Theflowersellingboy

Khamis, 30 April 2015

Buatlah Kerja Menurut Kemampuan Pada Usia Tua.




Sungguh penat. Anggota badan rasa sakit-sakit. Pinggangpun sakit.

Itulah kesan dari kerja membersih kawasan luar rumah yang telah berjalan lebih sebulan. Sehingga hari ini masih lagi banyak yang perlu dilakukan.

Kawasan luar rumah menjadi terbiar selama hampir dua bulan tanpa mendapat  rawatan, gara-gara lama berihat dan meninggalkan rumah.  

Rumput, lalang dan tumbuhan liar kecil seperti dedalu , tumbuh begitu subur membiak dan merata.  Sampah sarap dari daun-daun kering dan ranting-ranting kayu menambuhnimbun di laman dan sekeliling kawasan rumah.

Laman rumah yang terdiri dari batu interlocking ditumbuhi dengan berbagai jenis rumput dicelah-celah ruang diantara ikatan batu-batu itu, tinggi dan jelek mata memandang, menyakitkan hati.

Bunga-bunga dalam pasu sebahagian besar telah kekeringan mati kerana tiada siapa yang membaja dan menyiraminya. Harapkan siraman air hujan saja. Tapi dari Januari sampai awal April, hujan tidak turun, cuaca panas terik.  Tiada lagi kuntuman bunga yang berbagai warna. Yang ada hanya rumput-rumput hijau memenuhi pasu bunga. Hairan, pokok bunga mati, rumput liar membiak .

Wajah isteri muram.

Menyakitkan hati? Jelek mata memandang? Itulah saya.

Jangan komplen. Salah sendiri kerana banyak rihat dari kerja.

Macam mana untuk isteri senyum semula, dan hati saya menjadi suka dan mata sedap memandang.?

Saya mesti kuat semangat, mesti buat kerja secara konsisten. Mesti ada perasaan mahu rumah dan kawasan nampak cantik, bersih dan indah. Mesti ada .......

Semangat memang ada bahkan berkubar-kubar untuk melakukan kerja-kerja pembersihan kawasan rumah itu. Buat kerja secara konsisten tidak ada masalah. Itu perkara mudah. 

Terima kasih kepada arwah abah yang telah mendisiplinkan saya walaupun caranya semacam diktator, tidak boleh soal jawab. Mesti sentiasa akur dan angguk. Hasilnya saya ada ketahanan dalam melakukan kerja-kerja lasak, dan tidak mudah menyerah kalah.

Tahun ini , lebih tepat bulan Jun yang akan datang ini saya akan menyambut kejayaan menjalani pembedahan jantung terbuka (bypass) kali ke 9. Alhamdulillah masih sihat lagi, dan boleh melakukan kerja-kerja membersih dalam dan luar rumah.

Sebab itu tiada sebab semangat saya tidak berkubar-kubar untuk melakukannya, untuk sedap mata memandang dan menghiburkan hati. Lagipun kerja-kerja itu mengeluarkan banyak peluh, baik untuk kesihatan.

Maka bermula bulan lepas saya telah memulakan operasi membersihkan kawasan luar rumah. 

Pukul lapan pagi, paling lewat, saya akan mengenakan uniform kerja. Pakai trek sut, baju 't' lengan panjang, cap, tuala bersaiz sederhana untuk melindungi kepala dan muka dari panas cahaya matahari dan but getah. Sudah tentu ada bersama saya peralatan kerja -gunting, parang, cangkul kecil, penyapu, wheel barrow, dan penyodok kecil.

Saya melakukan kerja mengikut senarai yang telah ada dalam otak dan hati saya. Kawasan dan kerja apa yang perlu didulukan.

Saya mendahulukan kerja membersih kawasan laman dan meletakkan kawasan dibelakang disenarai terakhir. Sehingga hari ini kawasan laman telah beres, habis semua rumput yang tumbuh dicelah-celah antara batu interlocking telah habis saya cabut. 

Tapi sayang sekali, rumput baru sudah mula tumbuh. Tambah-tambah lagi beberapa hari yang lepas hujan membasahi bumi, semakin cepat dan menghijau rumput-rumput itu tumbuh. Saya hanya mampu menggelengkan kepala dan memberi amaran kepada rumput-rumput itu, "nanti aku racunkan kau, baru tau".

Sekarang saya mengerjakan dikawasan sisi kanan rumah. Kawasan sisi kiri sudah beres.

Kawasan sisi bererti kawasan disebelah tepi yang tidak dapat menggunakan mesin rumput. Saya pakai mesin rumput jenis tolak beroda berkuasakan letrik. Tapi selagi kawasan sisi tepi kiri dan kanan belum beres, saya tidak akan memotong rumput menggunakan mesin bagi kawasan selebihnya.

Hari ini kawasan tepi sisi kanan masih lagi berbaki, kurang lebih 20 kaki lagi. Esok mungkin dapat disiapkan.

Sementara saya dengan kerja saya, isteri sibuk dengan menanam semula pokok bunga yang baru menggantikan yang lama yang telah mati dan tidak subur. Maka sibuklah isteri dan kadang-kadang anak membantu mengusung dan menolak dengan menggunakan troli pasu-pasu bunga ke tempat-tempat yang dirasakan cantik mata memandang. 

Kerja-kerja membeli baja dan tanah juga mereka berdua lakukan melainkan jika pasu bunga itu terlalu berat yang memerlukan tenaga lelaki, kerja-kerja hiasan bunga ini adalah khusus dilakukan oleh isteri.

Biasanya sebaik saja berkumandang suara rakaman bacaan al-Quran dari masjid berdekatan , saya akan berhenti kerja. Disebelah petang saya berihat.

Tumpuan kawasan luar rumah ini membuatkan kawasan dalam rumah menjadi kurang kerap dilakukan. Maka cicak-cicakpun bebas membuang air besarnya mengikut suka hati. Saya sungguh marah. Tapi oleh kerana terlalu penat maka buat tak nampak saja.

Apa yang saya hendak kongsi ialah tentang kemampuan melakukan kerja-kerja membersih kawasan rumah , luar dan dalam. Kemampuan, bermaksud dari segi kewangan dan tenaga.

Walaupun saya punya semangat yang berkobar-kobar dan telah biasa dengan kerja kuat dan lasak tapi kemampuan dari segi tenaga pada usia tua (lebih 50 tahun saya katakan sudah tua, apatah lagi saya dalam usia enam puluhan menghampiri tujuh pulu) dan yang telah melalui pembedahan jantung, semakin menurun. Anggota badan mudah merasa penat dan letih. Sana sakit, sini sakit. Kalau lama sangat buat kerja , jalan pun tidak seimbang, mudah mahu jatuh.

Ertinya pada waktu usia seperti saya ini, kerja-kerja itu sepatutnya diupah orang lain melakukannya. Syaratnya mesti ada wang yang cukup. Dari segi ini , saya rasa tidak mampu.

Jadi jalan yang terbaik ialah sendiri melakukannya. Soal anggota badan sakit sana dan sini, sakit pinggang misalnya, rasa penat dan letih, kenalah hadapi dan terima seadanya.

Buatlah kerja ikut kemampuan. Lagipun saya dan isteri ada anak dan cucu. Takkan asyik melayan kerja-kerja dirumah. Sudah tentu anak dan cucu lebih utama dan perlu didekati. Merekalah yang menghibur dan menggembirakan hati kami berdua.

Penat dan sakit-sakit badan boleh saja hilang apabila anak cucu balik ke rumah. Setiap hujung minggu itulah yang kami harap dan tunggu. Kalau tidak kami pula yang bertamu. Kadang-kadang melampaui minggu, menjadi bulan. Rumput pun jadi panjang.

Buat lagi operasi pembersihan, selagi hayat dikandung badan, dan selagi sihat tubuh badan dan akal fikiran. Jangan komplen fasal penat dan sakit anggota badan. Buat saja kerja. Pagi esok sambung kerja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan