Theflowersellingboy

Sabtu, 5 Mac 2016

Deklarasi #SELAMATKAN MALAYSIA: Pembangkang dan Mahathir....Satu Tujuan , Niat Berbeza




Apakah itu #Selamatkan Malaysia? Apa tujuannya dan apa niatnya?
 
Pada 4 Mac 2016 dengan diketuai oleh bekas PM Tun Mahathir Muhammad satu deklarasi telah ditandatangani oleh 58 individu dari berbagai latarbelakang menggesa rakyat untuk menyelamatkan Malaysia dengan cara menyingkir DS Najib sebagai PM Malaysia.  Deklarasi  itu telah dibacakan oleh bekas PM, Tun Mahathir.
 
Najib turun Malaysia selamat! Itulah yang diyakini oleh sebahagian mereka yang berhimpun. Yang pasti itulah tujuan Mahathir dan penyokongnya. 
 
Tapi tidak semua yang bersetuju dengan tujuan Mahathir itu. 
 
Pembangkang (kecuali presiden PAS) dan rakyat yang mengetahui sepak terajang politik Mahathir selama berkuasa 22 tahun, mempunyai tujuan yang sama tetapi niat yang tidak dipunyai oleh Mahathir.
 
Tujuan mereka sama iaitu singkir Najib. Tetapi Mahathir tidak ada niat langsung untuk memperbaikki kerosakan sistem pentadbiran yang sedang dilakukan oleh Najib. Kerana kerosakan sistem yang ada, yang diamalkan oleh Najib adalah warisan dari  zaman Mahathir.
 
Sebaliknya pembangkang, kecuali  presiden PAS, mahukan lebih dari menyingkirkan Najib. Niat pembangkang ialah perubahan secara total ke atas sistem urus tadbir negara yang telah rosak. Dalam bahasa yang mudah menukar kerajaan yang ada.
 
Jadi apa faedahnya diadakan perhimpunan dan deklarasi #selamatkan Malaysia  sedangkan tidak ada kesatuan dari segi matlamat untuk #selamatkan malaysia?
 
Sudah tentu, faedahnya kepada Mahathir dan penyokong-penyokongnya jika Najib dapat diturunkan. Juga faedahnya akan diraih oleh Mahyuddin , Safie dan Mukhriz dan ahli UMNO yang menentang Najib. Dan Mahathir akan masuk semula UMNO.
 
Mahathir akan masuk semula UMNO. Ini kerja mudah apabila Najib dapat disingkirkan kerana penentang Najib bukan saja mereka yang telah dipecat, bahkan terdiri dari ketua-ketua Cawangan yang telah mengistiharkan diri tidak bersetuju dengan Najib dan penentang senyap dalam UMNO itu sendiri.
 
Masuk semulanya Mahathir nanti akan timbul gerakan untuk mengukuhkan kedudukan  Mahyuddin, Shafie dan Mukhriz. Penggantungan Mahyuddin sebagai Timbalan Presiden akan dibatalkan dan seterusnya sebagai Timbalan Presiden, beliau diangkat sebagai presiden untuk laluan beliau menjadi Perdana Menteri. Seterusnya bersama Mahathir, Mahyuddin akan menyusun barisan beliau sendiri.
 
Mahathir, kemudiannya akan boleh senyum. Beliau senyum kerana dapat singkirkan Najib. Beliau senyum kerana boleh menyusun orang-orangnya termasuk anaknya dalam barisan kepimpinan UMNO dan BN. Beliau senyum kerana UMNO/BN terus berkuasa. 
 
Mahathir terus senyum kerana dapat meyakinkan musuh ketatnya pembangkang untuk bersama-sama menyingkirkan Najib, dan berharap pembangkang akan retak menjadi lemah menuding jari sama sendiri. 
 
Dan senyum Mahathir yang berterusan ialah kerana beliau tidak akan mengahadapi sebarang dakwaan atas salahlaku yang dilakukannya dahulu selama 22 tahun jadi PM. 
 
Itulah pengertian #selamatkan malaysia  dari lubuk hati Mahathir. Sebab itulah beliau dengan jelas mengatakan bahawa tugas yang ada dihadapan ialah untuk hanya singkirkan Najib. Soal lain ketepikan dulu.
 
Pembangkang mahu tumpang kekuatan Mahathir untuk menjatuhkan Najib sebelum sampai PRU 14. Sebenarnya, UMNO/BN dalam keadaan lemah. PRU 14, akan kalah tanpa bantuan Mahathir.
 
Tapi mengapa pembangkang sanggup terseret dengan gerakan Mahathir untuk jatuhkan Najib sebelum PRU 14 sedangkan Najib dan UMNO sendiri tiada kekuatan untuk menghadapi PRU 14?
 
Jika Najib boleh disingkirkan sebelum PRU 14, ianya tidak menjamin untuk perubahan sebuah kerajaan yang diharapkan oleh rakyat. UMNO akan terus berkuasa dengan Mahathir sebagai tuakonya ( melalui remote control).
 
Jadi pembangkang akan berputih mata untuk menerajui kerajaan. Rakyat akan mendapat kerajaan yang sama dengan personaliti yang berbeza tapi perangai yang sama. 
 
Apa beza Najib dan Mahathir? Tolong berikan satu dua contoh misalnya dari segi pengurusan ekonomi dan kewangan. Bagaimana pula tentang perlaksanaan konsep pengasingan kuasa?
 
Oleh itu saya kurang yakin gerakan #selamatkan malaysia ini boleh sebenarnya menyelamatkan malaysia dalam ertikata rakyat akan dapat menikmati satu kehidupan yang lebih baik. Saya lebih yakin menggunakan PRU 14 bagi menjatuhkan Najib untuk mendapat satu perubahan seperti yang diniatkan oleh rakyat dan yang dijanjikan oleh pembangkang.
 
#Selamatkan Malaysia, antara Mahathir dan pembangkang, tujuan sama, niatnya berbeza. Saya percaya, jika Najib berjaya disingkirkan , Mahathir akan berkuasa dan pembangkang putih mata. 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan