Theflowersellingboy

Ahad, 12 April 2015

Apakah Sebabnya Mahathir dan Najib Bergeser.





1. Seperti orang lain, saya juga mengikuti pergeseran diantara Mahathir dan Najib. Saya lihat kedua-duanya ada pengikut dan penyokong. Dan saya juga dapati pergeseran ini semakin meningkat dan yakin ianya tidak  mungkin kendur, sebaliknya akan memuncak.   

2. Menurut Mahathir, Najib dan pentadbiran Najib telah melakukan salah urus antaranya dalam syarikat 1MDB dan melakukan kesilapan memperkenalkan BR1M yang beliau anggap sebagai rasuah. Mahathir juga mahu tahu siapakah yang mengarahkan Altantuya dibunuh.

3. Sebenarnya perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Mahathir itu telah terlebih dahulu dibangkitkan oleh pihak orang ramai khususnya parti pembangkang termasuklah pertanyaan siapa arah bunuh Altantuya. 

4. Walaupun perkara-perkara yang dibangkitkan adalah sama tapi Najib mengambil pendekatan yang berbeza. Jika orang ramai atau ahli-ahli parti pembangkang yang membangkitkan, Najib atau kerajaan akan segera mempertahankan segala dakwaan yang dibuat termasuk mengancam mengambil tindakan undang-undang ( ada beberapa tindakan undang-undang yang telah diambil). Najib atau kerajaan memilih untuk membisu atau cuba mengelakkan sebarang respons kepada soalan dari Mahathir.

5. Hanya pada malam 10 April 2015 melalui rancangan khas Isu Semasa Bersama PM pada jam 10 malam, Najib menjawab Mahathir. Rancangan itu bukanlah siaran secara langsung, ianya telah dirakam terlebih awal.

6. Oleh kerana ianya rakaman maka nilai jawapan Najib itu boleh mudah dipersoalkan yang ramai percaya bahawa ianya lebih cenderung kepada soalan dan jawapan yang telah diatur dan dipersetujui oleh Najib terlebih dahulu. Misalnya bagi soalan siapa yang mengarahkan  membunuh Altantuya, beliau tidak perlu menyatakan telah bersumpah tidak mengenal Altanyuya kerana soalan itu tidak ditanya oleh Mahathir.

7. Selain Najib tidak menjawab soalan siapa yang mengarah Altantuya dibunuh, jawapan kepada perkara-perkara yang telah dibangkitkan oleh orang ramai dan Mahathir tentang 1MDB juga tidak ada bezanya dengan jawapan yang telah diberikan sebelum rancangan tersebut yang mana orang ramai dan Mahathir terus mempersoalkannya.

8. Tapi satu perkara secara terang dan jelas yang diberitahu oleh Najib ialah bahawa sebab mengapa Mahathir membangkitkan isu-isu tersebut adalah kerana Mahathir marah tentang BR1M dan Najib tidak melaksanakan projek jambatan bengkok. 

9. Mungkin maklumat tentang projek jambatan bengkok itu merupakan sesuatu yang baru bagi sebahagian orang, dan sedikit sebanyak boleh mempengaruhi mereka untuk cenderung menyebelahi Najib dengan kata-kata, "Patutlah Najib dihentamnya".

10. Dalam masa yang sama , pendedahan terbuka tentang jambatan bengkok ini juga boleh menaikkan suhu kemarahan Mahathir  terhadap Najib. Saya percaya, Mahathir dan penyokongnya akan terus menyerang.

11. Najib mendapat sokongan dari berbagai pihak, terdiri dari ahli parti UMNO/BN termasuk beberapa orang pemimpin parti dan NGO. Penafian Pak Lah , mantan PM tentang penglibatan Najib dalam pembunuhan Altantuya mungkin boleh menjawab soalan yang dibangkitkan oleh Mahathir.

12. Mahathir juga mendapat sokongan bukan saja dari sebahagian ahli UMNO bahkan dari bukan ahli UMNO. Sudah tentu pembangkang juga menyokong Mahathir kerana pembangkang juga mendakwa  terdapat kepincangan dalam urus tadbir  negara yang dilakukan oleh Najib termasuklah hal-hal yang dibangkitkan oleh Mahathir.

13. Bagi pembangkang dan sebahagian orang ramai percaya antara Mahathir dan Najib tidak ada beza. Kedua-dua tidak mengurus tadbir negara dengan baik. Mahathir sendiri mengaku bahawa telah berlaku kehilangan wang negara semasa beliau jadi PM. Cuma Mahathir tahu dimana wang itu hilang berbeza dengan Najib yang tidak atau belum beritahu ke mana wang 1MDB itu berada atau hilang.

14. Ini bermakna Mahathir dan Najib adalah sama saja. 

15. Jadi apakah ada kekuatan moral bagi Mahathir meminta Najib meletakkan Jawatan? 

16. Apakah juga ada kekuatan moral untuk Najib bertahan sebagai PM?

17. Najib wajar letak jawatan jika tidak dapat memberi jawapan kepada isu-isu yang dibangkitkan oleh rakyat termasuk Mahathir.

18. Mungkin ada sebab tertentu Najib tidak mahu atau takut untuk meletak jawatan. Mungkin ada sebab tertentu Mahathir takut dan bimbang UMNO/BN kalah. 

19. Menurut Mahathir jika UMNO/BN kalah, pihak yang menang dan menjadi kerajaan akan mencungkil segala hal urus tadbir kerajaan UMNO/BN untuk didakwa dimahkamah seperti yang dilaporkan dalam media sosial. Dan adakah ini sebenarnya yang ditakuti dan menjadi asas kepada Mahathir membangkitkan persoalan kepada Najib dan mendesak Najib meletak jawatan.

20. UMNO/BN akan kalah. Kalah kerana berterusan melakukan perkara-perkara yang merugikan negara dan menyusahkan sebahagian besar rakyat, menindas dan menzalimi rakyat yang tidak bersalah dengan menyalahgunakan kuasa melalui berbagai cara dan campur tangan dalam berbagai institusi. Salah guna kuasa dan salah urus tadbir ini bukan saja diteruskan oleh regim sekarang malah telah lama berlaku termasuk pada zaman Mahathir. Sebenarnya ianya sudah menjadi ketagihan kerajaan yang telah lama berkuasa.

21. Soalan Mahathir tentang siapa yang mengarahkan Altantuya dibunuh, rasanya tidaklah ditanya atas dasar untuk mencari keadilan kepada Sirul. Soalan ini sebenarnya telah lama dibangkitkan oleh pihak lain. Tapi Mahathir baru saja bangkitkan. Mengapa?

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan