Theflowersellingboy

Isnin, 15 Ogos 2016

Menghapuskan Rasuah: Mari Kita Sama Berdoa Agar SPRM Menjadi Sebuah Badan Bebas.


 
 
Dilaporkan oleh beberapa portal berita bahawa Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru akan memberi fokus keatas perkhidmatan awam untuk mewujudkan perkhidmatan awam yang bersih dari perlakuan rasuah.
 
"Kalau sudah rasa panas, datanglah", adalah antara kata-kata yang dikeluarkan oleh beliau sebagai diantara pendekatannya melawan rasuah. Saya tafsirkan kata-kata itu lebih ditujukan kepada penjawat awam.
 
Baik. Apa yang dinyatakan itu adalah azam dan komitmen Ketua Pesuruhjaya itu dalam melawan rasuah. Saya percaya beliau akan melakukannya dengan penuh kesungguhan. Dan diharapkan dengan penuh keberanian, melaksanakan tugas atas prinsip BERANI KERANA BENAR.

Apa pula respons kita sebagai rakyat yang benci pada rasuah?
 
Sebagai rakyat saya percaya kita boleh dan wajar membantu tanggungjawab murni yang dijalankan oleh SPRM ini. Kita boleh menyalurkan maklumat atas perbuatan songsang, haram dan durjana yang boleh merosakkan negara kita yang aman dan kaya dengan sumber anugerah Allah. Paling mudah, tanpa kos, kita boleh iringkan doa kita setiap kali selepas solat. Doakan kejayaan dan keselamatan mereka.
 
Hasil pertolongan kita itu, insya Allah boleh menyelamatkan negara dari sebuah negara yang kaya menjadi negara yang miskin, dan rakyat boleh hidup dengan aman serta kekayaan negara dapat di agihkan dengan adil dan saksama.
 
Melawan rasuah, risikonya amat besar sekali, 'very, very high risk'. Nyawa boleh terbang.
 
Doa kita boleh membuatkan warga SPRM menjadi jitu dan lebih cekal dalam menghadapi apa saja cabaran. 
 
Sudah tentu kita tidak perlu menunggu mereka mengadakan solat hajat beramai-ramai seperti yang berlaku baru-baru ini. Biarlah kita mendahului mereka kerana mereka bekerja untuk kita juga, demi negara.

Baik. Itu respons yang wajar kita berikan sebagai menyokong azam Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru itu.
 
Adakah itu sudah memadai? 

Apa sebenarnya yang kita mahu dalam hal melawan rasuah ini?

Sudah tentu kita mahu perlakuan rasuah dihapuskan sepenuhnya, meliputi dan merangkumi semua. Ertinya kita mahu rakyat bebas rasuah sama ada  sebagai pemberi dan penerima rasuah. Ini ideal kita untuk menjadi sebuah negara yang berintegriti.
 
Tapi mampukah SPRM dalam bentuk struktur yang melakukannya? Adakah caveat boleh mencelah dalam setiap atau kes-kes tertentu yang diambil oleh SPRM.
 
Dalam pertanyaan yang mudah, BEBAS kah SPRM dalam menjalankan tugas tanpa celahan, sekatan, kacau ganggu dari mana-mana pihak?
 
Tidak. Dalam struktur yang ada, cita-cita untuk sebuah Malaysia yang bebas rasuah hanya merupakan satu impian indah dan murni saja. Impian tidak mungkin jadi realiti. Dan paling ditakuti akan menjadi satu impian yang NGERI.
 
Sebaik manapun ketuanya, secekap mana warganya menjalankan tugas, selagi mereka tertakluk kepada seseorang yang berkuasa menentukan kedudukan dan masa depan, impian tidak mungkin jadi realiti.  
 
Saya tidak perlu mengemukakan bukti!  
 
Oleh itu, saya tidak hairan dengan kenyataan Ketua PSRM sama ada yang baru atau pendahulu-pendahulunya bahawa beliau akan memberi fokus kepada perkhidmatan awam. Beliau mahu sebuah perkhidmatan awam yang bersih.
 
Kenapa perkhidmatan awam saja? Ada sekatan untuk meliputi dan merangkumi selain perkhidmatan awam dan warga swasta?
 
Tidak boleh dinafikan ada dikalangan penjawat awam yang sememangnya jahat dan suka melakukan rasuah.  Mereka mesti dinyahkan dari perkhidmatan awam. Tiada maaf bagimu!

Tapi satu hakikat mesti diterima bahawa penjawat awam bekerja adalah atas arahan. Sebab itu dalam setiap surat yang ditandatangani ada aku janji mereka, 'Saya Yang Menurut Perintah'.

Bukanlah bermakna mereka sentiasa menerima perintah dari pihak atasan untuk bersubahat melakukn rasuah. Namun akujanji mereka itu ada risikonya. 

Jika ada arahan yang bertentangan dengan peraturan yang boleh menyebabkan ketirisan, kerugian dan amalan rasuah, penjawat awam itu boleh mengambil pendirian tertentu. 
 
Jika mereka ada kekuatan dan keberanian, mereka akan menyatakan bahawa jika arahan itu dipersetujui kesannya buruk sekali kepada jabatan dan negara termasuk dirinya sendiri.

Tapi, risikonya tinggi. Masa depannya boleh bertukar jadi gelap. Mereka boleh disejukbekukan.  Melainkan mereka hanya takut dan tunduk kepada perintah Allah.

Berapa orang yang ada kekuatan untuk berbuat begitu? 
 
Banyak yang senyap dan akur kerana kedudukan mereka adalah ibarat sebagai 'telan mati emak, luah mati bapa'.
 
Saya tidak perlu mengemukakan statistik bagi menyokong hujah saya itu. Cukuplah dengan mentafsirkan peristiwa yang telah dan sedang berlaku.

Apa pun kita wajar optimis dengan apa yang dijanjikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru itu. Kita iringkan doa agar beliau dan warga SPRM diberikan kekutan dan keberanian, dan sentiasa dilindungi Allah dalam menjalankan tugas yang murni itu.

Dan jangan lupa setiap selepas solat kita mohon kepada Allah agar SPRM dijadikan sebuah badan bebas yang tidak tertakluk kepada mana-mana pihak atau orang perseorangan yang ada kuasa.
 

 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan