Theflowersellingboy

Isnin, 3 April 2017

Siapa Dalang Yang Menghalang RUU 355.



Berita melaporkan PAS tetap beristiqamah dalam hal berkaitan RUU 355. Maksudnya walaupun kelihatan harapan untuk dibentang dan dibahas apalah lagi diluluskan sebagai undang-undang berkebarangkalian kosong, tapi PAS terus bersemangat tinggi untuk membentangkannya. 

Ah, PAS masih lagi  mahu berkhayal.

Mengapa terus berkhayal kerana petunjuknya sudah jelas bahawa Kerajaan sudah menolaknya. 

Proses RUU itu mempunyai makna dan berkesan untuk dijadikan sebagai satu undang-undang hanya apabila Kerajaan yang akan membentangkannya. Itulah proses yang perlu dilalui oleh sesuatu RUU. Jadi apabila Kerajaan telah menolaknya maka ianya tidak akan ada harapan untuk dijadikan sebagai undang-undang. 

Sewajarnya, bagi saya, PAS menarik balik RUU itu dengan kenyataan bahawa parti itu amat kecewa dengan kegagalan kerajaan khususnya PM yang telah berjanji tetapi menarik balik janji untuk kerajaan membentangkan RUU itu. PM telah mungkir janji. 

Apa pandangan Islam , apabila buat janji tapi mungkir? Presiden PAS lebih mengetahui tentang ini.

PAS mempunyai kesungguhan yang tinggi bagi memperkasakan undang-undang syariah tetapi amat malang sekali Kerajaan telah menggagalkannya, khususnya PM yang tunduk kepada prinsip konsensus  parti BN.  

Saya ulang lagi PAS mesti menarik balik pembentangan RUU itu. Sekarang giliran PAS untuk memalukan UMNO.

Bukankah itu lebih baik dan mampu mempertahankan nama baik PAS dan kesungguhan PAS dalam memperkasakan undang-undang Islam. Dan UMNO pula dilihat sebagai parti yang tunduk dengan tekanan parti komponen yang lain.

Jadi penghalang sebenar ialah PM.

Sepatutnya PAS dari awalnya sudah sedar dan dapat membaca bahawa pembentangan RUU persendirian yang berkaitan dengan Islam khususnya RUU 355 tidak akan mendapat persetujuan dari kerajaan BN walaupun PM sudah berjanji untuk kerajaan membentangkannya. Mana mungkin UMNO/PM  sanggup meninggalkan parti komponen BN yang lain yang terlalu kuat menentang RUU ini  demi keuntungan politik PAS.

Siapa PAS dimata PM dan siapa  komponen BN dimata PM.

Bagi PM, PAS adalah terlalu penting dalam agenda untuk memecahbelahkan kekuatan pembangkang. Dan ia telah berjaya apabila PAS keluar dari PR yang akhirnya PR berkubur, dan PAS semakin mesra dengan UMNO. 

Hanya setakat itu sahaja pentingnya PAS kepada UMNO.

Ertinya kerjasama UMNO menyokong RUU355 tdak sampai ke tahap boleh meretakkan hubungan dengan parti-parti komponen BN yang lain yang dengan jelas tidak bersetuju dengan RUU355.

Oleh itu jika PAS masih lagi mahu terus membentangkan RUU 355, yang dijangka akan dilakukan pada Khamis depan, usaha itu tidak akan memberi apa-apa makna malahan amat memalu dan menyakitkan hati sahaja kerana ianya tidak akan dapat pergi lebih dari itu. Lebih baik {AS menarik balik RUU itu untuk mengesahkan bahawa UMNO tidak pernah mahu menyokong RUU 355. Biarlah rakyat beragama Islam tahu siapakah sebenarnya yang menjadi penghalang kepada RUU 355. 

Dan jika dalang yang dimaksudkan oleh Presiden PAS yang menghalang RUU 355 yang mahu dicari dan dikenalpasti , ianya sudah jelas tanpa ragu-ragu lagi, bahawa bukan dari kalangan ahli PAS melainkan presiden PAS masih lagi enak untuk berkhayal untuk terus bermesra dengan UMNO khususnya PM. 




Tiada ulasan:

Catat Ulasan