Theflowersellingboy

Isnin, 18 April 2016

Bilakah Malaysia Akan Ada Seorang Seperti Dr. Zakir Naik Dalam Kerja-Kerja Dakwah




Diberitakan beberapa orang telah kembali ke Islam (revert, perkataan yang selalu digunakan oleh pendakwah itu berbanding dengan convert) hasil kerja-kerja dakwah yang dilakukan oleh Dr. Zakir Naik dalam siri syarahannya di Malaysia. Alhamdulillah.
 
Beliau seorang pendakwah yang dikenali di seluruh dunia. Asal Mumbai India. 
 
Sebelum ini kita ada pendakwah Ahmad Dedat (yang telah kembali ke rahmatullah. Semoga allahyarham dimasukkan dikalangan orang-orang yang diredhai Allah)  warga Afrika Selatan, yang asalnya dari India juga.

Sewajarnya kita bersyukur dengan kerja-kerja dakwah yang dilakukan oleh orang seperti Dr Zakir dan Ahmad Dedat ini. 
 
Mereka berdakwah secara terbuka dengan menjadikan kerja dakwah itu sebagai satu tanggungjawab yang mesti dilakukan oleh orang Islam ke atas orang yang masih lagi belum kembali kepada Islam. 
 
Dan dalam masa yang sama mereka memberi kefahaman yang lebih baik kepada orang yang telah sedia Islam tentang agama Islam itu sendiri dengan membandingkan Islam dengan agama-agama yang lain menurut apa yang terkandung dalam kitab-kitab yang menjadi pegangan penganut yang bukan Islam.
 
Mereka berdua, Ahmad Dedat dan Zakir Naik melakukannya secara terbuka berhadapan dengan semua pihak, Islam dan bukan Islam sama ada dalam bentuk dailog mahupun debat agama dengan kehadiran ribuan para peserta dari berbagai anutan agama.

Sama ada yang hadir itu bersetuju atau sebaliknya, mereka diberi peluang untuk menanyakan soalan. Dr Zakir , setahu saya tidak pernah gagal menjawab soalan-soalan yang dibangkitkan. Dan jawapannya amat meyakinkan kerana rujukan beliau adalah kepada apa yang terkandung dalam kitab-kitab setiap agama yang dibangkitkan.

Jadi tidak timbul soal beliau tidak faham ajaran agama selain dari Islam.

Sudah tentu penganut agama lain tidak bersetuju dengan beliau. Dan kita sebagai orang Islam patut faham mengenai perkara ini. Kerana ini soal memilih akidah. Tidak perlu kita berhujah keras sehingga boleh menimbulkan kemarahan orang bukan Islam. Mungkin hidayah belum sampai kepada mereka.
 
Namun yang penting ialah kita menyampaikan kepada yang bukan Islam tentang ajaran agama Islam. Itu tugas kita. Dan kita lakukan dengan ilmu dan bukan dengan semata-mata atas rasa cinta kita kepada Islam.
 
Apa yang dilakukan oleh Dr Zakir ini adalah meyakinkan kepada yang belum Islam bahawa Islam adalah agama yang diredhai Allah, yang sepatutnya semua umat manusia adalah beragama Islam. Jika ada yang belum Islam, wajib atas orang yang sedia Islam memberitahu dan menyampaikan kepada yang bukan Islam tentang Islam.
 
Apabila itu telah kita lakukan, sudah tentu kita lakukan dengan berkhemah yang disokong oleh ilmu, terpulanglah kepada mereka sama ada mahu kembali kepada Islam atau kekal dalam agama yang mereka anuti. 
 
Tiada Paksaan Dalam Agama. Ada tanggungjawab kita untuk menyampaikan Islam kepada yang belum Islam

Satu soalan yang bermain dalam fikiran saya: Adakah kita orang Islam di Malaysia terutama mereka yang mempunyai ilmu agama yang tinggi mempunyai kemampuan berdakwah seperti yang dilakukan oleh Dr Zakir?

Saya masih merasakan kita terlalu jauh tinggal ke belakang terutamanya untuk menyampaikan dakwah kepada manusia berbilang bangsa dan bahasa. 
 
Kalau pun kita ada orang yang tinggi ilmu agamanya termasuklah ilmu perbandingan agama kita tidak atau belum ada pendakwah yang boleh menyampaikan dakwah dalam bahasa Inggeris dengan lancar dan petah.

Itu kekurangan kita yang paling jelas.

Sebab itu kerja dakwah kita agak terbatas dikalangan mereka yang boleh berbahasa Melayu. Dan kebanyakan mereka ini adalah dikalangan orang yang tidak mempunyai kedudukan yang baik sama ada dari segi ekonomi mahupun kuasa.

Mereka yang berkedudukan baik dari segi ekonomi dan kuasa, sebahagian besarnya tidak fasih berbahasa Melayu. Jika mereka ini dapat kita sampaikan Islam, dan sudah tentu penyampaian itu lebih berkesan dalam bahasa Inggeris, saya percaya bilangan orang yang akan kembali kepada Islam akan bertambah lebih banyak lagi. Sebab, mereka ada pengaruh.

Maka kita mesti ada orang seperti Dr.Zakir naik.


 

 
 
 
 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan