Theflowersellingboy

Rabu, 8 April 2015

MAN :Musuh Tiga Segi.




MAN: Musuh Tiga Segi.
 
Apa itu MAN?
 
MAN itu perkataan bahasa Inggeris. Boleh diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu sebagai orang atau insan. MAN adalah insan iaitu insan yang saling bermusuhan. Tiada siapa yang menjadi kawan, semuanya musuh. Misalnya jika MAN itu membawa nama sipolan M yang dipanggil Mambang misalnya, dan A serta N masing-masing bernama Ayuh dan Nasi, ketiga-tiga mereka ini saling bermusuhan. Mereka tidak kenal apa itu Cinta Tiga Segi!
 
Cinta Tiga Segi? 
 
Saya hanya tahu sebut saja sebab pernah mendengar perkataan-perkataan  itu diucapkan tapi minta maaf saya tidak tahu dan tidak juga mahu tahu bentuk dan cara percintaan tiga segi itu. 

Yang pasti ialah Cinta Tiga Segi tidak sama dengan Musuh Tiga segi. Dan saya hanya mahu berbicara tentang MAN: Musuh Tiga Segi.

MAN ialah orang. Tiga orang manusia yang bermusuhan. Musuh ketat atau musuh berpaksikan perasaan yang amat 'KAUDU' (perkataan kaudu ini adalah per kataan yang digunakan oleh orang kampong saya bagi menceritakan hati yang hitam yang sentiasa berdendam kesumat bagi menjatuhkan atau mengaibkan seseorang insan).

Ertinya bila seseorang itu dikatakan hati kaudu maka jangan harap ada perasaan belas kesian yang ada padanya.

Mambang memang terkenal dengan daya fikir yang kritis, satu peribadi yang berani dan sentiasa mahu kedepan. Baginya tidak ada apa yang tidak boleh dilakukan. Semuanya Boleh, jika seseorang itu ada keberanian dan keyakinan untuk melakukannya. Mambang mementingkan penguasaan ilmu.

A atau orang yang dipanggil Ayuh pula mahu bertindak cepat demi mencapai hasrat dihati. Beliau adalah pakar dalam menggerakkan orang ramai terutama anak muda dalam memajukan ideal kehidupan dalam sebuah negara. Idealnya ialah demi keadilan manusia sejagat.
 
Manakala orang yang dipanggil N atau Nasi pula, sangat mementingkan kehidupan yang bergaya dan serba mewah. Nasi yang dimakan adalah asas bagi mencapai cara hidup yang bergaya dan mewah. Ertinya N tidak boleh bercerai dari nasi walau sesaat sekalipun. Nasi adalah lambang hidup mewah. 

Walaupun mereka ini berbeza dalam banyak hal tapi ketiga-tiganya mempunyai matlamat yang satu dan sama. Mereka mahu duduk dipuncak, mahu jadi boss, dan sentiasa gunakan jari telunjuk bagi mencapai sesuatu maksud.

Mereka mahu kuasa dengan apa cara sekalipun. Mereka mengekalkan kuasa dengan apa cara sekalipun. Begitulah pegangan dan kepercayaan mereka.

Dengan kepercayaan dan pegangan bahawa kuasa adalah tujuan dalam menjayakan hasrat hidup mereka maka masing-masing berebutan untuk memilikinya.

Namun begitu dalam hubungan M, A, dan N ini telah wujud semacam satu peraturan atau konvensyen bahawa kuasa itu akan berubah tangan. Mambang akan serahkan kuasa kepada Ayuh dan Ayuh juga mestilah berbuat begitu kepada N, jika N masih lagi dalam lingkaran tiga segi itu.
 
Tapi awas, perubahan itu ada perkiraan dan formulanya. 
 
Pertama jangan terlalu ghairah dan cepat untuk meminta atau berbisik-bisik untuk melakukan perubahan. Walaupun terdapat berbagai perkara yang tidak teratur dan boleh merosakkan, orang yang berkuasa itu tidak boleh digesa atau dipujuk untuk melepaskan kuasanya. Ertinya jika Ayuh mendapati ada yang tidak kena pada Mambang yang dikatakan melakukan kerosakan, hubaya hubaya, Ayuh jangan memandai-mandai tidak sealiran dengan Mambang. Nahas jawabnya.

Begitu juga A keatas N.

Tapi Ayuh tidak ada kesempatan untuk memiliki kuasa itu. Ini disebabkan silap buat perkiraan. 
 
Atas dasar hidup perlu bermusuh sebagai syarat untuk terus hidup maka Mambang, dengan kuasa yang ada mengnyahtepikan. Merana Ayuh dibuatnya. Maka berihatlah Ayuh dalam banyak purnama.

N atau Nasi memang orang yang bernasib baik. Dia diangkat ke tampuk kuasa.

Tapi sayangnya, N ini lupa pada perkiraan dalam perubahan untuk memperolehi kuasa. Ada syarat yang perlu akur kalau N tidak mahu mencari musuh.

Pada waktu N dalam lingkaran kearah memiliki kuasa, A juga bernasib baik buat beberapa waktu. Beliau tidak lagi bertapa semasa N memperolehi kuasa. 
 
Namun begitu N sebagai orang yang suka hidup bergaya dan mewah amat kuatir akan kepakaran yang ada pada A dalam menyekat tabiat bergaya dan bermewahnya. A mampu mempengaruhi orang ramai bermusuh dengan N.

Kebimbangan N terbukti benar apabila majoriti orang ramai sudah menjadi musuhnya. Jadi apa perlu buat? Hantarkan A bertapa lagi sekali.

Cuma N dik sebab kuasa yang ada, tidak memberi berat kepada perkiraan perubahan  kuasa itu. Dia hanyut dengan gaya hidup bermewah sehingga melupakan syarat-syarat dalam konvensyen permilikan kuasa, perangai N itu membuatkan mata M naik berbulu.

Apabila mata telah berbulu maka sudah tentu penglihatan menjadi terhalang dan kabur. Ini amat menyakitkan.

Maka dikeluarkanlah berbagai cerita dan perkara yang buruk-buruk yang boleh menyebabkan orang ramai naik benci pada N atau sekurang-kurangnya akan berkata, "betul ke".
 
Jadi kesimpulannya bahawa kehidupan manusia atas nama gabungan MAN itu adalah satu kehidupan yang mahu menegakkan kebenaran menurut sudut pandang masing-masing. Mereka adalah musuh tiga segi.  

 
 
 
  

 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan