Theflowersellingboy

Rabu, 15 April 2015

Orang Dalam Penjara Boleh Senyum




Apakah gamaknya yang sedang dibuat oleh Anwar dalam penjara ketika ini. Tidur? Membaca? Merancang? atau apa saja. 
 
Bagi pihak tertentu, apa Anwar sedang buat rasanya tidak penting. Yang penting dia mesti duduk dalam penjara selama tempoh hukuman 5 tahun. Anwar tidak lagi boleh membuatkan pihak tertentu itu terganggu tidur atau mengganggu kehidupan harian mereka. Selamat.

Penjara 5 tahun itu telah ditentukan oleh mahkamah. Lembaga Pengampunan pun bersetuju tempoh itu apabila menolak rayuan pengampunan yang dibuat oleh keluarganya.
 
Kesian Anwar. Dua kali  kena hukum penjara atas dakwaan yang sama -meliwat. Kali pertama semasa perintah Mahathir. Kali kedua masa perintah Najib. Dua-dua PM Malaysia.
 
Tiada dakwaan lain yang sesuai untuk Anwar, selain meliwat. Sebab itu tuduhan meliwat yang dikenakan keatas Anwar ini ada sirinya, ada siri satu dan ada siri dua. Siri tiga? Wallahualam. 

Apakah perasaan Mahathir dan Najib apabila mahkamah buat keputusan memenjarakan Anwar, sama ada liwat satu mahupun liwat dua? Rasanya mereka bersetuju dan selesa kerana mereka tidak lagi diganggu. Sebab Anwar ini suka sangat mengganggu Mahathir dan Najib.

Anwar mengganggu Mahathir semasa Mahathir jadi PM. Begitu juga semasa Najib. Kata Mahathir dan juga Najib, Anwar ini gila kuasa, nak jadi PM.

Memang betulpun Anwar nak jadi PM. 
 
Kerja siang malam, kehulu kehilir, masuk daerah pedalaman, mengharung lembah dan sungai berjumpa dengan rakyat bagi menerang dan meyakinkan rakyat bahawa rakyat perlu berubah dan menukar kerajaan yang ada untuk kehidupan yang adil dan sejahtera dalam sebuah Malaysia baru, apakah tujuannya.
 
Tujuannya Anwar nak dapat kuasa untuk diri dan partinya (PR) menang dalam pilihanraya bagi membolehkan dia jadi PM.
 
Mahathir macam mana? Mahathir pun hendak kuasa bahkan telah berkuasa 22 tahun lebih. Dua puluh dua tahun lebih, sudah tentu terlalu lama bukan? Tapi itu tidak termasuk gila kuasa.

Najib? Najib pun sama. Cuma dia beruntung kerana mendapat kuasa dengan mudah dengan pertolongan Mahathir. Tanpa desakan Mahathir, rasanya Paklah masih lagi jadi PM. 
 
Najib mesti terhutang budi dengan Mahathir, dan sudah menjadi budaya UMNO, Najib wajib bersyukur dan mengucapkan terima kasih pada Mahathir. Kalau tidak Najib termasuk dalam golongan orang yang tidak tahu kenang budi.
 
Jadi hubungan Najib-Mahathir boleh diibaratkan seperti 'ubi dengan batas' -orang berbudi kita membalas.
 
Tidak begitu?

Rasa-rasanya begitulah.

Menurut orang yang empunya cerita, Najib telah berjanji dengan Mahathir untuk melaksanakan jambatan bengkok bagi menggantikan tambak   Johor, laluan ke Singapura. Sudah tentu janji itu , janji Perdana Menteri Najib kerana hanya yang ada kuasa saja yang boleh membuat janji sebesar itu.
 
Masa berjalan. Najib dan UMNO/BN menang pilihanraya 13 walaupun kalah dari segi majoriti pengundi. Mahathir amat dukacita dengan kekalahan itu, katanya prestasi Najib lebih teruk dari PM sebelumnya iaitu Paklah.
 
Dalam masa yang sama, Anwar yang belum masuk penjara, tapi masih lagi dalam perbicaraan liwat dua, bersama dengan parti-parti gabungan PR menang dengan majoriti pengundi 53%. Tapi gagal membentuk kerajaan. Maka tidak dapatlah jadi PM, jawatan yang Mahathir kata Anwar sangat gilakan itu.
 
Mahathir kecewa dan Anwar berang. Tapi Najib masih lagi jadi PM.
 
Pada peringkat awal, walaupun Mahathir kecewa, Najib tidak mendapat asakan yang bertubi-tubi dari Mahathir. Anwar pula kerana amat berang -menang majoriti tapi tak boleh tubuh kerajaan, menjelajah seluruh pelusuk negara berkempen memberitahu bahawa PR sepatutnya jadi kerajaan.
 
Kerja-kerja Anwar dan geng PRnya, jika dibiarkan tanpa tindak balas, sudah tentu boleh mencederakan Najib dan Mahathir dan beberapa orang yang lain. Oleh itu walaupun Mahathir kecewa denagn Najib, beliau masih lagi bersatu tenaga menyerang Anwar.
 
Tetapi menyerang Anwar atas dasar manifesto partinya tidak mungkin boleh melemahkan PR danAnwar sendiri. Malah manifesto partinya mendapat samabutan baik dari sebahagian besar rakyat terutama anak-anak muda.
 
Jadi macam mana nak serang Anwar sehingga KO?
 
Mahathir tahu caranya. Najib pun tahu juga. 
 
Sementara serangan KO itu mengambil tempat, serang menyerang antara Anwar lawan Najib-Mahathir berterusan. Dalam masa yang sama berlaku juga perang dingin antara Mahathir dan Najib tapi belum sampai kepuncak.
 
Apabila mahkamah menjatuhkan hukuman bersalah atas tuduhan liwat dan memenjarakan Anwar 5 tahun, Najib rasanya lega dan selesa, dan Mahathir pun sama. Anwar tidak dapat mengganggu lagi. Mereka berdua boleh lena tidur.
 
Lena tidur?
 
Bagi Mahathir tidurnya masih terganggu dengan mimpi seram. Najib adalah penyebab mimpi seram itu selalu hadir dan mengganggu tidur Mahathir.
 
Oleh itu Najib mesti disingkirkan. Jika tidak UMNO/BN akan kalah dalam pilihanraya akan datang. PR akan jadi kerajaan. Pada masa itu UMNO/BN tiada kuasa. PR berkuasa. 
 
Masa UMNO/BN berkuasa, wang negara hilang lesap- ada yang lesap diketahui tempatnya, ada yang lesap tidak tahu ke mana. Tapi itu tidak jadi hal. 
 
Salah tadbir dan salahguna kuasa pun selamat. 
 
Lupakan saja siasatan dan dakwaan, apatah lagi untuk dibawa ke mahkamah. Boleh dipendam dan diketepikan. Sebab ada kuasa.
 
Tapi pilihanraya akan datang Mahathir kata UMNO/BN akan kalah sebab banyak yang tidak kena pada Najib dalam mentadbir dan menguruskan wang negara. Najib sebagai PM kata Mahathir tidak tahu ke mana wang negara hilang lesap.  Mahathir marah.
 
Bukan saja Mahathir amat prihatin tentang kehilangan wang, beliau juga mahu membela Sirul yang didapati oleh mahkamah bersama rakannya bersalah membunuh Altantuya. Sirul di hukum gantung tapi dapat lari ke Australia.
 
Mahathir tanya Najib siapa arah Si Sirul bunuh Altantuya.
 
Najib telah memberi respons kepada perkara-perkara yang dibangkitkan mahathir itu. Tapi nampaknya Mahathir masih tidak berpuas hati, dan mengatakan Najib tidak menjawab soalan.

Maka sekarang ini mereka sedang berperang. Masing-masing ada panglima dan askarnya. 

Mengapa mereka boleh berperang? 

Sebab ada pengikut. Sebab mereka diluar penjara.

Anwar tidak boleh berperang walaupun masih ada pengikut kerana Anwar dalam penjara.

Cuma Anwar boleh tersenyum dan bermimpi indah walaupun jasad dipenjarakan.

Mahathir dan Najib sedang bergasak. Siapa menang dan siapa KO rasanya tidak akan merubahkan keputusan pilihanraya akan datang. UMNO/BN akan kalah. Dan jika itulah keputusannya, adakah mimpi ngeri Mahathir itu menjadi kenyataan?
 
Sama-sama kita tunggu jika usia masih ada.
 
 
 
 



 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan