Theflowersellingboy

Sabtu, 18 April 2015

Rakyat Juga Yang Susah




Saya sudah bicara dalam paparan yang lepas bahawa Mahathir dan Najib sedang bergasak. Ianya bukan gasakan atau perkelahian diantara seorang individu dengan individu yang lain. 
 
Ini perkelahian berbentuk geng. Mahathir dan geng-gengnya terus mendesak agar Najib melepas jawatan, dan jika masih  degil wajar disingkirkan segera.
 
Najib dan geng-gengnya tahu siapa mereka. Bahawa mereka mempunyai kuasa. Kuasa tidak mudah dilepaskan, diserah begitu saja tanpa melawan jika ada pihak yang cuba mengganggu gugat.
 
Kuasa adalah segala-galanya. Hanya dengan ada kuasa , Najib (termasuk geng-geng) boleh menyatakan dengan penuh yakin bahawa yang putih itu hitam dan yang hitam itu putih. Sudah tentu ramai yang angguk percaya dan sama-sama mendukungnya walaupun hati kecil mereka  menggelinting tidak percaya.
 
Tapi jangan pula ada yang salah faham dan cepat merumuskan bahawa Najib dan geng-gengnya gila kuasa. Tidak , sekali kali tidak. Mereka mempertahankan kuasa yang telah diamanahkan (dapat kuasa secara sah melalui kemenangan dalam pilihanraya), itu saja.
 
Jika ada yang mahu berdegil dan terus mengatakan bahawa Najib memang gila kuasa kerana tidak mahu melepaskan jawatan PM, sedangkan didakwa banyak melakukan 'kerosakan' yang merugikan rakyat dan negara, saya perlu ingatkan mereka itu bahawa tempoh Najib menjadi PM belumpun sampai satu dekad, baru enam tahun -masih setahun jagung.
 
Apakah tempoh enam tahun sudah terlalu lama? Untuk mendapat jawapan yang boleh direnungkan bersama, tanyalah kepada Mahathir. Beliau ada jawapannya.
 
Jadi soal gila kuasa dalam politik tidak relevan, dan jangan sekali-kali dijadikan hujah bagi menghalang seseorang untuk mendapat kuasa politik. 
 
Anwar Ibrahim mahu jadi PM. Beliau bukan gila kuasa seperti yang selalu dihebuh-hebuhkan oleh lawannya, termasuk Najib dan Mahathir. 
 
Dan Paklah adalah PM yang tidak tahu menggunakan kuasa kerana dengan mudah menyerahkan kuasa apabila didesak oleh Mahathir untuk turun.
 
Oleh itu perkelahian Mahathir dan  geng dengan Najib dan geng adalah perkelahian tentang kuasa. Mahathir tidak mahu Najib berkuasa atau meneruskan kuasa sedangkan  Najib mahu mempertahan dan meneruskan kuasa yang ada.
 
Hujah Mahathir tentang 'kerosakan' yang dilakukan Najib yang merugikan negara dan rakyat sebagai kewajaran menyingkirkan Najib, sebenarnya tidak ada nilai dalam politik, khususnya politik Malaysia. Walaupun hujah itu ada kebenaran, tapi Mahathir sendiri tidak berdaya untuk mempertahankannya.
 
Seperti yang saya katakan diatas tadi, kuasa politik adalah segala-galanya. Kain berwarna  hitam dan putih boleh saja bertukar warnanya  dimata orang politik (termasuk balaci-balaci) walaupun secara fizikal kain itu masih kekal berwarna yang sama.
 
Ini bermakna kuasa politik boleh mentafsirkan atau memberi makna sesuatu mengikut apa yang mereka mahu dan suka.
 
Kata Mahathir, Najib perlu disingkirkan kerana melakukan 'kerosakan' yang merugikan negara dan rakyat.  Kerosakan yang dimaksudkan mahathir itu adalah yang melibatkan salah guna kuasa, pembaziran dan salah urus wang negara; dan keadilan pada nyawa seorang manusia.
 
Mengikut pengertian umum dan rujukan kepada mana-mana kamus dalam apa-apa bahasa pun, perkara-perkara diatas jika Najib lakukan adalah termasuk dalam hal-hal yang merosakkan. Mahathir menyatakan sesuatu yang benar. 
  
Tapi, pada Mahathir ianya mula menjadi benar setelah beliau tidak ada kuasa politik. Sebab semasa menjadi PM dalam tempoh 22 tahun lebih, mahathir juga didakwa, dan difahamkan beliau sendiri mengaku, telah melakukan kerosakan yang sama  misalnya dalam hal pembaziran dan kehilangan wang negara.
 
Adakah semasa beliau jadi PM, kehilangan wang negara itu beliau kategorikan sebagai 'kerosakan', satu perbuatan yang mewajarkan beliau melepaskan jawatan? 
 
Semua orang sudah tahu jawapannya. Sebab itu beliau masih aktif dan cergas sehingga terus memantau dua orang perdana menteri.
 
Dengan demikian, pada pendapat saya, 'kerosakan-kerosakan' yang dinyatakan diatas bukanlah asas yang kuat untuk Mahathir gunakan bagi menggesa Najib meletak jawatan walaupun saya amat bersetuju bahawa sesiapa sahaja PM yang melakukan kerosakan, orang itu perlu dengan sendirinya meletakkan jawatan, dipaksa meletak jawatan atau digerakkan segala kekuatan untuk orang itu letak jawatan. 
 
Bukan itu saja, bekas PM yang dipaksa meletak jawatan itu, perlulah diberi peluang melalui proses keadilan bagi menentukan sahih atau tidak kerosakan yang telah dilakukan.
 
Jadi kerosakan yang macam mana yang sepatutnya Mahathir gunakan?
 
Apa yang saya nampak ialah Najib tidak mengamalkan budaya orang Melayu (UMNO) khususnya budaya berterima kasih dan membalas budi. Bukankah budaya ini menjadi kebanggaan UMNO? 
 
Jika ada rakyat yang tidak bersetuju dengan kerajaan maka dengan pantas rakyat itu dikatakan tidak tahu membalas budi dan berterima kasih kepada kerajaan (UMNO) yang telah membawa berbagai pembangunan dan menghulurkan berbagai bantuan. 

Maka rakyat yang tidak tahu membalas budi itu dihukum. Kalau dulu dapat kontrak kerja, akan datang diketepikan, hanya kerana dikatakan tidak bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan (UMNO).

Budaya ini memang sudah menjadi satu yang totok kepada UMNO disemua peringkat. 
 
Maka apabila Mahathir menaikkan Najib dengan menjadikan Paklah sebagai mangsa (ya, Paklah memang lemah dari segi mengurus negara), sudah tentu ada perkiraan diantara mereka. Sesuai dengan budaya totok , orang berbudi kita membalas, itulah sebenarnya liabiliti yang ada pada Najib yang hutangnya perlu dilunaskan kepada Mahathir.

Jambatan bengkok bagi menggantikan Tambak Johor, adalah antara hutang Najib pada Mahathir.

Tunggu punya tunggu, tambak johor masih lagi tidak diapa-apakan.

Memang benar kata Mahathir, ini bukan hal jambatan bengkok saja. Mahathir tidak akan 'mati' tanpa jambatan bengkok.

Banyak kerosakan yang telah dilakukan oleh Najib. Sebab itu Najib perlu disingkirkan. 
 
Saya percaya sebahagian besar rakyat bersetuju Najib melepaskan jawatan atas hal-hal dinyatakan itu. Pendirian rakyat ini sama dengan pendirian Mahathir.

Tapi satu soalan yang wajar ditanya dan saya rasa soalan ini relevan kerana ada sangkut paut dengan budaya UMNO iaitu:

Apakah sikap dan pendirian Mahathir jika Najib setelah menerima serahan jawatan PM dari Paklah atas usaha gigih Mahathir, terus dengan segera membina jambatan bengkok sebagai membalas budi dan tanda berterima kasih kepada Mahathir?

Saya ada jawapan. 
 
Anda ada jawapan? Orang lain juga ada jawapan?

Namun begitu perlu dirakamkan disini bahawa sebelum Mahathir membangkitkan kerosakan-kerosakan yang dilakukan Najib itu, sebahagian besar rakyat telah terlebih dulu membangkitkannya terutamanya parti pembangkang.

Soalan kedua: mengapa ketika itu kerajaan (Najib) tidak ambil berat melainkan setelah Mahathir membangkitkannya?

Saya tiada jawapan melainkan jawapan yang sama seperti soalan pertama diatas.

Mahathir terus menyerang. Najib ada kuasa dan tahu menggunakan kuasa, bertahan dan membuat serang balas. Rakyat juga yang susah.  
 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan