Theflowersellingboy

Jumaat, 28 April 2017

Tanpa GST Kerajaan Akan Tersungkur?




PM kata tanpa GST , Malaysia tersungkur. Hahahaha, sabar YAB, bertenang.

Ya, saya faham YAB diserang kiri kanan, depan  belakang, atas dan bawah. Sebab itu YAB sudah digangggu ketenangan sehingga mencetuskan kata-kata tidak takut Mahathir , Lim Kit Siang dan Rafizi. Lalu meminta geng-geng tukar strategi perang dari bertahan kepada menyerang.

Buatlah apa yang patut YAB. Tapi saya mahu berbicara sedikit.

Bahawa tiga personaliti yang tidak menjadi kegentaran YAB itu pada telekan saya sentiasa berada dalam otak kepala YAB. Selalu buat kacau. Sama ada waktu jaga dan waktu sedang tidur. Ada sahaja jelmaan mereka, paling kurang seorang dari mereka. 

Mengapa jadi begitu?

Saya tiada jawapan. YAB lebih tahu dari saya.

Namun begitu saya melihat bahawa negara kita dari sehari kesehari wajahnya tidak ceria. Maksud saya wajah rakyatnya tidak seceria sebelum YAB memegang tampok kuasa. Mengapa ya?

Tak mungkin rakyat kita semudah itu berubah mood dari ceria kepada tidak ceria. Mesti ada sebabnya.

Ya, saya pun hairan mengapa wajah rakyat jadi masam macam cuka sedangkan kerajaan telah dan sedang beri macam-macam bantuan, yang paling popular ialah BR1M. Meningkat pula.

Mereka ni tak tahu bersyukur gamaknya. Tapi takkan itu sebabnya kerana yang bermuka macam cuka itu terlalu ramai. Cuma tidaklah sampai berbillion seperti ukuran yang selalu digunakan dalam kes 1MDB. Rakyat kita hanya 30 million sahaja sedangkan wang yang hilang lesap, entah kemana terpaksa dikira gunakan billion.

Bercakap fasal 1MDB, sesungguhnya ianya satu berita yang baik apabila kerajaan mengistiharkan telah berjaya menyelesaikan saman yang dibuat oleh IPIC dari Abu Dhabi. Kalau tak silap menurut kiraan setengah pihak ianya melibatkan lebih 26 billion ringgit. Entah betul entahkan fitnah, tak tahu lah saya.

Apa pun saya yakin apa yang dinyatakan oleh kerajaan bahawa penyelesaian telah tercapai antar kerajaan dan IPIC. 

Tapi muka masam rakyat masih lagi macam cuka. Jangan harap nak mengukir satu senyuman manis kepada kerajaan sambil mengucapkan terima kasih. Ini membuatkan saya berasa tambah hairan. Lalu  saya bertanya melalui media sosial, untuk mendapatkan jawapan mengapa rakyat masih bermasam muka.

Apa jawapan yang saya terima? Cuba teka.

Poooodaaah! 

Itu jawapan yang paling popular. Saya tidak tahu maksud podah itu dengan tepat. Tapi saya boleh agaklah ianya bermaksud  'jangan nak kelentong, rakyat bukan bodoh'.

Eheh dia orang ni. Itu pula yang dijawab. Tak patut sungguh dia orang ni. Dapat selesai kes dengan IPIC pun rakyat kata podah.

Ya, rakyat yang kata podah tu bertanya pada saya: Mana mahu ambil wang mahu bayar itu wang pada IPIC?

Nasib baik kerajaan beritahu bahawa kerajaan tidak terlibat untuk buat bayaran. 1MDB yang buat bayaran dari wang/unit pelaburan sendiri.

Lega saya dengan jawapan kerajaan itu. Lalu segera saya beritahu pada rakyat yang bermuka masam macam cuka itu. 

Waduh, saya kena. Bukan sebijik tapi banyak bijik.  

1MDB mana ada wang lagi. Semua sudah kaput. Kena telan oleh JL.

Siapa pula si JL ni, saya tanya pada diri sendiri. Oh John Lenon kot, penyanyi kumpulan Beatle yang famous pada zaman 60an dulu. Ah , tak kisahlah. Siapapun JL itu, yang mereka nak beritahu bahawa wang 1MDB telah kena telan oleh JL. 

Bijik seterusnya yang kena pada batang hidung saya ialah rakyat yang masam muka itu tanya: Apa jadi dengan wang 3.5 billion , saya lupa USD ker atau RM, yang masuk akaun BVI.

Saya jadi pening. Apa pula BVI ni. Yang saya tahu ada anak syarikat IPIC, tapi lupa pula namanya,  wang sebanyak itu dibayar oleh 1MDB. Takkanlah wang dibayar pada pihak yang tidak sepatutnya menerima. Itu sudah tidak betul.

Saya tidak boleh jawab dan diam saja.

Tapi rakyat yang masam muka ini segera memberitahu saya bahawa kalau saya nak tahu, tanya si Rafizi. 

Dia boleh terangkan satu persatu, kata orang dari A sampai Z. Dia boleh beritahu perjalanan wang yang berkaitan 1MDB iaitu sumber wang itu, maksudnya dari mana wang itu berasal, perjalanan dan tempat persinggahan sementara (transit) dan berakhir dimana.

Wah, hebat betul si Rafizi ni. Patutlah PM mahu bersaing kehebatan dengan beliau dengan meminta geng-geng tukar strategi dari bertahan kepada menyerang. Mana boleh menyerlah kehebatan jika asyik bertahan saja.

Sekarang saya sudah faham mengapa PM tidak gentar dengan Rafizi. Sekarang saya juga boleh berkata dengan penuh yakin bahawa telekan saya diatas tepat sekali iaitu wajah si Rafizi ini sentiasa terbayang-terbayang diwaktu siang (waktu PM tak tidur)   dan menjelma waktu malam (PM sedang tidur) buat kacau, bukannya menyenang dan menenangkan fikiran PM.

Fahamlah saya mengapa PM marah sangat pada si Rafizi ni.

Macam mana tak marah, Rafizi, Kit Siang dan Mahathir kata GST akan dihapuskan jika PH menang sedangkan PM kata tanpa GST Malaysia akan tersungkur. Takkan lah PM dan kerajaannya mahu tersungkur. Maksud saya, kalah PRU 14.

Betul juga jalan pemikiran PM tu.

Tapi rakyat terus bermasam muka macam cuka. Apa yang rakyat mahu?

Kerajaan tersungkur? 

Rakyat sendirilah yang jawab.



      

Tiada ulasan:

Catat Ulasan