Theflowersellingboy

Selasa, 28 April 2015

Pilihanraya Kecil Rompin dan Permatang Pauh




1. Walaupun pilihanraya kecil tapi keputusan pilihanraya di Rompin dan Permatang Pauh memberi makna dan menyampaikan mesej yang besar kepada parti yang bertanding, dan akhirnya memberi kesan kepada kehidupan rakyat malaysia.

2.  PRU 13 telah dimenangi oleh UMNO/BN. Kemenangan ini sudah tentu atas kepercayaan sebilangan pengundi (47%) keatas janji-janji UMNO/BN berbanding dengan janji-janji yang ditawarkan oleh PR jika berjaya menerajui negara. PR telah mendapat kepercayaan 53% pengundi.

3. Kedua-dua UMNO/BN dan PR menjanjikan yang terbaik untuk rakyat dan negara dengan berbagai pakej tawaran. Ertinya kedua-dua parti yang bersaing mahu memberikan khidmat demi kebaikan dan keselesaan rakyat dan kemakmuran negara.

4. UMNO/BN sudah menang. Maka parti itu bertanggungjawab menunaikan janji yang telah dibuat demi keselesaan dan kebaikan rakyat serta kemakmuran negara?

5. Oleh itu untuk pengundi Rompin dan Permatang Pauh, siapa pun anda dan sama ada yang berparti mahupun tidak berparti, undi anda adalah terlalu amat berharga -untuk anda dan masa depan anak cucu anda. Ingat, anda mesti mendahului keselesaan, kebaikan dan kesenangan hidup anda dan masa depan anak cucu anda mengatasi kepentingan parti atau calun yang bertanding.

6. Apakah yang anda mahu? Paling asas ialah anda mempunyai kemampuan untuk memiliki sebuah rumah walaupun kecil; mampu membiayai sara hidup harian untuk makan, minum; dan membeli pakaian menutupi aurat anda.

7. Jadi anda mesti tanya soalan-soalan ini sebagai satu cara bagi  memandu fikiran anda dalam mempertimbangkan calun dari parti mana yang perlu anda undi. Soalan-soalannya:
      i) Adakah sekarang ini anda mampu untuk memiliki sebuah rumah, paling kurang rumah 3 bilik? 
        ii) Adakah anda mampu dan tidak tertekan menghadapi sara hidup harian untuk membeli makanan dan keperluan dapur? 
        iii) Bagi anda yang ada ramai anak kecil yang perlukan lampin pakai buang yang selalu disebut sebagai 'pampers', adakah anda tidak tertekan dengan kenaikan harga pampers sekarang ini akibat dari cukai GST? Bagaimana jika anda menjaga emak/bapa yang uzur yang memerlukan pampers juga, tertekan atau tidak?

8. Banyak lagi soalan yang boleh ditanya. Tapi dengan 3 soalan diatas anda perlu jawab dengan jujur, adakah anda tertekan dari segi menjalani kehidupan? Jika anda berpuas hati, dan rasa tidak tertekan bermakna kerajaan UMNO/BN telah memberi kepuasan kepada anda.

9. Tapi jawapan saya mengatakan kehidupan ketika ini amat tertekan sekali terutama kepada yang berpendapatan rendah, yang tidak ada kerja dan yang berpendapatan sederhana. Yang terkecuali tertekan ialah Menteri dan mereka yang mendapat berbagai kemudahan seperti kenderaan dan makan minum.

10. Saya percaya dengan wang 100 ringgit anda tidak akan mampu membawa barang yang sama banyak  seperti beberapa tahun yang lepas disebabkan sebahagian besar harga sudah naik.

11. Apatah lagi dengan adanya cukai GST -cukai yang dikenakan kepada siapa saja tidak kira pendapatan besar , kecil, sederhana, tanpa pendapatan, orang tua, kanak-kanak, yang sihat mahupun yang uzur asalkan gunakan barang dan perkhidmatan cukai tetap kena. GST cukai yang zalim.

12. Tidak benar dan mengelirukan cukai GST ini boleh menurunkan harga. Cukai adalah tambahan kepada kos dan margin keuntungan bagi sesuatu barang dan perkhidmatan. Ertinya cukai tidak akan menurunkan harga.

13. Jangan keliru dengan cukai jualan dan perkhidmatan 10% yang dikenakan dulu , dan yang telah dihapuskan, disebabkan untuk melaksanakan GST pada kadar 6%.

14. Memang kadar cukai berkurangan dari 10 kepada 6 peratus. Tetapi liputan barangan dan perkhidmatan dalam GST terlalu banyak berbanding dengan cukai jualan dan perkhidmatan yang dihapuskan itu. 

15. GST secara konsepnya mengenakan cukai keatas semua barang dan perkhidmatan tanpa pengecualian keatassiapa yang menggunakan barang dan perkhidmatan itu. Tujuannya untuk mendapat hasil cukai yang lebih.

16. Memang ada barang dan perkhidmatan tertentu dikecualikan cukai GST. Tapi bilangannya tidak banyak, dan tidak mungkin dibuat demikian kerana tujuan GST ialah bagi mendapat kutipan hasil yang banyak.

17. Oleh itu anda tidak wajar mengundi UMNO/BN kali ini kerana GST saja sudah cukup untuk menolak kerajaan UMNO/BN ini. 

18. Bekas PM Tun Mahathir sendiri tidak bersetuju dengan GST sebab katanya ianya menyusahkan rakyat. Jika bekas PM yang memerintah 22 tahun itu yang juga ahli UMNO/BN tidak bersetuju dengan GST, mengapa pula anda perlu mengundi kerajaan yang mengenakan GST? 

19. Dengan tekanan GST ini sudah cukup bagi pengundi Rompin dan Permatang Pauh menolak UMNO/BN dan mengundi PAS di Rompin dan PKR di Permatang Pauh.

20. Jika anda mahu mempertimbangkan perkara lain sebagai tambahan kepada cukai GST yang menekan itu, misalnya salah guna kuasa, pembaziran dan rasuah bagi menguatkan anda untuk menolak UMNO/BN ianya tersangat wajar dan perlu dilakukan di Rompin dan Permatang Pauh. 

21. Sudah tentu anda telah ada maklumat tentang 1MDB yang menjadi satu isu yang telah dibangkitkan ramai orang termasuk Tun Mahathir yang berhutang RM49 billion. Hutang ini menjadi beban kepada negara sedangkan yang mendapat untung dalam urusniaga 1MDB adalah beberapa orang saja. Jika 1MDB gagal bayar hutang, rakyat yang kena tanggung.

22. Adakah kutipan dari GST ini akan digunakan untuk membayar hutang 1MDB? Anda perlu ada soalan seperti itu.

23. Kesimpulannya, jika anda tidak mahu menanggung kesan yang buruk dalam menjalani kehidupan, anda undilah PAS di Rompin dan PKR di Permatang Pauh kerana kerajaan sekarang sudah terlalu sombong dan angkuh. Suara rakyat, bahkan suara Tun Mahathir pun mereka pandang leceh.

24. Itulah mesej yang perlu disampaikan kepada kerajaan yang angkuh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan