Theflowersellingboy

Jumaat, 7 April 2017

RUU 355: PAS Umpama Pak Kaduk, Menang Sorak Kampong Tergadai




Dua kali saya bicara isu berkaitan RUU 355. Dan ini kali yang ketiga.

Bicara pertama atas  tajuk RUU 355 Macam Cerita Lebai Malang. Kedua atas tajuk Siapa Dalang Yang Menghalang RUU 355. 

Kedua-dua paparan itu, saya salahkan UMNO yang mempermainkan PAS. Saya kata UMNO sebenarnya tidak mahu RUU ini dipinda dan dijadikan undang-undang dengan pindaan yang dicadangkan oleh PAS. 

Dengan mainan UMNO itu, PAS saya ibaratkan sebagai Lebai Malang. Berpecah dari PR sehingga PR terkubur; dan  ditipu oleh UMNO yang bersetuju mengambilalih RUU 355 tetapi buat pusingan 'U' dengan menyerahkan semula kepada PAS. UMNO telah mungkir janji.

Dengan PR pun, PAS berpecah, hilang kawan politik   dan dengan UMNO yang PAS menggantung harap untuk kejayaan RUU 355, PAS juga dipermainkan, sekejap sokong kemudian tarik diri dari bersetuju mengambilalih RUU itu. 

Sesungguhnya PAS adalah parti Lebai Malang.

Walaupun UMNO mungkir janji, kelihatan PAS tidak pula menyatakan rasa kecewa dan marah terhadap UMNO. Mesranya semakin menjadi.

Sikap PAS seperti ini berbeza terhadap PKR. PKR walaupun masih lagi menjadi rakan tahaluf, tidak akan terlepas dari hentaman PAS dalam hal-hal yang PAS tafsirkan PKR tidak menyebelahi PAS contohnya RUU 355.

Ianya sungguh menghairankan.

Tapi, peristiwa semalam, setelah RUU 355 yang dibentangkan oleh Marang (Presiden PAS) dan disokong oleh Kota Baru dan diputuskan oleh Speaker agar ditangguh ke sessi Parlimen akan datang untuk dibahaskan, rasa hairan saya mengapa PAS tidak kecewa dan marah atas mainan dan mungkir janji UMNO itu, telah bertukar kepada kata-kata, "Ohhh patutlah....".

PAS dan UMNO berpakat, sebenarnya. Tapi jika pakatan itu bertujuan bagi menjayakan RUU 355, saya amat menyokong kerana seperti  yang dihuraikan oleh Marang, RUU 355 mencadangkan antara lain mempertingkatkan had hukuman kesalahan yang dilakukan kerana had yang ada ketika ini terlalu rendah. Sudah amat terkebelakang (outdated) berbanding dengan undang-undang sivil.

Tetapi pakatan itu adalah pakatan untuk memenangi  politik. Kedua-dua pihak, PAS dan UMNO menggunakan isu RUU 355 bagi tujuan meraih sokongan orang Melayu Islam terutamanya UMNO. 

Jika UMNO jujur dan mahu memperkasakan RUU 355, tidak timbul soal menarik diri untuk mengambilalih tanggungjawab bagi menjayakan RUU 355.

Ya sekali lagi saya katakan UMNO dan PAS menggunakan RUU 355 untuk maksud politik. Dan jelas UMNO terlalu licik, dan PAS yang sentiasa menggunakan "Redha' Allah sebagai pendekatan politik sebagai jawapan kepada tewas dan menang dalam politik, menerima akibat dari kelicikan politik UMNO.  

Kedua-dua parti itu tahu tentang sentimen orang Melayu Islam terhadap bangsa dan agama. Ianya perlu diambil kesempatan semaksima yang mungkin walau dengan apa cara dan harga yang perlu dibayar. 

Bagi orang Melayu Islam, soal agama Islam adalah satu hal yang terlalu dekat dihati mereka walaupun sebahagian besar dari mereka tidak faham apa sebenarnya isu/kandungan RUU 355 . Apatah lagi pada awalnya PAS mengatakan mereka mahu melaksanakan hudud. Orang Melayu Islam, sebahagian besar tidak akan menentang hudud.

Malang sekali agama suci ini telah dipermainkan demi kepentingan politik PAS dan UMNO.

Tidak dinafikan bahawa PAS mahu melaksanakan hudud. Tetapi PAS juga sedar, ianya bukan satu perkara yang mudah bahkan tidak mungkin dapat dilakukan kerana ia melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan persetujuan 2/3 ahli dewan rakyat.  PAS tidak ada bilangan sebanyak itu sekarang ini. Jangkaan saya tidak juga pada masa akan datang.

Oleh itu PAS gunakan pindaan kepada Akta 355 sebagai satu jalan bagi memperkasakan undang-undang syariah. Dan PAS memulakan dengan mengatakan untuk melaksanakan hudud bagi mendapat sokongan padu dari orang Melayu, sedangkan RUU 355 bukan hudud seperti yang disahkan oleh PAS sendiri. 

RUU 355 ini, selain dari tujuan memberi tempat yang sewajarnya kepada hukum Islam , ianya bertujuan untuk meraih sokongan politik dari orang Melayu Islam. 

UMNO parti yang cukup berpengalaman dalam mainan politik. Lalu hasrat PAS untuk memperkasakan hukum Islam ini, yang pada awalnya diwar warkan oleh PAS sebagai Hudud, mendapat sokongan UMNO walaupun UMNO dan presiden UMNO yang juga Perdana Menteri secara terang-terang tidak bersetuju hudud dilaksanakan di negara ini. 

Tujuan UMNO sebenarnya untuk menimbulkan perbalahan antara PAS dengan DAP sekali gus PR. UMNO telah membuktikannya. 

PR terperangkap dengan mainan politik UMNO. Mungkin PAS juga terperangkap. 

Tapi PAS dibawah kepimpinan Haji Hadi lebih selesa untuk bersama UMNO berbanding dengan rakan-rakan dalam PR khususnya DAP.

Cuma ketika Tuan Guru Nik Aziz masih hidup, sikap bermesra dengan UMNO tidak mungkin berlaku. Apatah lagi Anwar Ibrahim masih lagi bebas.

Pemergian Tuan Guru Nik Aziz, secara kebetulan pada ketika yang sama dengan Anwar dipenjarakan, telah memberi ruang yang luas kepada Hj Hadi dan penyokongnya untuk lebih mendekati UMNO. 

Dan peluang bermesra itu semakin meningkat apabila ahli-ahli yang tidak bersetuju dengan Hj Hadi kalah dalam pemilihan jawatan dalam PAS yang mana sebahagian besar keluar parti dan ada yang dipecat. PAS pun berperanglah dengan DAP berkaitan dengan isu Hudud. Maka bercerailah mereka dalam PR sehingga PR terkubur.

Tahniah politik kepada UMNO yang berjaya memecahkan pakatan pembangkang dan memenangi hati PAS dengan berpura-pura menyokong RUU 355 yang PAS warwarkan sebagai Hudud.

Dan semalam telah mengesahkan bahawa  UMNO menggunakan RUU 355 untuk melemahkan pembangkang termasuk PAS.

RUU 355 ini walaupun PAS telah berjaya membentangkannya, yang akan dijadikan bahan politik meraih sokongan, ianya tidak akan kemana. Janji untuk dibahas pada sessi akan datang, adalah janji yang tidak ada makna. UMNO sudah ada kira-kira, PAS  akan kalah dalam PRU 14.

Saya menyimpulkan bahawa peristiwa semalam akan menjadikan PAS sebuah parti seperti Pak Kaduk, MENANG SORAK KAMPONG TERGADAI.

Ya, RUU 355 berjaya dibentangkan. Dan PAS boleh senyum dan berbangga. Tapi akhirnya RUU 355 itu tidak akan ke mana kerana UMNO lebih sayang kepada rakan-rakan komponen BN yang sedia ada berbanding dengan PAS yang hanya terlalu penting bagi UMNO bagi memecahbelahkan pembangkang.

Saya harap kesimpulan saya itu meleset.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan