Theflowersellingboy

Ahad, 10 April 2016

LAPORAN PAC TENTANG 1MDB: Bukalah Pintu Hati




1. Laporan PAC tentang kes 1MDB mengesahkan  entiti itu bermasalah dan merugikan negara. 
 
2. Rakyatlah yang menangung kerugian itu.
 
3. Semua pihak dalam struktur 1MDB yang diberikan kuasa membuat keputusan diberbagai peringkat seperti yang diperuntukkan dalam artikel syarikat wajib mengambil tanggungjawab.
 
4. Adalah tidak adil dan zalim jika hanya Ketua Pegawai Eksekutif sahaja yang dipersalahkan. 1MDB bukan syarikat entiti tunggal milik Ketua Pegawai Eksekutif itu. 
 
5.  Siasatan lanjut yang dicadangkan dalam Laporan itu bukan sahaja terhad keatas Ketua Pegawai Eksekutif itu bahkan keatas semua yang terlibat dalam membuat keputusan sama ada mereka atau jawatan mereka dikaitkan atau sebaliknya dalam Laporan itu. Bermakna semua ahli lembaga pengarah, semasa dan yang bersara dan Menteri Kewangan/Perdana Menteri tidak terkecuali.
 
6. Ini bukan kali pertama kerugian syarikat kerajaan disebabkan salah urus dan pecah amanah. Berulang kali berlakunya kes seperti ini adalah disebabkan mereka yang diberi tanggungjawab terlepas dari  tindakan dan hukuman.
 
7.  Pada asasnya kerajaan tidak sepatut terlibat secara langsung dalam perniagaan kerana risikonya akan ditanggung oleh rakyat jika berlaku salah urus dan pecah amanah. 
 
8. Namun ada juga kewajaran untuk kerajaan terlibat dalam perniagaan khususnya dalam bidang-bidang yang strategik Jika demikian, syarikat kerajaan itu mestilah bertanggungjawab kepada Parlimen untuk mewujudkan mekanisma semak dan imbang (check and balance).
 
9. 1MDB adalah syarikat Kerajaan, bermakna syarikat kepentingan rakyat.  Ianya bukan monopoli parti yang menjadi kerajaan. 
 
10. Ertinya pandangan dan teguran dari pihak lain terutama dari parti pembangkang yang mengambilkira kepentingan negara dan rakyat (misalnya teguran tentang jumlah hutang yang besar atau struktur modal yang tidak wajar dimana pinjaman lebih besar dari ekuiti) wajar diberi pertimbangan walaupun teguran itu tidak selari dengan kerajaan.
 
11. Selagi tidak diamalkan prinsip terbuka dan akauntabiliti seperti dalam banyak hal , dan termasuklah dalam proses menyediakan Laporan PAC ini, kes salah urus dan pecah amanah oleh pihak-pihak yang diberikan tanggungjawab akan tetap berlaku. Kerana terlalu banyak perkara dan maklumat yang dirahsiakan termasuklah yang mempunyai unsur-unsur salah laku dan perbuatan jenayah dengan berlindung atas nama demi keselamatan negara dibawah OSA, sedangkan OSA tidak bertujuan demikian.
 
12. Laporan PAC tentang 1MDB ini , disamping mengakui berbagai kelemahan dan mencadangkan tindakan-tindakan tertentu diambil, ianya jelas satu Laporan yang tidak sempurna dan lengkap untuk mengambil satu keputusan yang adil dan saksama. Paling ketara ialah bahan rujukan yang digunakan seperti Laporan Ketua Audit tidak dilampirkan bersama untuk diteliti oleh semua pihak, dan beberapa personaliti penting yang jelas dikaitkan dengan 1MDB tidak dipanggil untuk membantu siasatan oleh ahli-ahli PAC. 
 
13. Kegagalan untuk menyertakan sama Laporan Ketua Audit dan juga memanggil personaliti itu untuk menjawab atau memberi keterangan dihadapan PAC membuatkan Laporan PAC tentang 1MDB menjadi cacat.
 
14. Ini tidak adil kepada personaliti itu sendiri kerana nama mereka sentiasa dikaitkan dalam bentuk yang negatif dengan masalah 1MDB. Tidak adil juga kepada mereka yang mahu tahu hal yang sebenar termasuk mereka yang sentiasa membuat dakwaan atas keterlibatan personaliti itu yang menyebabkan 1MDB bermasalah besar.


 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan