Theflowersellingboy

Selasa, 11 April 2017

Semangat Saja Tidak Cukup Jika Usia Sudah Lanjut




Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah, kesihatan yang sedikit terganggu beberapa hari lalu telah semakin pulih. 

Kesihatan amat perlu dijaga. Semua orang tahu. Tapi tidak semua orang memberi perhatian berat tentang kesihatan. 

Menjaga kesihatan tidak memerlukan kos yang mahal. Yang penting ialah kekuatan diri bagi menjauh dan mengelakkan hal-hal yang boleh menjejaskan kesihatan. Ini adalah satu disiplin hidup yang mudah diperkata tapi susah untuk dilaksana.

Misalnya dalam soal makanan. Ahli-ahli pemakanan sentiasa menasihatkan agar mengambil makanan secara seimbang dari segi kadar dan banyaknya sesuatu makanan itu yang perlu diambil. Tapi untuk melakukannya ia tidak semudah yang diperkatakan termasuklah ahli pemakanan itu sendiri.

Seorang doktor memberi tahu menghisap rokok amat bahaya kepada kesihatan penghisap dan orang lain yang berhampiran dengan penghisap rokok itu. Adakah doktor itu juga tidak menghisap rokok?

Tidak semestinya begitu. Doktor yang menasihatkan itu juga adalah penghisap rokok yang paling tegar.

Begitu juga yang telah berlaku kepada saya beberapa hari yang lepas.

Saya tahu dan sentiasa mengingatkan anak-anak dan cucu bahawa mendedahkan diri pada panas terik adalah tidak baik kepada kesihatan. Tapi nasihat ini boleh sahaja saya ke tepikan jika saya mempunyai keutamaan lain.

Sebagai contoh ialah keutamaan membersihkan kawasan rumah berbanding dengan kemampuan tenaga yang ada.

Dalam usia mendekati siri 7, sudah tentu tenaga yang ada tidak sama dengan semasa memegang siri 3 dan empat. Siri 7 ada bermacam-macam halangan dari segi kekuatan tenaga. Macam-macam penyakit yang tumbuh cambah...sakit kakilah, sakit tapak kakilah, sakit sendilah, dan macam-macam lagi yang boleh menjadikan tenaga jatuh merudum. Ini tidak temasuk penyakit darah tinggi,  jantung dan asthma.

Saya ada semua penyakit itu. Tapi penyakit itu tidak mampu mengalahkan kehendak mata saya yang mahu melihat persekitaran rumah yang cantik bersih dan indah. 

Disebabkan tapak kaki serta tumit yang sakit, kerja-kerja membersihkan dalam dan luaran rumah telah tidak mampu saya lakukan sepenuhnya. Sesekali saya mengemop kawasan dalaman rumah walaupun saya tahu selepas kerja itu saya akan mengalami sakit tapak kaki dan tumit yang amat menyiksakan sekali. 

Demi rumah dapat dibersihkan, terutamanya dari tahi-tahi cicak yang bertaburan, saya lupakan soal kesakitan pada kaki saya itu.
Tapi kerja luaran rumah saya tinggalkan begitu saja sudah hampir lebih 3 bulan.

Kerja-kerja luaran rumah antaranya ialah memesin rumput dan mencabut rumput di pasu-pasu bunga serta meracun rumput dan tumbuhan liar yang lain.

Oleh kerana telah 3 bulan tidak memesin rumput maka rumput tumbuh begitu tinggi seperti keadaan rumah yang tiada bertuan. Ini membuatkan mata saya menjadi kurang senang kerana ia memburukkan pemandangan, selain menjadi tempat nyamuk membiak dan bersarang.

Dengan demikian pada 3 hari yang lepas , hari Sabtu 8 April, saya telah ambil keputusan untuk membersihkan kawasan luar rumah dengan memberi keutamaan kepada memesin rumput.

Malang sekali, mesin rumput rosak. Mungkin telah lama tidak digunakan.

Tapi saya tidak mahu mensia-siakan mood kerja yang semarak pada hari itu. Saya mahu teruskan kerja.

Saya memilih untuk membersihkan longkang dan pasu bunga.

Sebahagian besar laluan air longkang penuh dengan sampah sarap dan dibibir longkang menjalar rumput-rumput. Ini membuatkan sampah sarap itu menjadi halangan kepada aliran air jika berlaku hujan, selain menyakitkan pandangan mata saya. Ianya perlu dibersihkan segera.

Saya mula dengan membersih longkang. Setelah suku bahagian panjang longkang itu saya bersihkan, saya beralih kepada mencabut rumput dalam satu pasu bunga. Saya melakukan ini bagi mengelakkan berpanas kerana disitu masih lagi terlindung dari panahan cahaya matahari.

Kurang lebih 10 minit, pandangan mata saya menjadi berpinar (blur). Tapi saya teruskan juga kerana tinggal sedikit sahaja rumput yang perlu dicabut.

Rupanya semangat semata-mata tanpa kudrat (tenaga), jika diteruskan kerja ada risikonya. Kepinaran mata saya semakin meningkat. Sesaat berjalan , pandangan menjadi ke arah bertambah tidak jelas. Saya menuju kepada pandangan yang bertambah gelap.

Saya segera buat keputusan sebelum penglihatan menjadi gelap. Nasib baik isteri sedang memasak didapur. Lalu saya memanggil namanya minta tolong. Tapi saya tidak mendapat respons yang segera darinya. Mungkin pendengarannya diganggu oleh bunyi tumis menumis masakannya. Namun alhamdullilah, dia dapat mendengar panggilan saya , lalu segera mendekati dan memapah saya yang kurang mampu untuk berjalan kerana mata semakin berpinar tapi belum gelap lagi.

Alhamdulillah saya mampu dibawa ke ruang dapur dan diberi sedikit air. Tapi mata masih lagi tidak mampu memberi penglihatan yang baik. 

Sebenarnya, ini bukan kali pertama. Ianya kali kedua. 

Semasa bderkhidmat, dihujung-hujung perkhidmatan saya pernah mengalami gelap mata dengan secara tiba-tiba, tanpa amaran dalam bentuk sakit kepala atau apa sahaja.

Waktu menuruni tangga setelah keluar dari bilik mesyuarat, tiba-tiba mata saya jadi gelap. Nasib baik  ada seorang kawan menuruni tanggan seiring dengan saya. Saya memberitahu kepadanya bahawa mata saya sudah jadi gelap. Maka dia bersama dengan kawan-kawan yang lain memimpin saya menuruni tangga menuju ke sebuah bilik. 

Kemudian saya diminta berbaring dan disapukan dengan minyak kayu putih (minyak cap kapak).

Mereka seterusnya menghubungi ambulans untuk menghantar saya ke sebuah Hospital Swasta. Dihospital saya menjalani pemeriksaan dan disahkan mengalami strok kecil. Dan pihak hospital juga menyatakan saya ada masalah jantung.

Berikutan dengan itu doktor menasihatkan saya menjalani rawatan sakit jantung. Saya menjalani angio plasty dan seterusnya pembedahan jantung terbuka.

Mesej yang saya hendak sampaikan ialah pada usia yang telah lanjut, walaupun mempunyai semangat yang kuat, semangat itu tidak mampu memulihkan tenaga dan stamina seperti masa usia muda. Saya tahu hal itu. Tapi seperti doktor yang menasihat agar jangan merokok sedangkan dia tahu merokok itu bahaya dari segi kesihatan, samalah dengan saya. Saya tahu saya sudah berusia lanjut, yang mempunyai berbagai penyakit tapi saya tidak memberi perhatian tentang itu kerana yang paling utama kepada saya ialah persekitaran yang bersiah , cantik dan sedap mata memandang.

Tapi, bukankah saya ada pilihan untuk melakukan kerja-kerja pembersihan iaitu dengan mengupah orang lain melakukannya? Ya, saya tahu. Tapi ianya ada satu cerita yang lain yang saya tidak mahu bicarakan disini. Bukan soal wang sangat tapi .....



Tiada ulasan:

Catat Ulasan