja.  

Oleh kerana dedak yang sentiasa mereka makan, mereka lebih selesa memilih untuk membisu tanpa bersuara satu kata, tidak juga memberi isyarat melalui bahasa badan untuk bertanya dan menyampaikan isyarat bahawa tuako yang perlu ditaati itu  hanya tuako yang tidak melakukan kerja mungkar.

Mereka ada otak tapi malas berfikir, dibiarkannya berkarat.
Adakah mereka ini bodoh?

Bodoh? Ya, memang mereka bodoh. Sebab mereka kaki tipu. 

Mereka tahu menipu itu berdosa. Mereka kata menipu adalah perbuatan mungkar. Allah amat murka orang yang menipu, ratib mereka tanpa rasa malu dan bersalah.

Diatas pentas ucapan, setiap kali, bukan sekali, apatah lagi dalam perhimpunan agung tahunan mereka menjerit dengan menegakkan jari telunjuk keatas sebagai saksi bahawa mereka amat benci kerja menipu. Demi bangsa, agama dan negara, mereka mendabik dada.

Tapi mengapa mereka sanggup melakukan perkara yang mereka tahu berdosa dan dimurkai Allah yang boleh membawa mereka ke neraka jahanam?

Sebab mereka itu bodoh!

Mereka ada mata dan ramai yang tidak buta. Apabila mereka ditunjukkan sesuatu objek, mereka tahu arang itu warnanya hitam. Tunjuk saja kain kafan, mereka cepat beritahu warna kain kafan itu putih.

Benarkah begitu? Tidak selalunya benar. Ianya cuma benar ketika mereka nazak, menghadapi saat-saat mati.

Sewaktu bertaraf juak dan macai mereka boleh kata apa yang mereka suka. Maaf, apa yang Tuako suka.

Tuako kata warna kain kafan itu hitam, macaipun angguk kepala. Tak perlu bersuara, cukup dengan angguk kepala saja, dedak sedia menunggu. Mereka suka makan dedak kerana dedak itu adalah hampas makanan, khas untuk orang bodoh.

Aku terlalu amat marah. Hebuh dalam alat siaran mereka mengesahkan akulah yang menjahanamkan syarikat itu. Aku, tidak ada orang selain dari aku, seolah-seolah aku ini manusia yang paling hebat menguruskan sebuah syarikat bertaraf negara, secara bersendirian. 

Mereka tahu syarikat itu bukan syarikat milikan tunggal. Bukan milik aku. Syarikat itu ada pemegang sahamnya. Tapi mereka kata aku saja seorang yang bersalah.

Demi ketaatan kepada tuako, mata mereka yang celik jadi buta. Itupun tidak mengapa kerana masih lagi boleh meraba-raba. Kalau yang diraba atau teraba itu gajah, ada kemungkinan mereka akan mengatakan itu adalah gajah.

Tapi amat malang sekali hati mereka telah buta, menjadi beku. Tidak lagi dapat mengeluarkan rasa. Sentuhlah banyak kali ataupun setiap kali, hati itu tidak sensitif lagi pada sentuhan kerana telah dilaputi dan diliputi dedak hidangan tuako yang sangat-sangat ditaati.

Tunjukkanlah apa saja bukti, secara nyata yang tersurat mereka tidak mahu percaya bahawa tuako mereka melakukan kemungkaran.

Mereka bukan saja tidak percaya dengan bukti itu, bahkan mereka marah dengan segera menyatakan ianya fitnah.

Mereka ini memang bodoh. Sebab jika fitnah, segera dakwa yang membuat fitnah. Bersihkan nama. Ajar si pemfitnah itu. Sumbatkan mereka dalam penjara. Hanya itu saja jalan untuk mengajar mereka.
  
Aku amat marah. Aku disahkan sebagai penjahanam syarikat. Aku perlu disiasat.

Perlu disiasat? 

Aku nak beritahu mereka bahawa bukan saja hari ini atau esok lusa tulat dan langkat, semalam lagi aku sedia disiasat. Bahkan semasa aku meninggalkan syarikat itu, aku sedia disiasat. 

Aku tidak takut! Buktinya terlalu terang dan jelas macam seekor gajah dihadapan mata. Mereka tidak perlu mencari nyamuk diseberang lautan kerana silap-silap mereka akan bertemu dengan nyamuk aedes yang amat bahaya sakali.

Tak takutkah mereka dengan demam denggi berdarah? Tak takutkah mereka dengan zika?    

Aku tidak takut. Aku hanya marah! Teramat marah! 

Ahhh saya bermimpi rupanya. Nyamuk telah menyedarkan tidur saya. Harap-harap bukan nyamuk aedes.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan