Theflowersellingboy

Selasa, 2 Ogos 2016

Nasihat Dari Seorang Kawan: Jangan Gatal Gatal Tangan.




Menerima satu kiriman mesej dari seorang kawan. Beliau ingatkan, 
 
"Jangan gatal-gatal tangan tulis ikut hati nurani  dan timbangan fikiran atas nama kebenaran bagi menegakkan yang makruf dan menghalang serta mencegah yang mungkar. 
 
Selagi yang diperkatakan itu ada kaitan dengan pemerintah, lebih baik buat diam, jangan ambil kisah. Melainkan kau nak masuk penjara, nasihat ini kau ketepikan".

Begitulah antara lain nasihat yang diterima. Nasihatnya amat panjang sekali dengan memberi sebab-sebab mengapa saya jangan gatal-gatal tangan.

Saya faham. Saya pun maklum akan keadaan sekarang ini. Mana mungkin mentimun boleh melawan durian. Digolek hancur, menggolek pun lebur.

Ya, mengapa saya perlu ambil kisah tentang hal ehwal negara. Siapa saya? Hanya warga biasa. Saya bukan  ahli politik. 
 
Biarlah orang politik yang sentiasa mahu berebut kuasa itu yang ambil kisah. Kalau ada yang kena masuk jel, berbaloi juga kerana 'stake'nya tinggi iaitu ada kuasa yang hendak direbut.
 
Apa yang saya dapat kalau saya gatal-gatal tangan tulis fasal amanah dan salah guna kuasa? Dapat jel saja.
 
Apa pula yang saya dapat jika saya mendiamkan diri bila saya tahu ada pihak yang diberi amanah telah pecah amanah? 
 
Sudah tentu saya bebas tak masuk dalam jel. Bukankah ini pilihan yang paling baik.
 
Betul juga nasihat kawan saya itu. Lebih baik duduk diam, ontok-ontok saja.
 
Tidak mengapa dalam hati rasa sakit yang membengkak. Biarlah denyutan jantung semakin cepat. Biarlah kemarahan itu dipendam saja.  Asalkan segala-galanya tidak diminta tangan untuk menulisnya.
 
Kena strok? Itu sudah ditakdirkan.
 
Saya kena terima realiti. Bukan merealisasikan satu ideal bagi sebuah negara yang menjadi idaman setiap warga negaranya. 
 
Lupakan ideal itu. Lagipun tiada sebuah negara di dunia ini yang mampu mencapai tahap yang ideal. Ada saja kelemahan dan kekurangan. 
 
Penyebab utamanya ialah persaingan untuk merebut kuasa dan terus mahu mengekalkan kuasa walau apa pun keadaan sekalipun. Masing-masing apabila ada kuasa dan berkuasa mempunyai kebebasan untuk memberi tafsiran kepada tindakan yang mereka lakukan termasuklah memberi makna dan liputan kepada perkataan dan istilah yang digunakan.
 
Misalnya apa yang boleh dimasukkan sebagai 'yang merosakkan nama baik dan keselamatan negara'?
 
Apa saja boleh dimasukkan meliputi keadaan diatas. Yang hitam boleh menjadi putih.
 
Ianya bukan satu perkara yang pelik. Ada saja penyokong jika hitam iu dikatakan putih. 
 
Ertinya jika ada kain berwarna hitam dan ada pula yang mengesahkan bahawa kain itu berwarna hitam, jangan hairan jika ada pihak lain pula mengatakan kain hitam itu putih. Dan jangan jadi bingong bila mendapati  bilangan yang menyokong hitam itu putih mengatasi mereka yang mengatakan hitam itu hitam. .

Itulah sebabnya, jika anda mahu dikenakan, walaupun apa yang anda kata itu sesuatu yang benar, tindakan anda itu boleh saja sewenang-wenangnya ditafsirkan sebagai boleh merosak dan meletakkan negara dalam keadaan bahaya.

Itulah nasihat akhir kawan saya itu. Dan saya percaya.
 
Oleh itu saya tidak lagi ada nafsu untuk terus menulis. Kalaupun mahu gatal-gatal tangan saya hanya  menggatal tangan menulis cerita-cerita kartun dan berbagai dongengan seolah-olah saya berada dalam alam fantasi.
 
 
  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan