Theflowersellingboy

Rabu, 12 April 2017

RUU 355: Kesan Sebelum dan Selepas Pembentangan




Sebelum saya mencatatkan  kesan yang saya dapati hasil dari RUU 355, iaitu sebelum dan selepas pembentangan, saya ingin mengucapkan tahniah kepada kelicikan UMNO dalam mainan politik tanah air. 

Dan dalam masa yang sama saya ingin menyatakan perasaan yang bercampur diantara suka dan kecewa kepada PAS kerana telah berjaya setelah dua kali  pembentangan yang ditangguhkan, membentang buat kali ketiga, menghuraikan isi kandungan serta menyokong RUU itu dengan bersedia mengurbankan kesegeraan RUU itu menjadi undang-undang apabila tidak membantah keputusan speaker menangguhkan perbahasan.

Saya juga amat bersimpati kepada PH yang telah dinafikan peluang untuk menyatakan pendirian tentang RUU 355 setelah diserang dan didakwa sebagai pihak yang tidak bersetuju dan menghalang perlaksanaan memperkasakan undang-undang syariah. 

Penangguhan perbahasan RUU itu, setelah dibentang, dihurai dan disokong, ke persidangan parlimen yang akan datang sudah tentu tidak adil kepada PH, dan ianya bukan satu amalan demokrasi yang sihat.

"Kamu adalah penghalang RUU 355. Sekarang kamu dengar huraian apa itu RUU 355. Dan mengapa ianya perlu disokong".

Saya menyusun ayat-ayat diatas seoalah-olah  ditujukan kepada PH oleh PAS bagi menggambarkan situasi yang telah berlaku dan terus berlaku.

PH hanya mampu melihat gaya dan cara pembentangan , mendengar huraian dan sokongan. Tapi tidak diberi peluang untuk menyatakan pendirian mereka sebagai respons kepada apa yang dihurai dan disokong oleh PAS.

Sudah tentu ianya tidak adil kepada PAS jika PH membantah pembentangan RUU ini. Sama juga halnya, ianya tidak adil kepada PH apabila hak berbahas ditangguhkan pada sessi yang sama. 

Melainkan PAS membantah keputusan penangguhan speaker itu, PAS tidak boleh berlepas dari menerima tanggungjawab bersama dengan speaker bagi melengah-lengahkan kelulusan pindaan yang dicadangkan.

Dimanakah letaknya keutamaan PAS dalam melaksanakan cadangan pindaan RUU 355 itu? Sudah tentu boleh ditafsirkan sebagai dibawah dari kepentingan politik yang mengatasi kepentingan syariah.  

Jangan lupa, PAS adalah parti politik. Dan Islam adalah perjuangan parti PAS. Tetapi Islam bukan hak ekslusif dan monopoli parti PAS. Islam dan PAS itu tidak sama. Ramai orang keliru dan dikelirukan.

Sama juga dengan UMNO. UMNO adalah parti politik. Dan UMNO memperjuangkan kepentingan Melayu. Tetapi memperjuangkan kepentingan orang Melayu bukanlah hak ekslusif dan monopoli UMNO.

Sama juga dengan parti-parti politik yang lain. Matlamat politik mengatasi matlamat yang lain.

Bahawa ada kepentingan politik dalam setiap geraktindak yang dilakukan. 

Oleh itu jangan salahkan pihak lain yang mentafsirkan bahawa PAS mengambil kesempatan yang tinggi bagi kepentingan politik melalui penonjolan keghairahan perlaksanaan undang-undang syariah sehingga sanggup memberi lebel yang tidak wajar kepada pihak yang mempunyai pandangan yang berbeza tentang RUU 355.
  
Akhirnya saya mahu mencatatkan secara ringkas kesan RUU 355 ini sebelum dan selepas pembentangan tanpa bahas seperti berikut:

Sebelum Pembentangan

1. Perpecahan PR akibat dari perbezaan diantara PAS dengan PKR dan DAP tentang cara bagaimana untuk mengurus RUU 355 yang pada asalnya telah diwar warkan oleh PAS sebagai hukum hudud. 
2. Permusuhan yang semakin meningkat diantara PAS dan DAP walaupun ahli-ahli PAS masih lagi berada dalam barisan kerajaan Negeri Selangor dibawah pimpinan PKR.
3. Suara-suara dari ahli PAS yang mahu berpisah tahaluf politik dengan PKR.
4. Penonjolan hubungan mesra PAS dan kepimpinan tertinggi dengan parti UMNO.
5. Persetujuan UMNO untuk bersama dan menyokong PAS dalam RUU 355. UMNO bersetuju kerajaan mengambilalih RUU 355.
6. UMNO memungkiri janji dengan menyatakan tidak akan mengambilalih RUU 355 atas sebab tentangan dari parti komponen BN yang dibuat secara konsensus. Tapi PAS diberi peluang untuk membawa RUU 355 atas budibicara speaker dewan rakyat.
7.  PAS tidak menyatakan rasa kesal keputusan UMNO yang mungkir janji sebaliknya menerima seadanya dan akan mengambil tanggungjawab untuk membentangkan RUU 355. Sikap ini amat menghairankan kerana bukti-bukti yang ada tidak menunjukkan PAS bertolak ansur dengan pihak yang mungkir janji.
8. UMNO memberikan sokongan kuat kepada PAS walaupun tanggungjawab diserahkan kembali kepada PAS  seperti yang ditunjukkan dalam satu perhimpunan bagi menyokong RUU 355 di Padang Merbuk. 
9. Parti-parti politik yang mempunyai pandangan yang berbeza terhadap RUU 355 di dakwa sebagi penentang RUU itu dan dianggap anti Islam dan anti Melayu. Parti DAP diletakkan di senarai paling atas sebagai yang anti RUU dan anti Islam Melayu.
10. Orang perseorangan dan kumpulan-kumpulan yang mempunyai pandangan yang berbeza tentang RUU 355 juga menerima serangan PAS dengan antara lain menganggap mereka sebagai murtad dan menjadi kafir, jika pihak berkenaan beragama Islam.

Selepas pembentangan 

1. UMNO mendakwa pembentangan yang ditangguhkan perbahasan ini adalah sebagai bukti parti itu menyokong perlaksanaan undang-undang Islam seperti yang dicadangakan.
2. PAS berpuashati dan gembira kerana telah dapat membentang , menghurai dan menyokong RUU 355 itu walaupun mengurbankan kesegeraan untuk menjadi undang-undang akibat dari perbahasan yang ditangguhkan.
3. PAS terus berkempen menyatakan parti itu telah menjalankan tanggungjawab bagi memperkasakan undang-undang syariah, dan dalam masa yang sama berterusan menyalahkan parti-parti lawan khususnya DAP yang dilabelkan sebagai 'parti butiran tahi PAP' (parti politik yang memerintah Singapura) sebagai terus menghalang dan menentang RUU 355 sekaligus sebagai anti Islam dan Melayu.
4. Oleh kerana dinafikan hak untuk berbahas akibat dari penangguhan yang diputuskan oleh speaker, PH telah mengadakan secara simbolik persidangan ala dewan rakyat bagi membahaskan RUU 355 yang dibentang dan disokong oleh PAS. Jelas bahawa kepad PH memperkasakan undan-undang syariah tidak terbatas kepada peningkatan hukuman. Ianya lebih dari itu iaitu yang bersifat holistik dengan melihat bukan sahaja hukuman tapi juga dari segi keberkesanan perlaksanaan yang memerlukan penelitian dari aspek struktur organisasi, penggajian, taraf kepegawaian, bilangan yang memerlukan penubuhan satu jawatankuasa teknikal bagi membincangkannya.

PH tidak menentang rupanya. Tidak seperti dakwaan PAS dan UMNO. PH tidak bersetuju RUU 355 seperti yang dibentang oleh PAS tetapi tidak menentang pemerkasaan hukum syariah bahkan mahu melengkap dan memperkemaskan cadangan PAS itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan