Theflowersellingboy

Rabu, 11 Mac 2015

Sebuah Model Perniagaan Untuk Jadi Kaya



Saya mahu menjadi orang kaya. Saya telah banyak kali fikirkan cara mana nak jadi orang kaya. Bukan saja jadi orang  kaya, tapi cepat jadi kaya. Maka tidak ada satu saat yang berlalu, otak saya tertinggal untuk fikirkan macam mana nak jadi kaya, cepat kaya.
 
Walaupun saya mahu jadi kaya, saya tidak mahu menipu untuk jadi kaya. Itu sumpah setia saya pada diri sendiri. Dalam sumpah setia itu saya berkata,"Lebih baik saya jadi miskin dari jadi kaya secara menipu".
 
Macam mana yek untuk jadi kaya? Nak berniaga, modal tiada.
 
"Fikir, fikir. Gunakan otak yang dikurniakan Allah tu untuk jadi kaya", begitulah selalunya jawapan kepada soalan sendiri itu.
 
Tapi saya tidak tertarik dengan skim menjana pendapatan besar dan mudah seperti yang banyak diiklankan dalam facebook. Biarlah berjuta testimoni mengatakan begitu. Saya kata skim itu skim menipu.

Jadi bagaimana caranya? Soalan yang sama juga muncul.

Maka pada suatu hari saya didatangai oleh seorang kawan lama. Kawan satu pejabat di kementerian kewangan. 
 
Saya hanya berkhidmat setahun dikementerian itu (kerajaan) kerana saya tidak fikir bekerja dengan kerajaan saya boleh jadi kaya. Tapi kawan saya itu meneruskan perkhidmatannya dengan kementerian tersebut sehingga sekarang.

Apa macam sekarang? tanya kawan saya.

Saya faham maksud soalan kawan saya itu. "Kau dah jadi kaya ke?"

Semasa saya buat keputusan berhenti kerja dulu, saya beritahu kawan itu bahawa sampai kucing bertandukpun pegawai kerajaan tidak boleh jadi kaya. Pegawai kerajaan adalah hamba bagi memperkayakan orang lain. Pegawai kerajaan hanya hamba yang menurut perintah tuannya.
 
Kawan saya itu amat marah dengan kata-kata saya itu. 
 
Jadi pada perjumpaan itu beliau memulangkan paku buah keras.
 
Saya tersengeh saja.

Namun begitu kawan saya ini memberitahu saya dia ada satu model perniagaan yang telah terbukti boleh menjadikan seseorang itu kaya.

Reaksi segera saya, tapi dalam hati, ini semua mahu tipu.

Tapi dia beriya-iya sangat mahu menerangkan modus operandi model perniagaannya itu. Mungkin dia tahu saya masih lagi mahu jadi kaya.

Akhirnya saya bersetuju.

Pertama, katanya saya kenalpasti adik beradik atau saudara mara yang ada banyak harta, misalnya tanah.

Kedua, atas dasar kasih sayang, sewa tanah itu pada bayaran sewa yang minima, dan sebagai balasan kasih sayang hadiahkan  syer syarikat pada nilai RM1   kepada saudara itu dengan menamakan syer itu sebagai syer emas (golden share). Tetapi saudara itu tidak aktif dalam perniagaan.

Ketiga, syarikat sewakan balik tanah itu kepada saudara itu dalam tempoh jangka masa 20 tahun dengan mengenakan bayaran 1 juta dan sewa dibayar setiap enam bulan pada setiap tahun.

Keempat, gunakan tanah itu sebagai jaminan untuk dapatkan pinjaman.

Kelima, buatlah cara yang sama jika ada tanah-tanah yang lain untuk mendapatkan modal niaga.

Saya mendengar dengan teliti. 
 
Habis saja penerangannya saya beritahu kawan itu bahawa model perniagaan itu model gila dan menipu. 

Adakah tuan tanah sanggup menerima sewa tanahnya yang rendah? Dan kemudian menyewa balik (sub lease) tanah itu dari syarikat, dengan  harga yang tinggi pula. Gila, model perniagaan yang gila, terang-terang menipu.

Kawan saya itu ketawa besar. Kemudian dia berkata bahawa model perniagaan ini memang telah dan sedang diamalkan oleh syarikat besar-besar, dan ada yang terbukti sudah jadi kaya.

Saya bertanya: Kalau syarikat rugi macam mana? Apa jadi kepada tanah yang jadi cagaran pinjaman itu?

Kawan saya itu menenangkan kerisauan saya itu dengan menyatakan bahawa berniaga mesti hadapi risiko. Lagi besar risiko, lagi besar untung yang dijangka diperolehi. Tapi katanya lagi, seseorang ahli perniagaan itu mestilah bekerja kuat, jika mahu jadi kaya.

Saya diam mendengar, bukan tidak faham tapi tidak percaya seorang kawan boleh memberi idea yang begitu bodoh sekali. Idea menipu.

Kawan saya terus meyakinkan saya bahawa jika syarikat gagal, ianya tidak merugikan saya kerana modal itu bukan datang dari saya. Mengapa perlu saya susah hati.

Mendengarkan kata-kata itu saya naik berang dengan bersuara kuat, "Tanah itu saudara saya yang punya. Apa kamu ingat aku mahu menipu saudara sendiri".

"Kan kau nak kaya.  Berniaga tidak boleh jadi emosional", kawan saya melangkah meninggalkan saya. Saya terdengar juga katanya bahawa ,"Dah ada bukti. Ada orang yang dah jadi kaya dengan model itu".

Saya jadi ternganga tapi tidak lama. Setelah agak tenang, hati saya bertanya jika itu model nak jadi kaya fasal apa kawan saya itu tidak mahu berhenti dari kementerian kewangan.

Kementerian kewangan? Saya mula tersenyum sendiri dan mengangguk-anggukkan kepala.
 
"Ya, ada model seperti itu".

 

 


 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan