Theflowersellingboy

Jumaat, 24 April 2015

#GST DI SANA, DI SINI dan Di SITU





"Aku boleh jadi gila sampai tua", mengeluh seorang kawan. Saya hairan, mengapa tiba-tiba saja dia kata dia boleh jadi gila sampai tua apabila saja kami bertemu di satu majlis. Biasanya beliau mendahului ucapan salam sambil menghulurkan tangan. 

Tapi tidak kali ini. Mimik mukapun macam orang marah dan tidak berpuas hati.

Saya menyambut keluhan kawan itu dengan ketawa kuat seperti yang biasa saya lakukan jika saya merasakan kata-katanya membawa sama unsur-unsur yang melucukan walau pun mimik muka kawan itu tidak membawa mesej lucu.

Bagi saya ianya melucukan. Kawan itu, sebaya usia dengan saya. Sudah masuk 60 tahun keatas dan dalam beberapa tahun lagi akan mencecah tujuh puluh tahun. Jadi tidak timbul 'gila sampai tua' kerana seperti saya beliau sebenarnya sudah tua. Tidak payah menunggu sampai tua.  Memang sudah tua. Tapi beliau masih waras dan tidak gila.

Itulah yang menggelikan hati saya.

Kawan saya itu tidak marah. Dia menyambut ketawa saya itu dengan sedikit tersengeh dan ketawa kecil. Rupanya dia ketawakan saya kerana tidak dapat menangkap apa sebenarnya yang dia maksudkan 'gila sampai tua' itu.

"GST lah. Sana GST, sini GST dan situ GST. GST ada di mana-mana", kata kawan saya itu. "Sebelum beranak, setelah beranak, membesar sehingga jadi orang  muda, dewasa dan sampai ke tua, GST tetap kena bayar. Tak sampai ke tua ke tu?", tambah kawan saya itu sambil ketawa bernada marah.

Ketawa bernada marah? Susah saya hendak jelaskan disini macam mana cara dan mimik muka untuk ketawa bernada marah. 

Saya hanya mampu mengatakan bahawa semenjak GST mengambil ruang dalam kehidupan kita, kita boleh rasa terhibur (maksudnya ketawa) walaupun ianya menyakitkan atau menyusahkan kita sehingga menaikkan tekanan darah dan menyakitkan jantung dalam proses aliran keluar masuk darah.

Begitulah hebatnya tekanan yang dibawa oleh GST dalam kehidupan kita sekarang ini. Sampai jadi gila sampai tua, kata kawan saya itu.

Di sana GST, di sini GST dan disitu pun GST. Hendak menguruskan orang matipun kena GST. Cuma yang dikecualikan GST hanya orang yang mati saja.

Kawan saya itu beritahu, dia kena bayar GST ke atas ubat yang dibelinya di sebuah Farmasi. Sudahlah ubat itu mahal, RM362 bagi bekalan sebulan, ditambah dengan GST RM21.10. 

Dan beliau kena makan ubat itu selagi ada hayat. 

Kalau kita buat kira-kira belanja ubat itu, ianya menyenakkan dada khusus kepada kawan saya itu dan mereka yang menggunakan ubat yang sama. Apatah lagi harga barang tidak pernah turun. Ertinya GST yang kena dibayar akan bertambah. Tidak mungkin kerajaan akan mrngurangkan kadar GST, jika kegilaan kerajaan sekarang ini dijadikan rujukan.

Itu baru satu ubat. Tapi kawan saya itu seperti juga saya dan orang yang sudah tua, mengidap bukan satu bahkan 3 penyakit yang serious yang sentiasa perlu rawatan iaitu asthma, eczema dan sinus (resdung).

Macam mana? Tak jadi gila sampai tua dibuatnya?

Menurut kawan saya itu dia adalah penyokong kuat UMNO/BN, dan telah sembilan kali pilihanraya beliau mengundi UMNO/BN. Mendengar pengakuannya itu sekali lagi saya ketawa.

Bisikan sinis hati saya mengatakan bahawa GST ini terlalu adil kerana tidak pilih bulu. 

Siapa saja kena GST sama ada yang menyokong (mengundi) UMNO/BN atau yang tidak pernah sokong. Orang kaya, orang miskin papa kedana, oku, orang berpendapatan rendah, waemah siapa dan apapun sifat dan kedudukan orang itu selagi bernyawa dan perlu makan, minum, tempat tinggal, pakaian dan perkhidmatan akan dikenakan GST.

"Mulai saat ini, hari ini saya berjanji jika usia saya masih ada, saya tidak akan mengundi UMNO/BN pada PRU 14 nanti", kata kawan saya itu. Dia ketawa, tapi merengus.

Itu cerita kawan saya, penyokong tegar UMNO/BN dan seorang pesara kerajaan pada tahap tinggi.

Hari ini sewaktu membuat bayaran berbagai bil di sebuah pejabat pos, jiran sebelah tempat saya duduk, bersembang dengan kawan sebelahnya tentang GST. Dia tidak setuju bayaran letrik dikenakan GST. Marah sangat kawan itu.

Saya sedar tentang perkara itu. Tapi apabila kawan ini marah, ia membuatkan saya berfikir bahawa penggunaan letrik ini sepatutnya dikecualikan GST atau zero GST.

Selain dari GST, nampaknya sudah jadi satu ikutan oleh agensi pembekal perkhidmatan menaikkan kadar kenaan perkhidmatan mereka. Misalnya khidmat pembentung IWK. Bil yang saya mahu bayar hari ini adalah bagi tempoh 2 bulan iaitu Februari ke Mac. Maknanya belum ada GST.

Tapi saya kena bayar atas kadar RM6.00 satu bulan. Jadi bagi tempoh 2 bulan, saya kena RM12.00. Setahun saya kena bayar RM72.00.

Berbeza dengan bil sebelum ini, yang dikenakan sebanyak RM18.00 bagi tempoh 6 bulan, dan untuk bayaran tempoh yang kedua jumlahnya sama juga. Bermakna setahun saya bayar RM36.00 berbanding bil terbaru yang mengenakan RM6.00 sebulan, setahun RM72.00, naik 100%.

Itu belum masuk GST bermula April ini.

Saya marah tapi tidak boleh ketawa seperti kawan saya tadi. 

Namun saya jadikan GST ini dan kenaikan bayaran oleh pembekal perkhidmatan seperti IWK ini  sebagai bahan lawak dan gurauan dengan isteri. 

"Jangan pasang kipas dan aircond. Ingat GST, ingatlah kipas dan aircond. Swis jangan on", begitulah gurauan saya apabila saya nampak isteri cuba memetik swis kipas dan aircond. Tapi isteri tetap pasang juga, dan saya tidak menyekat sebab saya pun perlukannya bagi mendapat rihat yang selesa. Bukankah Malaysia ini panas? GST pula tukang tambah suhu panas didada.

GST ada dimana-mana: Anda tunjuk disini, GST ada mengangakan mulut; anda tunjuk di sana, GST juga menyambut anda; dan di situuuuuuu pun ada GST iaitu dilubang kubur. Tapi jangan salam faham. Yang kena GST orang yang menguruskan orang mati itu. Orang mati, releks saja, tidak ada GST.

Mungkin anda yang dikubur itu akan mendengar orang dalam kubur itu berkata: Gua Suka Ti (Gua Suka Mati).

Si mati itu terlupa nak sebut suku kata 'ma' bagi perkataan mati. Dia sudah terlupa, maklumlah dia pun sudah mati.


  


Tiada ulasan:

Catat Ulasan