Theflowersellingboy

Selasa, 14 April 2015

Masaklah sendiri kalau harga barang naik




Saya tidak kenal orang ini. Tapi dia sangat marah.

Saya tiada kawan, duduk seorang saja di satu meja hidangan dalam satu majlis kenduri. Tidak berapa lama berseorangan itu, saya  mendapat seorang kawan. Dia senyum dan duduk berhadapan dengan saya, kami bersalaman.

Diatas meja telah tersedia beberapa hidangan kuih muih. Saya mempersilakan kawan itu menjamah kuih yang ada seolah-olah saya tuan rumah.
  
Saya juga dijemput ke majlis kenduri itu.
Kawan itu mengambil se butir kuih buah melaka lalu dimakannya.

"Abang ingat berapa harga buah melaka ni'? Tanya kawan itu.

Saya menggelengkan kepala.

Dia sebenarnya tidak minat untuk mendapat jawapan dari saya. Dia mahu terus bercakap. 

"Sekarang semuanya mahal. Tak macam dulu. Masa dulu , air suam free. Tapi sekarang kena bayar. Paling kurang 20 sen. Cekek darah".

Saya tidak tahu berapa sebenar harga sebutir buah melaka. Bahkan saya tidak tahu harga banyak barang kerana semenjak menjadi ketua keluarga sebahagian besar pembelian dilakukan oleh isteri. Isteri beli dan isteri bayar walaupun untuk kegunaan saya sendiri.  Sebab itu, saya tidak perlu pening kepala untuk memikirkan harga barang naik.

Tapi saya yang memberikan wang kepada isteri. Sekian  sekian  banyak bagi satu bulan. Ianya tidak tetap. Ada masa lebih dan ada masa kurang. Tapi sebahagian besarnya dalam jumlah yang sama.

Isteri kerap juga beritahu harga barang sekarang terlalu tinggi dan membebankan. Saya dengar, tapi tidak ambil kira sebagai asas memberikan wang kepadanya. Saya tidak mahu pening kepala.

"Ini semua fasal GST"? Kata kawan itu lagi.

Walaupun nada itu nada rungutan tapi ianya tidak menjadi satu perkara yang menarik dan bukan satu perkara baru bagi saya . Oleh itu tiada tindak balas segera dari saya.

Saya tahu apa itu GST. Dan saya percaya GST itu ertinya harga barang naik kepada kawan saya itu. Ianya membebankan kehidupannya.

Saya hanya mahu mendengar saja, tidak mahu beri apa-apa pandangan tentang GST.

Kawan itu terus meluahkan perasaan marah dan sakit hatinya.

"Gaji kecik bang, bukan ribu-ribu, lapan ratus jer. Maner nak belanja anak sekolah, tambang bas sekolah, pakaian. Duit dapur pun tak cukup", keluh kawan itu lagi.

Saya mengangguk kepala tanda setuju. Wajah sedih dipaparkan, tanda simpati.

Tiba-tiba kawan itu bertanya , "Abang setuju ker GST ni?" 

Saya percaya soalan itu terhambur kerana saya tidak cakap sepatahpun tentang GST sama ada setuju atau sebaliknya. 

Pertanyaan itu membuatkan saya menjadi tidak selesa. Apa perlu saya jawab, bersetuju atau tidak bersetuju.

Kawan saya itu nampaknya menunggu jawapan dari saya. Saya menjangkakan beliau mengharapkan jawapan saya bersetuju dengannya, GST membuatkan harga barang naik.

"Apa yang encik faham tentang GST?" Tanya saya bagi mengelakkan menjawab setuju atau tidak setuju.

"Cukai baranglah. Semua barang kena cukai. Bila kena cukai harga barang naiklah", jawab kawan itu, lancar.

"Ada juga barang yang dikecualikan cukai", jelas saya tanpa menggunakan perkataan 'tapi' untuk mengelakkan saya dikatakan tidak bersetuju dengannya.

"Itu saya tak tahulah. Yang saya tahu barang yang saya beli harganya lebih tinggi sebelum GST. Duit banyak keluar, barang tak seberapa. Ringan".

"Tak beratlah barang yang dibawa balik", saya cuba bergurau.

Gurauan saya itu tidak ada apa-apa kesan. Kawan itu tidak ketawa, tidak juga marah.

Saya rasa menyesal juga dengan gurauan saya itu, seolah-olah saya tidak prihatin dengan keluh kesah kawan itu. Saya mesti jawab pertanyaan itu, bersetuju atau tidak GST membuatkan harga barang naik.

"Ya, saya setuju GST menyebabkan harga barang naik".

Kawan saya nampaknya lega dengan jawapan saya itu.

"Tapi fasal apa kerajaan kata GST turunkan harga barang?"

Saya tidak mahu jawab. Saya rasa saya jadi orang gila jika saya setuju dengan kenyataan kerajaan itu. Tidak logik pengenaan sesuatu cukai tidak melibatkan kenaikan kos -kos material, kos pembuatan pengeluar, kos mengangkut dan kos kepada pengguna. Lagipun realitinya, harga memang naik termasuk kepada pengguna.

"Sebab...kerajaan kata", saya mahu memberi tahu rasional kerajaan itu yang mengatakan GST tidak menaikkan harga barang. Kawan saya itu menunggu perkataan-perkataan yang akan saya sebutkan dengan penuh sabar.

"Nombor satu, kadar cukai turun dari 10 peratus menjadi 6 peratus. Turun tak? Sudah mesti turun". Saya harap kawan itu faham kadar cukai yang saya maksudkan, dan tidak terkeliru.

"Nombor dua , sebanyak  160 negara kenakan GST. Maknanya GST diterima oleh rakyat negara-negara tersebut. Maknanya juga GST tidak menaikkan harga. Kalau harga barang naik sudah tentu rakyat mereka marah. Tengok GST yang dikenakan di Singapura, rakyat tidak berdemontrasi menentang GST".
 
Kawan itu mendengar dengan penuh kesungguhan tanpa mahu mencelah. Dia semacam menerima baik alasan kerajaan yang saya nyatakan itu. Saya mula rasa bersalah.

Kemudian saya berdiri dan menepuk bahu kawan itu sambil berkata, "Lagi pun encik, kalau pun harga barang naik, misalnya makanan, masaklah sendiri, jangan makan direstoran".

"Aper.... nak masak tu tak perlu beli barang ker, tak perlu beli gas dan macam-macam lagi ker?". Suara kawan itu naik meninggi.  Saya percaya dia tidak marah pada saya. Tapi kalau dia marah, itulah yang saya harapkan. Dia marah pada kerajaan.

"Jaga engkau, aku tidak akan pangkah kau lagi.....gomen suka tipu". Kawan saya itu bingkas bangun dan melangkah meninggalkan saya. Saya senyum sendirian.






   





Tiada ulasan:

Catat Ulasan