Theflowersellingboy

Jumaat, 12 Ogos 2016

Malaysia Is Going Dowbhilll, kata Tun Musa bekas TPM. Malaysia Menjunam Ke Dalam Gaung, kata Saya.




Malaysia is going downhill, kata Tun Musa Hitam bekas TPM.
 
Saya menyifatkan 'downhill' itu sebagai gaung. Jadi secara kasar saya terjemahkan kata-kata Tun Musa itu sebagai, 'Malaysia sedang menjunam ke dalam gaung'.

Malaysia ke arah menjadi sebuah negara yang gagal ( A Failed State). Itu yang Tun Musa simpulkan.

Kenyataan ini amat berat dan serious sekali. Perdana Menteri DS Najib sepatutnya tidak berlengah untuk memberi respons. 
 
Kenyataan Malaysia sebuah negara yang gagal bukan perkara baru. Ianya telah diucapkan oleh YB Lim Kit Siang (DAP). 
 
Memang benar, DS Najib pernah menafikan kenyataan dari YB Lim Kit Siang itu, dengan mengatakan Malaysia bukan sebuah negara yang gagal.

Biasanya kenyataan dari pembangkang walaupun ada asas yang kukuh, mudah saja dinafikan oleh kerajaan, dan sebahagian besar rakyat percaya dan memihak kepada kerajaan.
 
Sama juga dalam kes 1MDB yang telah di tegur oleh mantan Ketua Pembangkang DS Anwar Ibrahim. Kerajaan menafikannya dengan mengatakan 1MDB masih sihat walafiat, jangan risau.
 
Apabila Tun Mahathir (mantan PM 22 tahun dari kerajaan parti yang sama)  dalam beberapa tahun kemudiannya mencelah dengan mengkritik 1MDB, kerajaan sedikit terganggu dengan kritikan itu. Tapi masih lagi menafikan kelemahan 1MDB.
 
Sebelum Tun Mahathir mencelah,    YB Rafizi (PKR) dan YB Tony Phua (DAP), sebagai meneruskan apa yang telah dibangkitkan oleh DS Anwar (Anwar berada dalam penjara) telah dengan rancak membangkitkan ketempangan dan kecelaruan dalam urustadbir 1MDB, tapi kerajaan macam biasa tidak ambil kisah dan meremehkannya malah mempertahankan kesihatan 1MDB yang tenat itu. (Rujuk kepada pendedahan DoJ Amerika Serikat baru-baru ini).

Oleh itu adalah menjadi satu kebiasaan bahawa setiap yang datang dari pembangkang terus dinafikan kebenarannya tanpa mahu melihat fakta dan asas-asas yang dikemukakan dalam sesuatu teguran dan kritikan.

Bagaimana pula dengan kenyataan yang berat dari Tun Musa? (mantan TPM dari pimpinan kerajaan parti yang sama). Masih  tidak mahu respons atau respons dengan penafian?

Kita tunggu. Tapi jangan lama-lama. Jangan tunggu lama-lama nanti kerajaan dikebas orang!

Simptom sebuah negara yang akan menjunam ke dalam gaung susah untuk disembunyikan.

Simptom awal ialah sindrom penafian, terutama sekali jika datangnya dari kritikan dan teguran pembangkang.

Nampaknya penafian bukan satu kekecualian, ianya satu perkara biasa atau 'normal' dalam sistem operasi kerajaan ketika ini. Sebab itulah Tun Musa amat risau dan takut dengan "so many normals".

Pembunuhan dan gejala jenayah yang berlaku dihadapan mata , sudah menjadi satu perkara biasa ketika ini. Sudah normal. Rasuah dan pengubahan wang haram, penyelewangan dan pecah amanah adalah juga sudah jadi perkara biasa. Kesempitan hidup rakyat akibat kenaikan kos sara hidup adalah dipandang sebagai perkara biasa, sesuatu yang normal.
 
Maka jika rakyat mengadu kepada kepimpinan kerajaan atau kepimpinan kerajaan mendapat maklumat tentang rakyat yang terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi, respons yang diterima biasanya menunjukkan sikap yang tidak serious dari kepimpinan kerajaan itu. 
 
Antara respons yang selalu diberikan ialah i) jika harga ayam naik, tukar kepada daging, ii) jika harga tol naik, jangan guna jalan bertol, iii) jika sayur kobis naik, tukar makan kangkong.
 
Adakah itu satu jalan penyelesaian?
 
Respons seperti itu adalah satu refleksi kepada sikap pimpinan kerajaan yang tidak serious dan ambil berat tentang keperitan hidup rakyat. 'Biasalah', (normal) adalah kata-kata yang mengiringi setiap respons bagi sesuatu masalah yang dihadapi rakyat. Ertinya rakyat kena terima kos kenaikan harga. 
 
Lihat begitu mudah kerajaan menguruskan ekonomi sebuah negara.  Kesusahan yang dibangkitkan oleh rakyat itu dianggap sebagai perkara biasa saja. 
 
Jika mereka serious sudah tentu mereka tidak memberi respons seperti itu tapi mencari jalan agar kos ayam dan tol yang tinggi itu tidak akan menambah beban kepada rakyat. 
 
Kalau begini caranya bagaimana boleh dielakkan negara dari menjunam ke dalam gaung.
 
Saya simpulkan bahawa sekiranya kerajaan meneruskan sidrom penafian sebagai sistem operasinya dan tidak mahu ambil peduli akan segala teguran dan kritikan atas kepincangan tadbir urus sehingga membebankan rakyat dan merugikan negara serta melihat kepincangan itu sebagai sesuatu yang biasa atau terlalu banyak yang 'normals' seperti yang dituturkan oleh Tun Musa, destinasi kita adalah ke arah negara yang gagal bukan negara maju berpendapatan tinggi.
 
Kata Tun Musa negara kita akan menjadi seperti negara Filipina pada satu ketika dulu. Amat menakutkan.
 
Apabila ini menjadi realiti, ianya sudah terlambat bagi rakyat menyalahkan kerajaan. Kerana rakyatlah yang sebenarnya mempertahankan kerajaan yang ada ini terus beroperasi dengan lagak gaya penafian, sombong dan tidak ambil peduli tentang kerosakan yang dilakukan  sehingga merugikan negara dan membebankan kehidupan rakyat.

Waktu itu kita sudah masuk gaung! Tidak mudah untuk keluar dari gaung yang dalam. Lagipun kita jatuh menjunam seperti MH 370 yang sehingga kini tidak tahu dimana kuburnya.
 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan