Theflowersellingboy

Khamis, 16 April 2015

Lagu ABCD GST




Saya mendengar juga lagu ABCD GST yang dinyanyikan oleh seorang anak kecil beruniform sekolah. Saya percaya lagu tersebut dicipta sebagai satu tindak balas orang ramai yang tidak bersetuju dengan pengenaan cukai baru GST.

Saya setuju rakyat mengeluarkan kemarahan. Saya setuju rakyat membantah GST. Saya setuju kempen atau demosnstrasi aman rakyat menentang GST. Saya setuju kempen pilihanraya PR di Permatang Pauh menentang GST.

Namun saya tidak bersetuju dengan perkataan yang digunakan oleh anak sekolah itu, khususnya perkataan 'tipu'.

Tidak molek kita menanamkan kepada anak kecil itu perkataan mengatakan sianu-sianu itu menipu. Apatah lagi seorang pemimpin.

Ini tidak bermakna saya mempertahankan pemimpin yang suka menipu. Cuma jangan melibatkan anak untuk berkata begitu.

Mengapa jadi begitu? Mengapa rakyat sangat marah?

Saya berpendapat kerajaan tidak sensitif dan prihatin kepada kehidupan rakyat terutama mereka yang berpendapatan sederhana, rendah dan orang susah. 

GST adalah cukai yang tidak mengenal sama ada orang miskin , orang kaya, orang papa kedana. Semua kena cukai apabila beli barang dan gunakan perkhidmatan, tiada yang terkecuali. 

Kerajaan memberi alasan bahawa banyak barang yang dikecualikan cukai yang katanya sebahagian besar digunakan oleh orang berpendapatan rendah. 

Ok kita bersetuju dengan pengecualian itu.

Tapi bagaimana dengan barang dan perkhidmatan yang tidak terkecuali cukai itu? Misalnya penggunaan tenaga lektrik yang dikenakan GST. Ianya boleh mempengaruhi pengeluar dan pengedar barang untuk menaikkan harga barang. Banyak barang dan perkhidmmatan yang memerlukan kuasa lektrik. Maka sudah tentu barang dan perkhidmtan yang menggunakan kuasa lekrik itu juga turut naik.

Sebenarnya contoh yang paling mudah ialah kerajaan atau menteri yang bekaitan beli sendiri barang dipasar atau pasaraya. Barang naik atau turun. 

Malang sekali ada  menteri kata GST menurunkan harga barang. Dan ada yang kata rakyat sudah terima GST sebab aduan berkurangan.

Saya tidak pasti sama ada menteri itu cakap hanya sekadar seronok bercakap macam orang kena latah atau beliau itu menganggap rakyat boleh dikelentong. 

Sebenarnya wahai menteri banyak rakyat yang masih lagi rendah tahap pendidikan mereka. Tapi mereka tidak bodoh sebab mereka ada perasaan dan ada nafsu atau keinginan.

Saya jelaskan maksud perasaan dan keinginan itu.

Mereka mahu juga berhibur, berpiknik di tepi laut, melawat saudara mara dan sahabat handai dan sudah tentu mereka tahu lapar mahu makan dan sebagainya. 

Pergerakan mereka perlukan wang. Tapi apabila wang mereka yang sedikit itu dicukai disebabkan kerajaan kenakan GST, macam mana mereka hendak bergerak. Minta mereka berpuasa setahun?

Tidak bijak suruh mereka bercucuk tanam atau masak sendiri? Apa yang hendak dicucuk tanamkan kalau duduk di rumah flat. Kalau pun duduk di kampong, perkakas untuk cucuk tanam seperti cangkul dan sebagainya kena beli juga. Berhentikan nasihat yang menyakitkan lagi hati mereka.

Mereka atau rakyat faham, menteri boleh bergerak kemana-mana saja walaupun menteri juga tidak terkecuali GST.  Mereka juga tahu menteri tidak akan merungut harga makanan di restaurant atau dimana-mana kedai makanan menjadi mahal kerana GST. Sebab mereka tahu walaupun tahap pelajaran tidak setinggi mana bahawa sebahagian besar dari makanan yang dimakan oleh menteri adalah atas pembiayaan rakyat. Betul tak?

Minum pagi beserta kuih muih, rakyat yang bayar. Makan tengah hari beserta dengan kuih dan buah-buahan pembasah mulut, rakyat juga yang bayar. Bergerak dengan kereta, kereta api, LRT , bas , kapal terbang dan apa saja jenis pengangkutan rakyat yang bayar. Melawat kawasan, rakyat juga yang bayar.

Banyak mesyuarat bukan? Menteri jarang makan di rumah. 

Ok, harap tiada menteri mengatakan saya cakap bohong atau menipu.

Tidak saya tidak menipu. Sebab itu saya tidak suka lagu ABCD GST yang dinyanyikan oleh anak kecil yang menggunakan perkataan tipu.  

Tangguhlah GST. Belum masanya kita laksanakan GST selagi pendapatan sebahagian besar rakyat masih lagi rendah mendekati garis kemiskinan. GST tidak boleh berfungsi sebagai alat untuk mengagihkan kekayaan negara secara adil (equitable wealth distribution).

Bukankah mengagihkan kekayaan negara secara adil merupakan tanggungjawab utama kerajaan?

Jika kerajaan mengatakan bukan tanggungjawabnya maka wajar kerajaan ini dinyahkan dalam pilihanraya akan datang.

Tapi jangan nyanyi lagu ABCD GST.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan