Theflowersellingboy

Khamis, 13 April 2017

Membina Tiang Perpaduan




Salam dan selamat pagi semua. Di tempat saya pada waktu ini, menghampri 12 tengah hari, langit mendung. Pagi tadi, disekitar 3 pagi hujan turun, tidaklah lebat sangat tapi sudah cukup membasahi bumi. Mungkin langit yang mendung ketika ini akan menurunkan hujan ditengah hari nanti.

Ku sangka panas hingga ke petang , rupanya hujan di tengah hari? Belum tentu lagi. 

Oleh itu jangan dibuang air dalam tempayan kerana mengharapkan hujan yang belum tentu turun walau langit nampaknya mendung.

Wah , saya berperibahasa pula. Tapi tiada kena mengena dengan apa yang saya mahu bicara pada hari ini. 

Peribahasa itu cuma sebagai penyedap telinga bagi memula buka  bicara. Harap-harap mata anda yang mengantuk, mula menjadi segar untuk terus membaca bicara saya.

Baik. 

Perkembangan negara kita dalam beberapa tahun ini sehinggalah ke masa ini , bagi saya amat membimbangkan sekali. Tiang yang menjadi asas kekuatan dalam pembinaan sebuah negara bangsa kelihatan semakin rapuh menuju kemusnahan. 

Maaf saya gunakan perkataan 'kemusnahan' yang saya rasa amat melampau. Tetapi ianya satu curahan rasa kebimbangan saya bahawa jika ianya tidak ditangani dengan baik dan bijaksana, kemusnahan itu boleh menjadi  satu kenyataan, satu keadaan yang amat menakutkan.

Apa guna kalau negara menjadi musnah.

Saya cakap tentang PERPADUAN. Perpaduan dikalangan kita rakyat Malaysia yang mempunyai berbagai latarbelakang ketika ini tidak menuju ke arah pembinaan satu kesatuan bangsa yang diharapkan. Amat membimbangkan.

Tiang kekuatan negara kita ialah perpaduan dikalangan kita yang berbeza latarbelakang. Kelihatan ianya tidak menuju kearah pengukuhan sebaliknya semakin hari garis-garis rekahan bertambah dan bercambah, dan jika berterusan akan menjadi retak untuk terbelah.

Mengapa boleh jadi begini setelah kita berusia lebih 60 tahun bernegara sendiri?

Masing-masing dari kita ada jawapan, dan mungkin ada yang tidak ambil kisah untuk memikirkan hal-hal berkaitan dengan pembinaan sebuah negara bangsa.

Saya ambil kisah. Dan saya percaya sebahagian besar dari kita ambil kisah.

Tapi mengapa kita kelihatan seolah-olah membiarkan, bahkan menambahkan lagi garis-garis rekahan yang memusnahkan itu?

Apa itu garis rekahan?

Garis rekahan adalah garis yang mengasing dan membuat pemisahan dalam satu kesatuan. 

Sebelum bernegara sendiri, kita adalah rekahan-rekahan tersebut berlatarbelakangkan perbezaan bangsa, agama dan taraf sosial, antara lain.

Setelah bernegara sendiri, kita mahu membentuk satu kesatuan dengan tekad merapatkan rekahan-rekahan itu agar menjadi kesatuan yang jitu dan kental.

Lalu kita bina kesatuan itu dibawah kerangka Perlembagaan Persekutuan.

Pada peringkat awal, tidak ada masalah besar yang timbul dalam membina kesatuan itu. Saya berpendapat ini adalah disebabkan masing-masing dari kita yang berbeza latarbelakang masih lagi segar dengan sikap saling menghargai akan pengorbanan dan sumbangan masing-masing kepada negara.

Namun perjalanan kita ke hadapan masih lagi dalam cara yang sama seperti sebelum merdeka. Kita berjalan bersendirian dan bukan sebagai satu kesatuan. Masing -masing dengan kesombongan sendiri dan terus dibentuk dan diperkukuhkan dengan struktur politik berasaskan kaum.

Akibatnya amat tragis sekali dengan berlakunya pergaduhan kaum 13 Mei 1969.

AGIHAN KEKAYAAN NEGARA YANG TIDAK ADIL

Kita ada masalah agihan kekayaan yang tidak seimbang antara kaum. Oleh itu Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan, bertujuan untuk menyususn semula masyarakat dan membasmi kemiskinan. 

DEB adalah satu dasar yang baik dan telah menghasilkan banyak kejayaan tetapi masih banyak kelemahan diperingkat perlaksanaan.
  
Berlaku salah tafsiran atau tanggapan dipihak rakyat dan pelaksana. Ini membuatkan DEB yang baik menjadi tergelincir sasaran sebenar dan disalahgunakan. 

DEB sebenarnya untuk menyusun semula masyarakat malaysia yang terdiri dari berbagai latarbelakang. Ianya bukan dasar untuk orang melayu dan bumiputera sahaja. 

Cuma orang melayu dan bumiputera  diberi penekanan bagi meningkatkan sosio-ekonomi  kerana sebahagian besar dari mereka berada pada tahap yang tidak mampu bersaing secara relatifnya dengan orang cina dan india. Tetapi ia tidak bermakna tidak ada orang cina dan india yang miskin yang juga perlu diberi tumpuan.

Maka perlaksanaan yang tergelincir dari yang dihasratkan oleh DEB telah membuka ruang rasa tidak puas hati dikalangan bukan Melayu terutama mereka yang juga susah dan miskin. 

Keadaan terus menjadi kacau apabila politik atas dasar memperjuangkan nasib kaum, demi undi, dengan menyemarakkan rasa tidak puas hati akan DEB yang dikatakan sebagai dasar menganaktirikan kaum bukan melayu. 

Rekahan yang baru mahu dirapatkan selepas peristiwa 13 Mei, mula mengambil tempat, menjadi ancaman kepada pembinaan kesatuan sebuah negara bangsa.

Paling malang sekali ialah kegelinciran oleh pemerintah sendiri dalam menuju sasaran DEB bagi menghapuskan kemiskinan dikalangan orang melayu dan bumiputera.

DEB telah disalahgunakan. 

Kekayaan negara yang sepatutnya diagihkan kepada melayu dan bumiputera yang miskin melalui DEB, telah dijadikan alat untuk memperkayakan sebahagian kecil elit melayu dan bumiputera yang dekat dan mempunyai hubungan politik dengan parti pemerintah. Ini menimbulkan rasa tidak puas hati dari kalangan melayu yang layak tetapi dipinggirkan.  

Berlaku satu lagi rekahan. Kali ini dikalangan sesama melayu yang berbeza dari segi tahap sosio-ekonomi. 

Malang sekali, dasar keutamaan kepada kelompok melayu yang kecil ini masih lagi berterusan sehingga kini, berjalan sama dengan dasar mengutamakan kroni tanpa kira latarbelakang kaum asalkan mereka itu mesra dan dekat dengan yang berkuasa.

Apa yang telah berlaku dan sedang berlaku ialah agihan kekayaan ekonomi yang tidak adil. Ini melebarkan jurang tahap sosio-ekonomi bukan sahaja diantara kaum bahkan juga dalam kaum yang sama.

Agihan kekayaan negara yang adil adalah satu daripada syarat yang mesti ada atau bahan yang penting dalam membina tiang yang kukuh bagi pembinaan negara bangsa. Pembinaan negara bangsa hanya boleh berlaku jika PERPADUAN kita yang berbagai latarbelakang dapat ditegakkan.

Agihan kekayaan yang adil itu boleh berlaku jika mereka yang diberi amanah dalam menguruskan kekayaan negara dapat melakukanya dengan penuh tanggungjawab berteraskan kepada ketelusan dan akauntabiliti.

Tanpa ketelusan dan keterbukaan serta akauntabiliti, ianya memberi ruang seluas-luasnya kepada salah guna kuasa, rasuah dan penyelewengan. 

Anda nilai sendiri ditahap mana negara kita berada dengan menterjemahkan kata-kata negara luar bahawa negara kita adalah sebuah negara kleptokrat.

Ianya sungguh hina dan memalukan. Dan kita pula tidak ambil peduli tentang gelaran yang diberikan itu dengan bertindak mempertahankan nama baik kita. Apakah sikap kita itu memberi isyarat bahawa kita bersetuju dengan nama yang diberikan itu.

Agihan kekayaan negara yang adil adalah amat penting untuk membina tiang perpaduan. 

Dan banyak lagi aspek lain yang perlu diberi perhatian misalnya sistem pendidikan yang ketika ini tidak mungkin boleh  membawa semua kita dari latarbelakang yang berbeza untuk dengan bangga menyatakan saya orang Malaysia dalam satu bahasa dan suara yang sama. 

TIDAK MUNGKIN selagi kita berkekalan dengan sistem pengasingan  sejak dari kecil lagi di bawah bumbung sekolah aliran yang berbeza.

Orang politik, apa pun latarbelakang mesti mempunyai keberanian politik untuk merubah dan menggantikan dasar pengasingan ini kepada dasar penyatuan. Ianya amat berat kerana politik kita adalah politik berdasarkan perjuangan demi kepentingan kaum dan bukan perpaduan negara. 

Kalau itu yang terus menjadi asas perjuangan politik usahlah cakap fasal perpaduan, usahlah cakap fasal BANGSA MALAYSIA. Sebab kita tidak bersama membina tiang perpaduan sebaliknya masih dengan kesombongan demi undi yang kita mahu raih dari kaum sendiri.

Apa pun saya harap tidak begitu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan