Theflowersellingboy

Sabtu, 6 Ogos 2016

Pak Jan Dengan Empat Ekor Lembunya (3)



Pak Jan mengayuh basikal menuju ke rumah pasong di kampong sebelah. Dia mahu segera membawa balik empat ekor lembunya. 
 
Sambil mengayuh basikal tuanya Pak Jan tersenyum diikuti dengan pujian kepada isterinya, "Bijak sungguh isteriku , tak sangka".
 
Mak Mah sedih amat sangat apabila ditengking oleh Pak Jan sehingga beliau menangis. Bagi Mak Mah, kata 'pompuan' yang keluar dari mulut suaminya itu adalah satu panggilan yang bersifat memandang rendah terhadap kaum perempuan, khusus dirinya. Panggilan seperti itu seolah-olah memberi tahu bahawa orang perempuan tidak mampu berfikir dalam menghadapi masalah, apatah lagi untuk menyelesaikan masalah.
 
"Apa masalahnya bang?" Mak Mah bertanya sebaik dapat menenangkan diri dan berhenti dari menangis akibat dari ditengking oleh Pak Jan.
 
"Takkan awak tak tahu", suara Pak Jan masih tinggi bernada marah. "Awak setuju kita jual sekor dua lembu tu untuk membayar ganti rugi yang diminta oleh menejer estet orang putih tu?"

"Abang.....", mak Mah bingkas bangun. Suaranya tinggi, bukan lagi suara seorang isteri bercakap dengan suaminya. Dia semacam sudah mempunyai kekuatan baru untuk berhadapan dengan suaminya, bukanlah sebagai seorang 'pompuan'. "Tidak setuju". Mak Mah tegas.

Pak Jan yang masih lagi sedang bersandar didinding serambi rumahnya memandang Mak Mah. Dia sedikit terpinga dan tidak percaya Mak Mah berani bersuara tinggi. Dalam ingatannya, sepanjang mereka bersama belum pernah dia mendengar Mak Mah bersuara tinggi walaupun dalam hal-hal yang tidak menyebelahi isterinya itu. Kali ini lain sekali pompuan ini.

"Semua empat ekor lembu itu sudah ada yang punya. Tak boleh di jual". Tegas Mak Mah.
 
Pak Jan tidak mahu berhujah balas. Dia pun telah bersetuju dengan apa yang telah dirancang oleh isterinya keatas empat ekor lembunya itu. Cuma dia jadi buntu untuk mendapatkan wang bagi membayar ganti rugi seperti yang diberitahu oleh Tok Ali Ketua Rumah pasong kampong sebelah, jika mahukan empat ekor lembunya dilepaskan dan dibawa balik ke rumah.
 
"Duitnya Mah. Mana nak cari?", Suara Pak Jan seperti orang merayu.
 
"Macam ni bang. Saya setuju lembu yang bunting itu di jual. Tapi dengan syarat lembu itu masih ditangan kita. Setuju? Kata-kata Mak Mah ini lagi membingongkan otak kepala Pak Jan. Macam mana lembu yang dijual masih lagi jadi miliknya? Gila kah isteriku ini?
 
"Awak ni mengigau kah?" Tanya Pak Jan.
 
"Saya pompuan bang, otak sentiasa berjalan", Pedihnya tikaman kata-kata sindiran dari Mak Mah bahawa jangan anggap orang pompuan mudah buntu dalam menghadapi sesuatu masalah.
 
Pak Jan senyap, tidak berkata apa-apa. Dia sedang menunggu penjelasan Mah Mah tentang formula 'jual dan milik semula' lembu yang bunting itu.
 
Mak Mah menghuraikan formula magiknya itu, jual dan milik. Dia bermula dengan mengenalpasti apakah matlamat mereka dalam kes lembu yang kena tangkap itu, dan cara mencapai matlamat.
  
Matlamatnya: Empat ekor lembu boleh dilepaskan dan dimiliki semula dan bayaran ganti rugi boleh dibayar.
 
Cara mencapai matlamat: Jual lembu yang sedang bunting.
 
Justifikasi: Lembu yang bunting boleh mendapat harga yang baik. Mungkin boleh laku lebih dari satu ratus. Tapi terima sahaja harga satu ratus sebagai daya menarik orang minat membelinya.
 
"Bila dah jual, lembu itu pembeli yang punya. Dan siapa yang nak membeli lembu tu", Pak Jan meragui formula Mak Mah boleh menjadi realiti.
 
"Bang, kita rundinglah dengan Tok Ali, ketua Rumah Pasong tu. Minta dia beli. Saya percaya dia akan bersetuju. Sebab dia beli dua ekor lembu pada harga yang murah. Kita minta lembu itu kita yang jaga tak payah kena bayar apa-apa. Nanti kalau lembu itu dah biak kita bagi dua", Mak Mah menjelaskan formulanya sedikit panjang.
 
Pak Jan menganggok-anggok kepala, termakan diotak kepalanya bahawa ini satu jalan penyelesaian yang baik.
 
Kemudian datang satu lagi persoalan. Adakah Tok Ali berminat untuk membeli?
 
"Dua ekor lembu bang. Tapi kita jual dengan harga seekor saja. Takkan tak terliur Tok Ali", Pak Jan terasa bahunya dipicit-picit oleh isterinya semacam memujuk.
 
"Bagaimana jika Tok Ali mahu bela lembu itu sendiri", keraguan terakhir akan formula Mak Mah itu disuarakan oleh Pak Jan.
 
Mendengarkan kata-kata Pak Jan itu , Mak Mah ketawa besar lalu berkata, "Manalah ada tempat Tok Ali itu nak bela lembu, bang. Dia kan polis", Mak mah terus ketawa. Pak Jan tersengeh-sengeh sedikit malu kerana tidak mampu berfikir perkara semudah itu.

Melihat Pak Jan melangkah  menuju ke basikal untuk ke rumah pasong berjumpa Tok Ali, Mak Mah meminta Pak Jan membawa dua tiga biji buah durian sebagai buah tangan kepada Tok Ali.
 
Pak Jan menganggok dan tersenyum.
 
Krikkkkk bunyi brek sebuah kereta mengelak dari melanggar Pak Jan.
 
Wuuuuuuh......nasib baik.
 
Pemandu kereta itu tidak berhenti. Dan Pak Jan pula terus kayuh basikalnya ke rumah pasong yang sudah jelas kelihatan. Harap harap Tok Ali bersetuju.
 
 
  
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan