Theflowersellingboy

Selasa, 25 April 2017

Cara Mengukur Kesejahteraan Hidup Rakyat. Perspektif Kerajaan Adalah Tidak Betul Dan Mengelirukan.



Rakyat kata kos sara hidup amat membebankan.

PM dan kerajaan kata kos sara hidup di Malaysia adalah terendah di kalangan negara ASEAN.

Pihak mana yang betul?

Benarkah kos sara hidup Malaysia lebih rendah berbanding negara ASEAN yang lain? 

PM berkata begitu. Beliau berdasarkan fakta kajian , bukan main semborono. 

Kecuali kita melakukan kajian kos sara hidup itu, dan mempunyai maklumat dan fakta, rasanya amat sulit untuk menidakkan kenyataan PM itu bahawa kos sara hidup kita adalah yang terendah di kalangan negara ASEAN yang lain.

Sebaliknya, rakyat yang menjalani kehidupan harian pula, yang menerima upah dan pendapatan mengatakan sebaliknya bahawa pendapatan mereka tidak lagi mampu untuk bersaing dengan harga barangan dan perkhidmatan yang kerap meningkat naik.

" Bawak wang 100 ringgit, tak ada makna sekarang ni", rungutan rakyat dimana-mana.

Itu rungutan mereka yang ada pekerjaan. Macam mana yang tiada kerja. Sudah tentu tiada kata-kata yang dapat dikeluarkan. TERLALU AMAT MARAH!

Rungutan rakyat itu ada asas, bukan suka-suka merungut.

Rakyat ada kes berdasarkan kehidupan yang dilalui. Dan kerajaan ada kes berdasarkan satu kajian. 

Waduh pening kepala dibuatnya. Siapakah yang berkata benar dan siapa yang berbohong? 

Untuk itu cuba kita lihat perspektif kerajaan dan perspektif rakyat. Adakah kerajaan dan rakyat melihat dari perspektif yang sama dalam isu kos sara hidup dan kesannya terhadap kehidupan rakyat. 

Jika menggunakan perspektif yang berbeza, perspektif pihak manakah yang relevan dan mempunyai asas yang betul dalam mengukur kesan kos sara hidup kepada kehidupan dan kesejahteraan rakyat.

Mungkin disitu boleh mencerahkan keadaan, memberi jawapan kepada isu kos dan kesannya kepada rakyat.

Saya lihat perspektif Kerajaan adalah perspektif perbandingan kos antara negara  menurut satu kajian. 

Sudah tentu kajian itu berdasarkan kepada fakta dan maklumat yang telah diuji kebergunaannya dalam mengemukakan dapatan dan rumusan. 

Jadi PM tidak salah dengan mengatakan apa yang ditemui oleh kajian itu. Ertinya PM tidak bercakap bohong.

Untuk lebih meyakinkan, cuba kita ambil contoh harga barangan dan perkhidmatan di Singapura. Harga rumah sama ada disewa atau dibeli adalah mahal berbanding dengan harga rumah/sewa bagi harta yang dalam taraf  yang sama. Harga sebiji telurpun lebih mahal berbanding dengan Malaysia.

Harga minyak kenderaan pun lebih mahal. Secara keselurahannya kos sara hidup Singapura lebih tinggi dari Malaysia. 

Kesimpulannya , rakyat kena terima bahawa kos sara hidup malaysia lebih rendah dari Singapura.

Tetapi rakyat tidak melihat cara begitu kerana ianya tidak membawa apa-apa makna. Yang menanggung beban ialah mereka bukan rakyat Singapura. 

Malah kos sara hidup Singapura yang tinggi itu memberi beban tambahan kepada rakyat Malaysia apabila rakyat Singapura   mengambil kesempatan untuk membeli belah dan memiliki harta seperti rumah di Malaysia yang lebih murah berbanding di negara itu.

Pendapatan rakyat Malaysia tidak mampu bersaing dengan kuasa beli rakyat Singapura.

Perspektif rakyat ialah tentang kuasa beli semasa berbanding dengan kuasa beli yang telah berlalu. Apa pun kos sara hidup di negara lain, tidak menjadi kebimbangan mereka. 

Yang penting bagi rakyat ialah mempunyai kemampuan kuasa beli semasa sekurang-kurang sama berbanding yang telah berlalu. Dan sudah tentu rakyat mengharapkan kuasa beli yang meningkat dari semasa ke semasa agar dapat menyaingi dan mengatasi kenaikan harga barang-barang dan perkhidmatan, bukan sebaliknya. 

Ertinya  pendapatan rakyat mestilah meningkat melebihi kadar kenaikan harga. Menyediakan peluang pekerjaan yang banyak dengan menawarkan upah dan pendapatan yang dapat menyaingi kenaikan kos sara hidup.

Realitinya ialah peluang pekerjaan terlalu sedikit berbanding rakyat yang tiada pekerjaan, ramai yang menganggur. Upah masih lagi rendah dan tidak menarik. Ini menyebabkan pekerja warga asing diambil bekerja kerana mereka sanggup bekerja dengan upah yang rendah misalnya menjadi pengawal keselamtan, atendan pam minyak dan pekerja kedai dan rumah makan.

Realitinya ialah penghapusan dan pengurangan subsidi bagi barang-barang dan perkhidmatan tertentu misalnya minyak kenderaan dan gula membuatkan harga sentiasa naik dari masa ke semasa sedangkan pendapatan masih pada tahap lama.

Realitinya ialah harga minyak kenderaan naik setiap kajian mingguan.

Realitinya ialah bahawa semua rakyat dikenakan GST tanpa kecuali. Rakyat berpendapatan kecil, yang tidak ada pendapatan dan yang terbeban dengan kos sara hidup yang sentiasa meningkat juga dikenakan GST.

Realitinya ialah rakyat terpaksa menanggung bukan saja beban hutang isi rumah yang semakin bertambah sehingga boleh mengancam keselamatan fizikal dan nyawa bahkan beban hutang negara yang dibuat oleh kerajaan yang terpakasa diwariskan kepada generasi akan datang. Amat malang sekali hutang negara yang bertambah itu adalah akibat dari perlaksanaan projek/perniagaan yang tidak langsung menjana keuntungan kepada negara dan seterusnya tidak menyumbang kepada pendapatan negara untuk disalurkan kepada program/projek yang memberi faedah kepada rakyat misalnya kes yang berkaitan dengan 1MDB.

Realitinya ialah bahawa agihan kekayaan negara telah tidak dilaksanakan menurut tadbir urus yang baik yang menyebabkan ketirisan, pembaziran dan rasuah. Rakyat menjadi mangsa.

Realitinya ialah bahawa berbagai kemudahan dan perkhidmatan yang dahulunya disedia dan diperuntukkan telah dikurang atau ditiadakan, dan kalau masih ada dikenakan bayaran yang lebih mahal. Peruntukan pendidikan termasuk bantuan kewangan seperti biasiswa dikurangkan. Begitu juga dengan peruntukan kesihatan.

Paling malang sekali  apabila kerajaan masih lagi meneruskan tadbir  urus yang sama , dan sentiasa dalam mood menafikan akan kelemahan-kelemahan yang telah berlaku dan mahu kekal melakukan perkara yang sama. Ini adalah realiti.

Realitinya ialah rakyat menanggung susah kerana kerajaan tidak mahu melihat kepentingan rakyat sebaliknya mencari jalan bagaimana rakyat boleh ditipu dan dikelirukan seperti dalam kes kos sara hidup ini. 

Soalnya: Mengapa perlu dibanding dengan kos sara hidup negara lain? Mengapa tidak juga ditonjolkan pendapatan dan peluang pekerjaan rakyat negara yang dibandingkan itu, dan taraf hidup rakyatnya? Mengapa tidak diambil seorang pemandu teksi Malaysia dan seorang pemandu teksi Singapura dan dibuat perbandingan dari segi kesejahteran hidupnya?

Soalnya: Mengapa kerajaan tidak mahu melihat beban yang ditanggung oleh rakyat yang ada dihadapan mata? Apa faedahnya kepada rakyat dengan mewarwarkan kos sara hidup negara lain lebih tinggi sedangkan kehidupan rakyat yang ada dihadapan mata amat menyedihkan?  

Untuk mengukur kesejahteraan hidup rakyat (taraf hidup) tidak wajar dengan cara membandingkan kos sara hidup antara negara. Itu perspektif yang salah dan mengelirukan. Apa yang perlu dan penting ialah dengan melihat realiti kehidupan rakyat itu sendiri. Dan realiti yang terserlah ketika ini ialah bahawa kehidupan sebahagian besar rakyat adalah tertekan dengan kos sara hidup yang tinggi walaupun kos itu lebih rendah dari negara lain. 

Realiti yang ada perlu diatasi dan diubah. Jika kerajaan tidak mahu berubah, rakyat wajar mengubah kerajaan. 



















Tiada ulasan:

Catat Ulasan