Theflowersellingboy

Khamis, 11 Ogos 2016

Jika PRU 14 Diadakan UMNO/BN Akan Tetap Menang.




Betul kah PRU 14 akan diadakan pada tahun depan? Hanya PM Najib saja yang boleh memberi jawapan. Yang lain hanya boleh buat tekaan dan ramalan berdasarkan bacaan dari berbagai sudut.

Jika benar, mampukah UMNO/BN bertahan dan mengekalkan kuasa Persekutuan?

Sudah tentu UMNO/BN boleh mengekalkan kuasa. UMNO/BN yakin boleh menang sebab itu berani mengadakan PRU 14 lebih awal  untuk mendapat mandat baru dari rakyat.

Dalam keadaan pembangkang yang bercelaru dan tidak bersatu adalah mustahil UMNO/BN boleh dikalahkan. Apatah lagi PAS sebagai parti pembangkang yang berpengaruh dan kuat menunjukkan kecenderungan untuk  bersendirian bahkan lebih condong kepada memberi kemenangan kepada UMNO.

Bagi PAS biarlah UMNO yang menang asalkan Pakatan Harapan kalah dengan menggunakan strategi bertanding 3 penjuru iaitu UMNO/BN, PAS dan PH (AMANAH, DAP dan PKR).

PAS amat benci dengan DAP kerana DAP menentang Hudud atau sekarang PAS panggil sebagai pindaan kepada Akta 355 walaupun kawan baik UMNO iaitu MCA, MIC dan Gerakan dan juga parti-parti komponen BN di Sabah Sarawak juga dengan lantang menentang hudud atau pindaan Akta 355.

UMNO juga dengan jelas menentang Hudud tapi ianya tidak mengacau fikiran PAS untuk membenci UMNO.

PAS juga berbulu mata dengan AMANAH yang PAS enak memanggil parti itu sebagai PAN. AMANAH mesti dikalahkan, tidak kira oleh PAS atau UMNO. Hilang deposit AMANAH satu kejayaan besar PAS walaupun yang kalahkan AMANAH itu adalah UMNO . PAS akan bertepuk tangan paling kuat diiringi dengan Takbir seolah-olah berjaya di medan perang syahid. Paling puas sekali jika PAS yang mengalahkan AMANAH.

Bagaimana dengan BERSATU parti yang baru saja memohon untuk didaftarkan oleh ROS? Adakah BERSATU dapat menumbangkan UMNO? Adakah BERSATU boleh mendapat kerjasama dengan PH atau parti komponen PH?
 
Mengikut setengah bacaan, parti itu tidak akan didaftarkan sebelum PRU 14. Dengan itu mereka yang dikatakan mewakili BERSATU akan bertanding sebagai calun bebas atau menggunakan/menumpang salah satu parti dalam PH.
 
Sebagai calun bebas, peluang menang terlalu tipis. Tidak mungkin calun bersatu itu mahu merendah diri untuk menumpang parti PH. Bersetujukah PH , calun BERSATU menumpang? Rasanya tidak.
 
Ertinya gerakan yang dibawa oleh Mahathir dan geng-gengnya bagi menumbangkan Najib/UMNO tidak akan berjaya.
 
Oleh itu jika PRU 14 diadakan pada tahun depan UMNO/BN akan tetap menang dan kekal sebagai kerajaan Persekutuan. Bukan itu saja, UMNO/BN akan menguasai Negeri Kelantan dan menambah bilangan kerusi di Perak, Negeri Sembilan, Melaka , Johor dan Pahang.
 
Kejayaan UMNO/BN adalah hasil sumbangan parti PAS yang mahukan AMANAH dan DAP kalah. PKR kalahpun boleh menyenangkan hati PAS walaupun PAS sendiri kalah.
 
Adakah PAS tidak amhu menang dalam pilihanraya? PAS mahu menang terutama di Kelantan. Tapi PAS diKelantan sekarang tidak sekukuh semasa Nik Aziz. Keberangkalian kalah adalah besar sekali.
 
Bagi PAS tidak perlu kecewa jika kalah. Yang penting keredhaan dari Allah. Ini bermakna parti yang menang tidak mendapat keredahaan dari Allah termasuk UMNO gamaknya. Begitupun UMNO/BN menang lebih baik bagi PAS dari DAP , AMANAH dan PKR yang menang.
 
Besar kemungkinan UMNO/BN akan dapat 2/3 semula.
 
Kemenangan UMNO/BN ini adalah sumbangan PAS. Oleh itu PAS akan dapat sesuatu selepas PRU 14
 
Selain faktor PAS, faktor-faktor 'konvensional' seperti dalam PRU yang lepas-lepas seperti daftar pengundi yang dipindah tempat mengundi, kekuatan jentera dan kewangan masih lagi menjadi faktor yang tidak mudah untuk mengalahkan UMNO/BN.
 
Bagaimana dengan kes 1MDB , GST dan berbagai penyelewangan yang membebankan rakyat dan merugikan negara? Rakyat masih pilih UMNO/BN.
 
Ya, itu pilihan yang akan dibuat oleh rakyat khususnya orang Melayu. Bagi orang Melayu UMNO mengatasi salah laku dan penyelewangan. UMNO lebih penting dari menegakkan kebenaran.
 
 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan